Friday, August 15, 2008

SYEIKH AHMAD AL-FATHANI

Ilmu Ilmu Al Quran

LEMBARAN Sanad Hadis dan pelbagai ilmu yang diijazahkan oleh Sheikh Abdul Qadir Asy-Syibli ath-Tharablusi Asy-Syami Al-Hanafi guru Masjid Nabawi Madinah kepada Sheikh Ahmad Al-Fathani pada tahun 1319H.


SEJAK berumur enam tahun, Sheikh Ahmad al-Fathani telah menghafaz al-Quran 30 juzuk dan ini diriwayatkan oleh keluarga beliau yang terdekat. Mengenai beliau sebagai penghafal al-Quran dan pelbagai matan juga disebut oleh Sheikh Abdullah Mirdad Abul Khair dalam karangannya. Apabila disebut ilmu-ilmu al-Quran, ini bererti akan menyentuh kepelbagaian ilmu yang tertakluk dengan kitab suci itu, antaranya adalah: Ilmu Tafsir, Ilmu Asbab an-Nuzul, Ilmu Rijal al-Tafsir, Usul Tafsir, Ilmu Qiraat, Ilmu Tajwid, Ilmu Hikmah/Fadail Ayat al-Quran dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani sempat mempelajari ilmu-ilmu tersebut daripada guru-guru yang benar-benar pakar dalam bidang masing-masing. Ada di antara disiplin sesuatu ilmu itu yang sempat beliau tulis dan diajar kepada orang ramai.
Penglibatan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam menterjemah dan mentafsir al-Quran ke dalam bahasa Melayu dapat dibuktikan pada kitab yang ditashhihnya. Kitab itu ialah Turjuman al-Mustafid atau Tafsir Baidhawi Melayu karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.
Dikatakan bahawa kitab karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.
Sheikh Ahmad al-Fathani juga adalah orang yang pertama selaku pentashhih kitab itu, dan atas usaha beliau juga maka kitab itu dapat diterbitkan. Beliau juga telah membetulkan jalan bahasa kitab itu menurut bahasa Melayu yang umum digunakan oleh masyarakat Melayu secara meluas pada zamannya.
Beberapa perkataan yang merupakan bahasa daerah atau bahasa Aceh telah beliau ubah. Untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut, beliau dibantu oleh dua orang muridnya iaitu Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani. Oleh kerana itu, semua edisi kitab Turjuman al-Mustafid ada mencantumkan ketiga-tiga nama ulama tersebut pada bahagian halaman terakhirnya (setelah doa khatam al-Quran).
Sheikh Ahmad al-Fathani pernah menyusun sebuah kitab terjemahan dan tafsir al-Quran karangannya sendiri. Namun manuskrip karya beliau itu telah dihumban ke Sungai Jambu, Patani dalam tahun 1970, oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya terjemahan dan tafsir al-Quran karya Sheikh Ahmad al-Fathani itu dapat ditemui, maka bererti karya beliau itu merupakan yang ketiga yang pernah dihasilkan oleh ulama Melayu sesudah karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan Tafsir Ma’shum / Tafsir Jamal yang disusun oleh Sheikh Ma’shum bin Jamaluddin al-Fathani.
Mengenai ilmu tajwid, Sheikh Ahmad al-Fathani juga pernah menyusunnya, tetapi hanya sebuah manuskrip yang ditemui dalam keadaan tidak lengkap. Oleh kerana manuskrip tersebut tidak lengkap, maka data mengenainya belum dapat diterangkan sepenuhnya. Namun terdapat juga puisi-puisi mengenai ilmu tajwid yang diletakkan dalam dua kitab yang ditashihnya. Kedua-dua kitab tersebut adalah al-Mawahib al-Makkiyah karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dan Maurid azh-Zhammaan karya Sheikh Abdullah bin Qasim Senggora.
Mengenai ilmu hikmah, atau fadilat-fadilat ayat al-Quran, terdapat beberapa karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyentuh tentang itu. Judul tersebut ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Semuanya masih dalam bentuk manuskrip kecuali sebuah yang pernah diterbitkan dalam tahun 1301 H/1883 M berjudul Luqthah al- ‘Ajlan. Cetakan pertama, kedua dan ketiga kitab tersebut diusahakan oleh Mathba‘ah al-Miriyah al- Kainah, Mekah. Ia pernah juga dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang dan Patani Press, di Patani. Mengenai ilmu yang sama, Sheikh Ahmad al-Fathani mentashhih pula kitab Mujarrabat al-Fawaid karya Saiyid Ahmad bin Husein bin Mushthafa al-‘Aidrus, Terengganu.
Puisi Sheikh Ahmad Al-FathaniPada Kitab Al-Mawahibul Makkiyah karya Sheikh Abdul Qadir Bin Abdur Rahman Al-Fathani
Sebagaimana telah disebutkan bahawa ada buah kitab tajwid dalam bahasa Melayu yang ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada kedua-dua kitab itu terdapat puisi beliau yang digubah dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Kitab tajwid yang pertama berjudul Al-Mawahib al-Makkiyah fi Tajwid al-Ada-iyah karya gurunya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Sebuah lagi ialah yang berjudul Mauriduz Zhamaan karya muridnya Sheikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora).
Puisi yang termaktub dalam Al-Mawahibul Makkiyah diterjemahkan sebagai yang berikut:
Wa ba’du,
maka adalah yang terlebih utama
barang yang berhadap kepadanya
oleh himam yang ‘iwal
Iaitu kalam Allah Subhanahu wa Taala
al-Kabirul Muta’al
Dan setengah daripada
barang yang wajib diamat-amatikan dengan dia itu, mentajwidkan hurufnya
Dan mengelokkan segala lafaznya
dan mengetahuikan wuqufnya
Dan mengetahui izhar dan idgham
Dan lainnya daripada baqiyah al-ahkam
Dan adalah ini kitab,
Bagi segala yang tersebut itu kafil
Serta bahawasanya hajamnya itu qalil
Maka adalah ia daripada seelok-elok
barang yang diterjemahkan dia pada ini fan
Melengkapi ia atas beberapa banyak kaedah
dan hukum yang mutqan
Dan tatkala hampir sempurna thaba’
ini kitab yang jalil
Terlintas beberapa bait atas khathir
hamba yang kalil
Puisi Sheikh Ahmad Al-Fathani
Pada Kitab Mauriduzh Zhammaan
Karya Sheikh Abdullah As-Sanquri
Kitab ilmu tajwid yang paling terbesar di dunia Melayu ialah Maurid az-Zhammaan fima Yata‘allaqu bi Tajwid al-Quran karya Sheikh Abdullah bin Muhammad Qasim as-Sanquri (Senggora). Kitab ini juga ditashih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dan tercantum di dalamnya puisi beliau dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Puisi beliau dalam bahasa Melayu yang transliterasinya adalah sebagai yang berikut:
“Puji itu bagi Tuhan yang mengajarkan manusia
barang yang tiada diketahuinya
Dan rahmat, dan sejahtera atas yang semulia-mulia
Nabi yang dipercayai atas segala wahyi-Nya
Dan atas segala tolannya dan keluarganya
Yang mereka itulah raja-raja ahli syurga-Nya
Amma ba’du,
maka telah selesailah
mengecap ini kitab yang faiq
Yang ialah tempat bendaharaan
segala permata yang shafi
dan mutiara yang raiq
Maka jikalau dibelikan dia
dengan timbunan daripada darahim dan dananir
Adalah ia murah, kerana masailnya itu
segala bintang dan bulan dan matahari yang munir
Bahkan di dalamnya barang yang mengayakan
yang faqir
Dan memuliakan yang haqir
Dan mengapalah disayangkan dirham dan dinar?
Pada membelikan barang
yang melepaskan diri daripada nar?
Dan sungguh jikalau disimpan
segala masalahnya di dalam khazain al-qulub
Nescaya didapatkan dengan demikian itu
segala maksud dan mathlub
Dan sahlah bagi yang berbuat ibadat sembahyangnya
Yang adalah ia bagi agama Islam sebesar-besar tiangnya
Dan sunyilah bacaannya daripada
hodoh, dan kicap dan nila
Maka beramal ia dengan firman-Nya Allah Taala
Dan telah mustahak elok dan bersih kitab ini
bahawa dipujikan dia dengan beberapa kararis
l Pada Kitab Mujarrabat Al-Fawaid karya Saiyid Ahmad Bin Husein Bin Mushthafa Al-‘Aidrus Terengganu
Salah sebuah kitab yang membicarakan fadilat-fadilat surah-surah dan ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Melayu ialah kitab Mujarrabatul Fawaid fis Salati wal ‘Awaid karya Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein bin Mushthafa al-‘Aidrus, juga terkenal dengan gelaran Tokku Melaka, dan tercatat pada muka depan kitab itu dengan gelaran lain, iaitu Tuan Saiyid Embun Terengganu.
Naskhah aslinya telah diserahkan oleh pengarangnya kepada Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah, lalu ditashhih oleh beliau bersama-sama Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Transliterasi puisi tersebut adalah sebagai yang berikut:
“...... yang terhimpun padanya beberapa fawaid
yang gharaib
Dan beberapa manafi’ ayat dan hikmatnya
yang ajaib
Yang tiada terkaya dengan dia oleh tiap-tiap mereka
yang bersifat dengan fuhul ar-rijal
Kepada medan bahaya seteru ialah melepasnya
dengan tolongan al-Waliyul Muta’al”
“Yang terhimpun padanya
beberapa faedah dan asrar ayat al-Quran
Dan kenyataan rahsia
dan kelebihan salawat atas Nabi
Saiyid Waladi ‘Adnan
Dan beberapa khasiat fadilat kelebihan
doa, dan wirid, dan berbagai-bagai azimat
yang menolakkan mudarat manusia wal jan
Dan terhimpun pula padanya ubat-ubatan,
dan hikmat, yang terdapat tiada berkehendak
kepadanya laki-laki dan perempuan
Dan lainnya daripada beberapa banyak lagi
yang tersebut di dalam kitab ini akan faedah
yang bergantung dengan dunia dan akhirah
darul janan”.
Terjemah Maulana wa Qudwatuna as-Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein bin Mushthafa al-‘Aidrus dimasyhurkan.”
PenutupAdapun kesemua puisi tersebut hanya dinyatakan sebahagian sahaja. Sheikh Ahmad al-Fathani juga mensyarahkan semula puisi-puisi tersebut dengan lebih jelas dalam kitab-kitab yang ditashihnya. Namun, di sini tidak dapat dibicarakan sepenuhnya disebabkan kepadatan ruang.
Oleh itu, mengenai syarah beliau tentang puisi-puisi tersebut boleh didapati dalam manuskrip-manuskrip yang dinyatakan, atau dalam buku penulis berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam (Jilid 2), yang dimulai pada halaman 195.





No comments: