Monday, May 26, 2008

GURU SHEIKH AHMAD AL-FATHANI

Di Mekah dan Madinah

Belum sampai 30 tahun umurnya, telah diakui sebagai seorang ulama besar yang menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan sekurang-kurangnya 47 jenis. Namun bagi Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sendiri masih tetap dahagakan ilmu pengetahuan.
Dia pulang ke Mekah kerana ingin memperdalam ilmunya, tetapi ulama yang tahu bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani itu seorang yang telah banyak menguasai ilmu pengetahuan jarang yang sudi untuk mengajarnya.
Berbulan-bulan Sheikh Ahmad al-Fathani menyamar seperti orang yang tidak mengerti apa-apa. Dia mendatangi seluruh halaqah tempat guru-guru mengajar dalam Masjidil Haram untuk mencari guru mana yang layak untuk tempatnya belajar.
Pada suatu hari beliau mendatangi seorang ulama yang sangat terkenal di Masjidil Haram. Apabila Tuan Guru itu selesai mengajar, ketika diadakan ruang soal jawab, Sheikh Ahmad al-Fathani menanyakan sesuatu masalah kepada Tuan Guru itu.
Tuan Guru itu tidak mahu menjawab pertanyaannya. Dengan demikian Syeikh Ahmad al-Fathani telah maklum adanya, lalu dia minta izin untuk meninggalkan majlis itu. Setelah dia pergi, murid-murid yang hadir dengan tercengang-cengang menanyakan kepada Tuan Guru, “Apa sebab Tuan Guru tidak menjawab pertanyaan pemuda itu? Jangankan Tuan Guru kami pun dapat menjawabnya kalau Tuan memberikan izin kepada kami untuk menjawabnya. Dan siapakah pemuda itu?".
Tuan Guru menjawab, “Apakah kamu tidak kenal itulah yang dinamakan orang Ahmad az-Zaki Mesir yang berasal dari negeri Patani, bahawa ilmunya melebihi ilmuku. Kalau hanya itu yang ditanyakan mudah saja menjawabnya, namun aku malu sekiranya dia menanyakan hal-hal yang lebih mendalam lagi. Oleh sebab itu aku sengaja tidak menjawab pertanyaannya”.
GURU-GURU BELIAU
Guru-guru Sheikh Ahmad al-Fathani yang disebut dalam puisi beliau berjudul Nazham ‘Uqudid Durri adalah seperti berikut:
* Sheikh Umar Asy-Syami Al-Baqa’ie.
Setelah beliau mempelajari pelbagai permasalahan tatacara dan keilmuan para ulama di Mekah, maka jatuhlah pilihannya sebagai tempat dia belajar. Di antaranya yang beliau sebut pada bahagian akhir Nazham ‘Uqudid Durri ialah para gurunya sebelum beliau berangkat ke Mesir dulu.
Masih belum jelas siapakah yang beliau maksudkan dengan Wa bi Syaikhina ad-Dardir dalam nazham itu. Kemungkinan Syeikh Umar bin Barakat asy-Syami al-Baqa’ie yang lahir pada 1245 H/1829 M, dan wafat 1313 H/1896 M, pengarang Syarh ‘Umdah dan lain-lain.
Sebelum Sheikh Ahmad al-Fathani pergi ke Mesir dulu (sebelum tahun 1292 H/1875 M), beliau mendalami pelbagai ilmu dalam banyak kitab daripada Sheikh Umar asy-Syami.
Disebut oleh Sheikh Abdullah Mirdad Abul Khair bahawa kepada Sheikh Umar tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani mendalami pelbagai kitab seperti: ilmu-ilmu arabiah, usul, tafsir, hadis, fiqh, ma’ani, bayan, ‘arudh dan lain-lain.
Sheikh Umar asy-Syami pula memberi tempat kepada Sheikh Ahmad al-Fathani mengajar di Masjid al-Haram Mekah terutama dalam bidang sastera Arab.
Menurut Sheikh Abdullah Mirdad Abu Khair, dalam beberapa buah karangan Sheikh Umar al-Baqa’ie, di antaranya tentang ilmu Bayan, terdapat syair-syair Sheikh Ahmad al-Fathani. Dalam Mafahat ar-Ridhwan oleh Sheikh Zainuddin bin Sheikh Utsman as-Sarawaqi diriwayatkan juga bahawa Sheikh Umar al-Baqa’ie Shahibul Maqamis Sami (empunya makam yang tinggi) dan Hazam (gelaran perempuan yang masyhur pada orang Arab yang benar Arab).
* Saiyid Husein Al-Habsyi.
Dimaksudkan pula dengan Mulazina al-Hifni Quthub lit Thariqati qad hada’ dalam nazham yang sama tersebut berkemungkinan adalah Saiyid Husein al-Habsyi.
Nama ‘al-Hifni’ untuk Saiyid Husein Al-Habsyi di sini kemungkinan mengambil gelaran yang sama yang pernah diberikan kepada Asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni.
Tentang ini kedudukan salah satu sanad keilmuan ialah Sheikh Ahmad al-Fathani belajar kepada Saiyid Husein Al-Habsyi, Saiyid Husein Al-Habsyi belajar kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan belajar kepada Sheikh Ustman ad-Dimyathi, Sheikh Ustman ad-Dimyathi belajar kepada Sheikh Abdullah asy-Syarqawi, Sheikh Abdullah asy-Syarqawi belajar kepada Asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni.
Ketika membahas tentang permainan catur nama ‘Hifni’ juga disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Hadiqatul al-Azhar, cetakan pertama, halaman 175, “..... seperti barang yang berkata akan dia ‘Hifni’ atasnya....” Nama ‘Hifni’ di sini juga tidak jelas apakah yang dimaksudkan Asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni atau pun Saiyid Husein Al-Habsyi.
Dalam puisi Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyebut Quthub. Disebabkan Saiyid Husein Al-Habsyi dalam beberapa tulisan ulama adalah diakui sebagai seorang Quthub pada zamannya. Maka penulis bertambah yakin bahawa yang dimaksudkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada nazham/syairnya ialah Saiyid Husein Al-Habsyi.
Sheikh Muhammad Mahfuz Termas menyebut bahawa Saiyid Husein Al-Habsyi adalah Khatimatull Muhaqqiqin wa ‘Umdatul Fuqaha’ wal Muhadditsin. Ulama yang lain pula menggelarnya dengan Al-Quthbur Rabbaniyul Qurasyisyu.
Sheikh Ahmad al-Fathani pada satu catatan menyebut bahawa beliau mendapat ijazah amalan yang bersalasilah sampai kepada Saidina Ali bin Abi Thalib karamahullah wajhah dari Saiyid Husein Al-Habsyi. Selain itu guru tersebut memberikan kata-kata pujian atas karyanya yang berjudul Tashilu Naili Amani.
Kata puji-pujinya (taqrizh) Saiyid Husein Al-Habsyi itu sentiasa tercantum pada karya Sheikh Ahmad al-Fathani itu, iaitu pada terbitan Mekah dan Mesir. Sedangkan pada terbitan di Jawa, Singapura dan Pulau Pinang tidak pernah dicantumkan lagi.
Salah satu sanad, selain sanad-sanad yang lain, tentang pembacaan kitab Hadis Sahih Bukhari.
Syeikh Ahmad al-Fathani bertitik mula seperti berikut, iaitu:
* Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856M-1325 H/1908M), belajar kepada
* Saiyid Husein Al-Habsyi (wafat 1330 H/ 1912 M), belajar kepada
* Ayahnya, Saiyid Muhammad bin Saiyid Husein al-Habsyi (1213 H/1798-9 M - 1281 H/1864-5 M), belajar kepada
* Sheikh Umar bin Abdul Karim bin Abdur Rasul al-‘Athar, belajar kepada
* Sheikh Ali bin Abdul Barri al-Wana-I, belajar kepada
* Sheikh Abdul Qadir bin Ahmad bin Muhammad al-Andalusi, belajar kepada
* Sheikh Muhammad bin Abdullah al-Idrisi, belajar kepada
* Al-Quthub Muhammad bin 'Alauddin an-Nahruali, belajar kepada
* Ayahnya Sheikh Falih al-Madani, belajar kepada
* Sheikh Abil Futuh Ahmad bin Abdullah ath-Thawus, belajar kepada
* Baba Yusuf al-Harawi, belajar kepada
* Muhammad bin Syaz Bakhat al-Farghani, belajar kepada
* Abi Luqman Yahya bin Ammar al-Khanlani, belajar kepada
* Muhammad bin Yusuf al-Farbari, belajar kepada
* Imam al-Bukhari
* Saiyid Abu Bakri Syatha.
Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan erat dengan Saiyid Abu Bakri bin Saiyid Muhammad Syatha (wafat 12 Zulhijjah 1310 H/27 Jun 1893 M).
Disebutnya pada nazham Wa bi Syaikhina wa Mulazina al-Bakriy man haza wilayah wal karamah wal huda. Saiyid Abu Bakri Syatha yang lahir tahun 1266 H/1849 M lebih tua kira-kira enam tahun daripada Sheikh Ahmad al-Fathani (lahir 1272 H/ 1856 M) sebenarnya sama-sama belajar dengan beberapa orang ulama di Mekah.
Antara guru mereka ialah Saiyid Zaini Dahlan, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan lain-lain.
Saiyid Abu Bakri Syatha adalah seorang ketua telaah (tutor) bagi Sheikh Ahmad al-Fathani.
Selepas Saiyid Abu Bakri Syatha selesai menyusun kitab I’anatuth Thalibin, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki mengadakan ujian penggubahan nazham (puisi).
Penyusun puisi yang terbaik itulah yang akan diberikan kepercayaan untuk mentashhih kitab I’anatuth Thalibin tersebut. Daripada jumlah 35 orang yang menyertai pertandingan itu, ternyata yang memenanginya ialah Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Puisi tersebut termaktub dalam cetakan awal kitab itu, dan penulis juga lampirkan terjemahannya dalam artikel ini. Terjemahan lengkap dilakukan oleh salah seorang cicit Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu Ustazah Zaharah binti Awang, sebagai berikut:
* Khabar gembira tentang I’anah telah dinamakan menyinari ketinggian dan penerimaan dengan senyuman
* Bergelora kegembiraan hati orang yang berakal dan burung pemikiran menyanyi gembira
* Bangkitlah, berilah padaku minuman yang melegakan maka menyelami ingatanku tempat-tempat keagungan
* Kehadhrat Allah aku mengadu kerinduanku dan berfikir ketika malam yang gelap gulita
* Betapa jalan kembali kepada asalnya dan dengan apakah untuk mengatasi halangan dan kebosanan
* Dia adalah tempat ketenangan, gedung segala kebajikan di Kaabah-Nya hamba-hamba-Nya haji dan ihram
* Allah yang berkuasa dan memberi hidayah kemunculan sinar mentari, kelahiran Islam
* Di kalangan mereka seorang pemuda seperti bulan dipagari bintang-bintang seperti samudera, dilingkari sungai-sungai, airnya melimpah ruah
l Hamparan segala kebaikan ada tempat letak kakinya dan padanya ilmu-ilmu yang melahirkan para ulama
* Saiyid al-Bakri seorang yang berwibawa mempunyai ketinggian cita-cita yang membara
* Dia mujaddid menjadikan kebenaran zamannya dari datuknya yang mengiringi tsiqah/kepercayaan dengan penuh teliti
* Penghulur bantuan kepada para pelajar, ilmu-ilmu dalam kitab al-I’anah dan membina menara-menara dan menyerlahkannya pada yang telah binasa
* Sesungguhnya kitab al-I’anah itu kelebihannya amat tinggi iaitulah kitab yang menerangkan ayat-ayatnya secara terperinci
* Bahkan ia adalah perbendaharaan bernilai bagi yang mencarinya mencukupi bagi tetamu, yang meninggalkannya hina dan bodoh
* Padanya segala kebenaran yang telah tetap baginya menanggung segala kesusahan dan berserah
* Maka balasan untuk pengarangnya dan kelebihannya, hanyalah Allah SWT dengan segala kurniaan dan hadiah kebaikan
* Ya Allah, peliharalah Sheikhnya, iaitu Wali Quthub yang bertakwa perhiasan syariat, dialah ulama yang sertanya kemuliaan yang tinggi.
Penutup
Masih ramai lagi guru Sheikh Ahmad al-Fathani yang belum dibicarakan. Penulis hanya membicarakan guru- guru yang hanya disebut oleh beliau dalam puisinya berjudul Nazham Uqudid Durri.
Guru-guru beliau selain yang dinyatakan ini disebut dalam karya-karya beliau yang lain, yang akan dibicarakan lagi seterusnya.

No comments: