Saturday, October 27, 2007

SYEIKH ABDUR RASYID AL-FATHANI

Tok Keramat Pulau Bidan
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Penulis mula mengenali tokoh yang digelar sebagai Tok Keramat Pulau Bidan ini setelah membaca buku Kanzul Mu’id karya Tuan Mufti Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Sa’id pada 1971.

Menurut salasilah yang dibuat oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan pada 1976 ada mencatatkan nama Syeikh Abdur Rahman sebagai saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga tidak diketahui di mana letaknya kubur beliau.
Oleh kerana itu dalam buku karangan penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara (Hizbi, 1990, hlm :14), penulis menyatakan “Berkemungkinan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani adik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani inilah yang disebut Tok Keramat Pulau Bidan.” Perkataan "Berkemungkinan" di awal kalimat adalah menunjukkan sesuatu yang belum pasti dalam pengkajian penulis.

Namun akhirnya penulis menemui kesahihan setelah menziarahi beberapa pusat pengajian pondok di Patani pada Mei 1991. Pusat pengajian pondok yang mempunyai kaitan dengan tokoh ulama kali ini terletak di kampung bernama Cenak, Wilayah Songkla, Thailand.
Di pondok pengajian tersebut juga tempat pertama Syeikh Zainal Abidin al-Fathani/Tuan Minal bin Muhammad al-Fathani belajar pelbagai ilmu keislaman sehingga beliau menjadi seorang ulama besar yang amat terkenal di Asia Tenggara.

Hasil perbualan dengan salah seorang keturunan pengasas pondok pengajian tersebut, barulah penulis mengetahui bahawa pondok yang penulis kunjungi itu adalah diasaskan oleh Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan.

Maka terjawablah keraguan mengenai data lengkap biografinya yang penulis cari sejak tahun 1971 itu.

Pengenalan sahsiah Syeikh Abdur Rasyid

Riwayat hidup mengenai ulama di Cenak ini adalah berdasarkan cerita lisan daripada beberapa keturunan beliau yang penulis temu bual. Ayah beliau bernama Cik Din berasal dari Kampung Temperak, Cenak dalam Wilayah Senggora (Songkhla).

Ditakdirkan Allah pada suatu hari Abdur Rasyid hilang di tempat ia bermain-main. Sehingga ahli keluarga menyangka beliau telah dimakan oleh harimau. Oleh itu setelah berpuluh-puluh tahun lamanya, ahli keluarga menyangka beliau telah pasti meninggal dunia.

Setelah sekian lama, pada suatu hari ketika ibunya yang tua menjemur padi, tiba-tiba dikejutkan oleh seorang pemuda yang datang mengusiknya.

Lalu dimarahi oleh ibunya kerana beliau tidak kenal bahawa pemuda itu adalah anaknya yang telah hilang sekian lama.

Setelah dikerumuni orang yang datang, barulah pemuda itu mengaku bahawa beliau adalah Abdur Rasyid anak kepada perempuan tua yang diusiknya itu.

Beliau menceritakan riwayatnya yang hilang sewaktu umurnya belum sampai enam tahun. Beliau menceritakan bahawa pada mulanya beliau pergi belajar pondok di Patani dan seterusnya menyambung pondok di Kedah dan diteruskan di Pulau Pinang.

Pengembaraan dari Patani ke Kedah hanya dengan berjalan kaki, manakala ke Pulau Pinang pula dengan menumpang sampan kecil tanpa membawa wang walau sedikit. Hanya sehelai sepinggang yang ada pada dirinya.

Setelah ilmu yang dipelajari di Patani, Kedah dan Pulau Pinang sudah memadai, beliau meneruskan mencari ilmu ke Mekah dan seterusnya mengembara ke Baitul Maqdis. Beliau sempat mendalami pengetahuannya di Mekah tetapi tidak diceritakan bahawa beliau mengajar di Mekah, tetapi diceritakan beliau mengajar di Masjid Baitul Maqdis dan di kediamannya.

Bertahun-tahun beliau mengajar, tidak pernah terlintas untuk pulang ke kampung halamannya. Sehingga pada suatu malam ketika beliau mengajar, dilihatnya seekor kucing mengiau-ngiau.
Tidak lama kemudian beliau melihat kucing itu menggonggong anaknya. Lalu beliau menutup kitab yang sedang diajar dan termenung di hadapan murid-muridnya yang juga menjadi hairan dengan kelakuan beliau.

Lalu beliau berkata, “Sedangkan kucing atau pun binatang lainnya teringat dengan anaknya. Aku sendiri sebagai seorang manusia mulai saat ini baru terkenang dengan sanak saudaraku yang menjadi tanggungjawabku. Aku mesti kembali ke tempat asalku.”

Dipendekkan kisahnya, beliau kembali ke Cenak dengan membawa banyak kitab dengan gambaran diangkut oleh tiga ekor gajah. Bahkan terdapat kitab-kitab yang dibawanya masih tersimpan di pondok tersebut.

Tulisan mutawal tentang beliau yang ditulis oleh Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Said dalam Kanzul Mu'id, menurut beliau, “Al ‘Allamah al-Kabir al-Fahamah Shahib….asy-Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang dikubur akan dia di Pulau Bidan. Dan kuburnya di sana dikenal akan dia lagi masyhur menziarah kepadanya oleh manusia….”

Mengenai kekeramatan beliau, menurut Mufti Haji Ahmad dalam kitabnya, “Baginya beberapa karamah, yang adalah yang terlebih besar daripadanya bahawa menghimpunkan ia sekalian kitabnya pada setengah daripada peperangan yang terjadi di dalam negerinya.

Dan meletak ia akan dia pada tepi sungai pada suatu tempat yang tiadalah di antaranya dan antara langit dinding. Dan pergilah ia kepada satu negeri….Kemudian kembali ia kepada negerinya, maka mendapat ia akan sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia, tiada berubah dan binasa ia….”

Masih banyak karamah yang diceritakan dalam kitab tersebut yang tidak dapat penulis senaraikan kesemuanya.

Oleh kerana riwayatnya telah jelas dinyatakan dalam kitab Kanzul Mu’id tersebut, maka Syeikh Abdur Rasyid Tok Keramat Pulau Bidan bukan saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga sampai kini belum ditemui riwayatnya.

Dari catatan Tok Kelaba al-Fathani dapat diketahui beberapa orang sahabat Syeikh Abdur Rasyid iaitu, Haji Abdus Shamad Kelaba, Imam Abdul Manaf, Haji Abdul Majid Setang, Haji Abdul Majid Langgar Jambu, Tuan Pulau Canang Kelantan dan Tuan Abdur Rasyid Cenak (Pulau Bidan).

Mengenai pemikiran beliau pula, terdapat satu catatan Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, iaitu murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, catatan itu berupa taqrir beliau mengenai pembahagian pusaka menurut Islam dan manuskripnya masih dalam simpanan penulis.

Sebuah lagi karya yang diketahui ialah mengenai fikah yang diselesaikan di Kelantan tahun 1263H/1846M yang disimpan naskhahnya di Muzium Budaya Melaka.

Keturunan yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat

Sebagaimana yang dinyatakan bahawa sekembalinya Syeikh Abdur Rasyid dari Baitul Maqdis, beliau bersama besannya Haji Abdul Jalil dan Haji Muhammad Shalih membuka sistem pengajian pondok di Cenak. Sehingga sekian lama pondok pengajian yang diasaskan beliau masih diteruskan oleh keturunan beliau.

Setelah berkahwin dengan Fathimah, Syeikh Abdur Rasyid memperoleh empat orang anak.
Ketiga-tiga menantu beliau merupakan murid-murid beliau yang menjadi ulama. Oleh itu, setelah beliau meninggal dunia, pondok pengajian tersebut diganti oleh menantunya yang bernama Haji Hasan bin Haji Abdul Jalil, iaitu suami anak perempuan beliau iaitu Hajah Aisyah.
Apabila Haji Hasan meninggal dunia, diganti pula oleh Abdullah yang berasal dari Bangkok. Sesudahnya diganti oleh Haji Awang dan seterusnya diganti oleh Haji Abdul Syukur bin Syeikh Abdur Rasyid.

Sewaktu penulis menemu bual keturunan Syeikh Abdur Rasyid, beliau hanya mempunyai empat anak perempuan seperti yang dinyatakan.

Penulis turut menemui nama Haji Abduys Syukur dalam beberapa kitab bahawa beliau adalah anak Syeikh Abdur Rasyid.

Perkahwinan anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid yang bernama Cik Wi dengan Haji Muhammad Shalih telah memperoleh anak yang bernama Haji Muhammad Nur. Beliau adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya di seluruh Wilayah Senggora (Songkhla) pada zamannya.

Beliau meninggalkan beberapa buah karya yang berupa risalah-risalah di antaranya Risalah Usuluddin yang diselesaikan pada 15 Rejab 1373 H (1953 M).

Risalah kecil tersebut dicetak pada cetakan kedua tahun 1381 H (1961 M). Di akhir karyanya itu, beliau memberi nasihat dengan sepuluh perkara, iaitu:
1. Jangan tuan-tuan cerca kepada seorang yang tuan lihat ada pada tuan sendiri.
2. Jangan tuan sesal akan suatu kebajikan yang tuan telah perbuat tetapi hendaklah tuan sesal atas kejahatan yang telah tuan kerjakan.
3. Jangan tuan marah jikalau dikata orang, “tuan bodoh”, apabila tuan membuatkan seperti perbuatan orang yang bodoh.
4. Jangan tuan nanti bantuan orang lain melainkan terlebih dahulu tuan bantu diri tuan sendiri.
5. Jangan tuan bersahabat dengan seseorang sebelum tuan tahu bagaimana ia berlaku dengan sahabat-sahabatnya yang dahulu.
6. Jangan segera tuan kata susah sesuatu pekerjaan sebelum tuan cuba lagi.
7. Jangan tuan takut akan perkataan tuan yang sebenar tetapi hendaklah tuan takut akan perkataan tuan yang salah.
8. Jangan tuan jaga diri orang lain sebelum tuan tahu bagaimana hendak menjaga diri tuan sendiri.
9. Jangan tuan rosakkan sesuatu benda itu apabila tiada boleh membaikinya.
10. Jangan tuan mengumpat-ngumpat atau mencacat-cacat suatu pakatan terlebih dahulu tuan mengesahkan terlebih banyaklah faedah daripada mudarat.

Nasihat atau wasiat Haji Muhammad Nur iaitu cucu Syeikh Abdur Rasyid telah disalin oleh anak beliau iaitu Tuan guru Haji Husein bin Haji Muhammad Nur, yang dimuat dalam risalah kecilnya yang berjudul Hidangan Hikmah.

Risalah tersebut dicetak dengan huruf Melayu/Jawi dan di bahagian bawahnya juga digantungkan dengan huruf Thai. Haji Husein bin Haji Muhammad Nur pula adalah seorang tokoh ulama Senggora.

Selain itu, cucu Syeikh Abdur Rasyid ini juga meninggalkan ramai anak murid yang menjadi ulama. Antaranya Tuan Guru Muhammad Encik muda, penyusun Risalah Maju’is Shaghir.
Mufti Haji Ahmad menulis tentang Hajah Wan Shafiyah iaitu salah seorang anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid. Menurutnya, dalam kitab Kanzul Mu’id ,”…al-Hajah Shafiyah daripada anak negeri Patani dan ia seorang perempuan yang terlebih elok bacaan pada al-Quran. Lagi mengajar baginya dibilang akan dia daripada yang lebih-lebih perempuan-perempuan masanya….”

Sebagaimana yang diketahui, Hajah Shafiyah berkahwin dengan ulama bernama Syeikh Jamaluddin Linggi dan memperoleh anak yang iaitu Syeikh Muhammad Said, iaitu seorang ulama besar yang diakui masyarakat pada zamannya. Beliau pula memperoleh beberapa orang anak dan cucu yang menjadi ulama.

Antara anak-anak Syeikh Muhammad Said yang menjadi ulama ialah Haji Abdullah, Haji Ahmad Mufti Negeri Sembilan dan Tuan Guru Haji Mansur iaitu salah seorang saudaranya yang sempat penulis kenali pada tahun 1977 dan meninggal dunia tahun 1981.

Tuan Guru Haji Mansur sangat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani, sehingga matan Ar-Risalatul Fathaniyah/Nahu, Abniyatul Asma’ wal Af’al/Sharaf dan Syair Syeikh Ahmad al-Fathani di akhir kitab I’anatut Thalibin dibaca olehnya di hadapan penulis secara menghafal.
Penulis juga sempat menemu bual saudaranya Haji Muhammad Nur dalam tahun yang sama iaitu pada 1971. Pada 1988, penulis menemu bual seorang lagi saudaranya iaitu Haji Abdul Hamid dan daripada beliau penulis memperoleh sepotong Syair Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab yang terkumpul dalam sebuah buku Syeikh Muhammad Said tersebut.

Dalam tahun 1411 H/1991 M, Pondok Cenak peninggalan Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan masih diteruskan. Ia dipimpin oleh Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Abduys Syukur dan sekali gus menggantikan saudara kandungnya iaitu Haji Abdullah.

Beliau diberi nama Ismail kerana mengambil berkat kealiman Syeikh Ismail (Pak De El, Mekah) dan Haji Abduys Syukur juga adalah sezaman dengan ulama tersebut iaitu, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani.

Tuan Guru Haji Ismail adalah kelulusan sarjana muda sastera Universiti Madinah yang pertama bersama sahabat beliau iaitu, Haji Yahya al-Lathifi yang merupakan ulama Thailand yang terkenal. Haji Yahya juga adalah sepupu Pak De El dan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Tuan Guru Haji Ismail meneruskan pengajian pondok tersebut dengan dibantu oleh anak-anaknya.

Kesimpulan

Menurut penelitian penulis, sejarah hidup mengenai tokoh yang dikatakan Tok Keramat Pulau Bidan ini cukup jelas. Selain sebagai seorang ulama besar, beliau juga menurunkan ulama-ulama besar yang terkenal selepasnya.

Bahkan institusi pengajian pondok yang dibinanya dapat diteruskan hasil kesinambungan daripada keturunan beliau. Oleh itu, penyelidikan sejarah mengenai beliau dan keturunannya perlu dijalankan dengan teliti kerana jasa yang amat besar kepada masyarakat.

SYEIKH ABDULLAH AL-QUMAIRI

Ulama Dan Pencipta Nama Kedah Darul Aman
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ADA yang berpendapat bahawa tokoh penyebar Islam di Aceh yang juga penyusun kitab Bahr Al-Lahut iaitu Syeikh Abdullah Arif adalah sahabat kepada tokoh ulama yang diperkenalkan pada kali ini.

Namun ada pula berpendapat bahawa kedua-dua Syeikh Abdullah ini adalah orang yang sama.
Syeikh Abdullah Arif di Aceh dikatakan berada di Aceh sekitar tahun 560H/1165M-1177M, sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yemen dan tiba di Kedah tahun 531 H.

Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.
Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M. Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.

Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 hlm 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.

Jika disemak dengan teliti kandungan buku tersebut, penulis menyimpulkan Islam datang ke Kedah jauh lebih awal daripada kedatangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.

Ini kerana dinyatakan dalam buku tersebut bahawa sesudah merdeka ditemui sebuah nisan di Langgar, Kedah yang berinskripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah/Alam dan tarikhnya 291H bersamaan 903M. Haji Ibrahim Ismail memetik dari kertas kerja berjudul ‘Sejarah Kedah Dalam Kebangkitan Islam’ (1982) oleh Ismail bin Haji Salleh.

Selain itu, ia juga disebut oleh Abdullah Abbas Nasution dalam Islam 14 Abad dan manuskripnya diserahkan kepada penulis. Lihat juga Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman dalam Islam di Brunei Darussalam, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, cetakan pertama, 1992, halaman 30.

Mendahului

Melihat kepada perbandingan tahun kedatangan di antara kedua-dua tokoh ini iaitu Syeikh Abdullah Arif di Aceh (560H/1165M) dengan Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya di Kedah, ini bermakna Syeikh Abdullah al-Qumairi di Kedah mendahului kedatangan Syeikh Abdullah Arif di Aceh lebih kurang 29 tahun.

Namun apabila dibandingkan pula dengan tarikh batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar, Kedah pada tahun 291H/903M dengan tulisan M. Junus Djamil yang menyebut bahawa kerajaan Islam telah lahir di Perlak tahun 225H/840M, yang dilihat perbezaannya adalah lebih kurang 66 tahun.

Oleh itu, apabila dilihat tahun-tahun tersebut perbezaannya tidak jauh. Walaupun dinyatakan oleh Haji Ibrahim Ismail bahawa kerajaan itu lebih kurang 300 tahun lebih awal dari kewujudan Kedah (Lihat Sejarah Kedah Sepintas Lalu, halaman 18).

Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.

Namun, dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, bukan raja yang kesembilan, tetapi adalah raja yang ketujuh. Nama raja juga berbeza, raja Kedah menurut hikayat tersebut bernama Phra Ong Maha Wangsa.

Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I(mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.
Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Ini bererti dilakukan pengislaman secara massal.

Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara ulama (Syeikh Abdullah al-Qumairi) dengan umara (Sultan Muzaffar Syah I) tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.
Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.

Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.

Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.

Wasiat

Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.

Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).

Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi
* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.
* Berasal dari Yemen.
* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.
* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.
* Guru Sultan Muzaffar Syah I.
* Memberi nama Kedah Darul Aman.
* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.

MALIKUSH SHALEH

Penyelamat Kerajaan Islam Samudera Pasai
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RAMAI pengkaji sejarah menulis bahawa kerajaan Islam yang pertama di Nusantara atau Alam Melayu ialah Samudera Pasai yang didirikan oleh Malikush Shaleh. Sebelum bernama Malikush Shaleh dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, beliau juga bernama Merah Sile. Dalam versi yang lain pula bernama Merah Selu. Ayahnya pula bernama Merah Gajah.

Menurut penyelidikan terdahulu berdasarkan Hikayat Raja-Raja Pasai, Merah Gajah dikatakan penganut agama Hindu. Tetapi dalam penyelidikan yang terbaru, bahawa ayah Malikush Shaleh / Merah Selu adalah penganut agama Islam yang berasal dari Perlak. Hal ini dapat dibuktikan melalui keturunan-keturunan yang diketahui dan akan dibicarakan dalam artikel ini.
Nama ayah beliau ialah Makhdum Malik Abdullah (Meurah Seulangan / Seurah Jaga) anak Makhdum Malik Ibrahim (Meurah Silo) anak Makhdum Malik Mesir (Meurah Mersa / Toe Me rsa) anak Makhdum Malik Ishaq (Meurah Ishaq) anak Sultan Makhdum Malik Ibrahim Syah Johan Serdaulat, Sultan Kerajaan Perlak yang memerintah pada tahun 365H/976M - 402H/1012M.

Berdasarkan tahun tersebut, ini membuktikan bahawa Kerajaan Perlak jauh lebih awal berdirinya dari kerajaan Islam Samudera Pasai.

Menurut penyelidikan terdahulu, Malikush Shaleh adalah nama setelah beliau memeluk agama Islam yang diberi oleh seorang ulama yang datang dari Mekah bernama Syeikh Ismail.
Mengenainya yang ditulis dalam hikayat, “Sebermula maka bermimpi Merah Selu, dilihatnya dalam mimpinya itu ada seorang orang menopang dagunya dengan segala jarinya, demikian katanya, “Hai Merah Selu, ujar oleh mu dua kalimah syahadah!”.

Maka sahut Merah Selu, “Tiada hamba tahu mengucap akan dia”. Maka ujarnya, “Bukakan mulutmu!”. Maka dibukanya mulut Merah Selu, maka diludahinya mulut Merah Selu itu. Maka ujarnya akan merah Selu, “Hai Merah Selu engkaulah Sultan Malikush Shaleh namamu, sekarang Islamlah engkau dengan mengucapkan dua kalimah itu. Sejak itulah dia menjadi sultan sebuah kerajaan Islam yang bernama Samudera Pasai”.

Walaupun namanya telah banyak disebut dalam beberapa hikayat, namun riwayat hidupnya secara terperinci masih belum jelas. Tarikh dan tempat kelahirannya juga belum diketahui secara pasti. Ada pun wafatnya diketahui kerana tercatat pada batu nisan kuburnya di Pasai.
Dicatatkan bahawa beliau mangkat pada bulan Ramadan tahun 696H kira-kira bersamaan dengan tahun 1297M.

Mengenai pendidikannya, penulis telah menemui salasilah pertalian daripada guru ke murid dalam sebuah manuskrip yang berjudul Najmul Huda karangan Muhammad Yusuf bin Abdul Karim Hindi.

Manuskrip tersebut, penulis memperolehinya di Kemaman, Terengganu pada Julai 1998 yang sebelumnya dimiliki oleh Syeikh Ahmad bin Syeikh Abdullah. Kandungan keseluruhan manuskrip ialah mengenai akidah dan tasawuf. Dalam manuskrip tersebut, dinyatakan bahawa Sultan Malikush Shaleh menerima ilmu daripada Hamad Akhbar. Pertalian daripada Hamad Akhbar berasal daripada Syeikh Syibli, berketurunan daripada Yunus ibnu Malik hingga sampai kepada Saiyidina Ali. Pada halaman yang sama, disebutkan pula bahawa penurunan ilmu daripada Sultan Malikush Shaleh kepada Sultan Ismail, turun kepada Zainal Abidin, turun kepada Sidi Ali, dan masih berhubung terus sehingga kini.

Setelah diteliti, terdapat banyak perbezaan di antara penyelidikan terdahulu dengan terkini mengenai Malikush Shaleh. Penyelidikan terdahulu mendapati bahawa kerajaan Islam yang pertama di Nusantara ialah kerajaan Samudera Pasai. Golongan Orientalis yang menguatkan pendapat ini di antaranya ialah Snouck Hurgronje, J. P. Moquette, J. L. Moens, J. Hushoff Poll, G. P. Rouffaer, H. K. J. Cowan dan lain-lain.

Tetapi penyelidikan terkini pula menemui maklumat bahawa kerajaan Islam yang tertua di Nusantara ialah Kerajaan Perlak. Pendapat ini adalah berdasarkan kajian Tengku M. Junus Jamil, Kampung Alui Banda Aceh, berdasarkan dua buah manuskrip yang dimilikinya iaitu; Idah al-Haqq fi Malakat Peurelak karya Abu Ishaq Makarani dan Tawarikh Raja-Raja Pasai. Menurut sumber ini, kerajaan Samudera Pasai sudah terbina pada tahun 443H/1042M.
Kerajaan yang dikuasai oleh Dinasti Meurah Khair ini terus berjalan sehingga tahun 607H/1210M. Pada tahun tersebut, baginda Raja meninggal dunia dan tidak meninggalkan putra. Setelah itu, negeri Samudera Pasai menjadi rebutan pembesar-pembesar istana. Ini menyebabkan keadaan politik menjadi tidak stabil dan berlarutan sehingga hampir lebih kurang lima puluh tahun.

Setelah naiknya Merah Selu, yang kemudian bergelar Malikush Shaleh, keadaan politik berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Oleh itu, dengan berdasarkan sumber penyelidikan yang kedua ini, bererti Malikush Shaleh adalah sebagai penyelamat kerajaan Islam Samudera Pasai tetapi bukan sebagai pendiri kerajaan tersebut sebagaimana dinyatakan dalam sejarah yang terdahulu.

Setelah Sultan Malikush Shaleh mangkat pada Ramadan 696H/1297M, beliau diganti oleh puteranya bernama Sultan Muhammad Malik Zahir pada tahun 1297M - 1326M.

Mengenai Sultan Malikush Shaleh
*Mendirikan negeri Samudera Pasai
*Beliau juga dikenali dengan nama Merah Sile atau dalam versi lain bernama Merah Selu.
*Malikush Shaleh adalah nama setelah beliau memeluk agama Islam yang diberi oleh seorang ulama yang datang dari Mekah bernama Syeikh Ismail.
*Menerima ilmu daripada Hamad Akhbar.
*Malikush Shaleh adalah sebagai penyelamat kerajaan Islam Samudera Pasai.
*Ayahnya bernama Merah Gajah (berdasarkan Hikayat Raja-Raja Pasai).
*Mangkat pada Ramadhan 696H/1297M
*Pemerintahannya diganti oleh puteranya, Sultan Muhammad Malik Zahir

SAIYID JAMALUDDIN AL-KUBRA

Datuk Nenek Ulama Melayu
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DATUK nenek ulama dan tokoh besar yang diperkenalkan ini adalah seorang ulama bernama Ahmad al-Jarimi al-Yamani yang berpindah ke Yaman melalui negeri Syam.

Diriwayatkan salah seorang anak beliau pindah ke Fathani Darus Salam, lalu membuka sebuah perkampungan baru yang dinamakan Kampung Jerim/Jaram atau dalam dialek Patani disebut Kampung Jering.

Saiyid Jamaluddin al-Hadhrami al-Jarimi al-Yamani adalah salah seorang keturunan mereka. Beliau mempunyai nama yang banyak iaitu Saiyid Jamaluddin al-Akbar, Saiyid Jamaluddin al-Kubra al-Husein. Dalam versi Patani digelar juga dengan ‘Abar’ atau ‘Ibar’. Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, perkataan ‘al-Abar’ terjemahannya dalam bahasa Melayu ialah ‘terlebih mempunyai kebajikan’ atau ‘terlebih banyak kebajikan’.

Jika ditambah sabdu pada huruf ba dan menjadi ‘al-abbar’, ianya bererti pembuat jarum. Perkataan ibratun dalam bentuk jamaknya ‘ibarun’ dan ‘ibaarun’, kedua-duanya bererti jarum.

Nama ‘Abar’ atau ‘Ibar’ adalah gelaran untuk Saiyid Jamaluddin al-Husein yang barangkali tulisan asalnya ialah antara huruf ba dan huruf ra, dan tidak terdapat huruf alif.

Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, bahawa Nabi Muhammad s.a.w digelar juga dengan al-Shadiq al-Abar yang bererti yang benar lagi terlebih mempunyai kebajikan atau yang benar, yang terlebih banyak kebajikan.

Istilah ‘Abar’ pula adalah dari perkataan dialek orang-orang Patani, yang berasal dari perkataan ‘al-akbar’ kerana nama sebenar ulama ini adalah Saiyid Jamaluddin al-Akbar.

Abar/Ibar menurut versi Patani adalah lahir di Kerisik, Patani. Tetapi dalam kebanyakan sejarah, dikatakan bahawa beliau adalah seorang keturunan Arab yang menyebarkan Islam di Kemboja.

Namun ada pendapat mengandaikan bahawa beliau lahir di Kemboja. Kemboja yang dimaksudkan ialah negeri Cam yang dibuka oleh orang-orang Patani bersama-sama orang-orang Arab dan Parsi dalam pelayaran menuju ke negeri Cina pada zaman dulu.

Lama kelamaan nama Cam itu berubah menjadi Campa, kemudian Cam/Campa itu terkenal sebagai kawasan yang berperanan dalam penyebaran Islam di dunia Melayu dalam abad ke-14 dan 15 Masihi.

Dalam Pesaka IX halaman 4, Abdul Rahman al-Ahmadi menulis, “Islam di Campa dibawa oleh seseorang mubaligh terkenal, Syeikh Hussain Jamaluddin al-Qubra yang sebelum ke Campa pernah beristeri dengan salah seorang puteri dari atau dinasti yang nanti kemudian hari menurunkan raja terkenal dalam sejarah dengan gelaran Raja Cermin.

“Di Campa, Syed Hussain Jamaluddin al-Qubra telah berkahwin pula dengan Ramawati, puteri Sultan Zainal Abidin Syah, Raja Campa....”.

Martin Van Bruinessen telah memetik tulisan Saiyid ‘Al-wi Thahir al-Haddad, lalu menulis dalam buku berjudul Kitab Kuning, “Putra Syah Ahmad, Jamaluddin dan saudara-saudaranya konon telah mengembara ke Asia Tenggara.

“Jamaluddin sendiri pertamanya menjejakkan kakinya ke Kemboja dan Aceh, kemudian belayar ke Semarang dan menghabiskan waktu bertahun-tahun di Jawa, hingga akhirnya melanjutkan pengembaraannya ke Pulau Bugis, di mana dia meninggal.” (al-Haddad 1403 :8-11).

Diriwayatkan pula beliau menyebarkan Islam ke Indonesia bersama rombongan kaum kerabatnya. Anaknya, Saiyid Ibrahim ditinggalkan di Aceh untuk mendidik masyarakat dalam ilmu keislaman.

Kemudian, Saiyid Jamaluddin ke Majapahit, selanjutnya ke negeri Bugis, lalu meninggal dunia di Wajok (Sulawesi Selatan). Tetapi menurut K.H.R. Abdullah bin Nuh pula di Tuwajuk yang menurut sumber dari Gresik:Wajok-Makasar.

Tahun kedatangannya di Sulawesi adalah 1452M dan tahun wafatnya 1453M yang disebut oleh Ibhar dalam bukunya Wali Songo halaman 40. Namun menurut penelitian penulis berkemungkinan faktanya adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Mengenai Islam di negeri Bugis dalam Hadiqat al-Azhar, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani menulis, “Dan raja yang ke empat puluh daripada mereka itu namanya Lam Dasilah anak Datuk Raluwak. Dan Lam Dasilah inilah awal mereka yang masuk Islam di dalam tanah Bugis pada tahun delapan ratus daripada hijrah (800H). Dan masuk Islam kemudian daripadanya oleh ahli Bugis sekalian mereka itu.”

Tahun 800H yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itu kira-kira bersamaan dengan tahun 1397M.

Apabila memperhatikan peristiwa Saiyid Jamaluddin ke Jawa dalam tahun yang tersebut, maka berkemungkinan yang dimaksudkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada tulisan tersebut adalah tahun itu juga kedatangan Saiyid Jamaluddin ke tanah Bugis itu.

Ini bererti catatan Syeikh Ahmad al-Fathani tersebut adalah satu kontroversi dengan pendapat umum ahli sejarah yang menyebut bahawa yang pertama mengislamkan tanah Bugis adalah tiga orang ulama yang berasal dari Minangkabau. Meraka ialah Khatib Tunggal Abdul Makmur yang digelar Datuk Ri Bandang, Sulaiman Khatib Sulung yang digelar Datuk Patimang dan Abdul Jawad Khatib Bungsu dengan gelaran Datuk Ri Tiro, dan mereka sampai Sulawesi pada tahun 1605M.

Satu kontroversi pula terhadap buku berjudul Hikayat Pada Menyatakan Ceritera-Ceritera Tanah Melayu dan Pulau Perca dan Sebagainya, yang menyebut bahawa bangsa rumpun Melayu yang terakhir memeluk Islam ialah bangsa Bugis tahun 1620M. Menurut buku itu juga, Islam mulai tersebar di alam Melayu pada tahun 1100M.

Bukti bahawa Islam yang disebarkan di Sulawesi jauh lebih awal dari kedatangan Datuk Ri Bandang dan sahabat-sahabatnya tahun 1605M itu, adalah salah seorang ulama keturunan Patani-Johor masih ada hubungan kekeluargaan dengan Saiyid Jamaluddin menyebarkan Islam ke Pulau Buton dalam tahun 815H/1412M.

Jika dibandingkan kedatangan Saiyid Jamaluddin ke tanah besar Sulawesi (800H/1397M) dengan Pulau kecil yang berdekatan dengannya, iaitu Pulau Buton (815H/1412M) hanya berbeza lebih kurang 15 tahun sahaja.

Mubaligh tersebut lalu diundang oleh Raja Mulae Sangia i-Gola dan baginda langsung memeluk agama Islam. Seratus tahun kemudian, seorang mubaligh yang berasal dari Patani-Johor juga bernama Syarif Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan Saiyid Jamaluddin tiba di Pulau Buton tahun 1564M, barulah raja di Kerajaan Wolio dan rakyat jelata memeluk Islam secara massa.

Dibandingkan pula dengan tulisan La Ode Malim, kata penghantar buku Membara Diapi Tuhan oleh Sultan La Ode Muhammad Idrus Qaimuddin, Saiyid Jamaluddin al-Akbar al-Husein memperoleh anak tiga orang, iaitu Saiyid Ibrahim, Saiyid Barakat Zainal Alam dan Saiyid Ali Nur Alam. Ketiga-tiga anak beliau menurunkan sangat ramai tokoh-tokoh pemimpin dan penyebar Islam yang terkenal di alam sejagat dunia Melayu.

Wednesday, October 24, 2007

SYEIKH ABDUL JALIL AL-MAHDANI

Guru Agama Sultan Kedah
Oleh Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah

PENGENALAN awal gerangan orang yang bernama Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani hanyalah daripada satu sumber sahaja, iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Kerani Muhammad Arshad dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, yang kemudian ditransliterasikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968.
Oleh sebab ulama ini dinyatakan dalam buku yang tersebut adalah ayah atau orang tua kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sedangkan dalam beberapa maklumat yang lain ayah atau orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Syeikh Abdullah, dan yang lain pula menyebut bernama Syeikh Abdur Rahman, maka penelitian dan kajian yang lebih kemas perlu dilakukan.
Namun begitu, penulis pernah membuat bahasan terawal mengenai hal ini, dan dapat diperhatikan dalam buku penulis berjudul Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1996, hlm: 1-5).

ASAL USUL DAN KEDATANGAN KE NUSANTARA

Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Berasal dari San’a, Yaman. Nama-nama lain untuk personaliti ini ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman belum dibicarakan di sini, selanjutnya dibahas di bawah judul Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani.
Tersebut kisah seorang Arab penyebar Islam yang berasal dari San’a, Yemen. Nama beliau ialah Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahhab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani. Kurang jelas tahun kedatangannya ke Palembang, Indonesia namun dikatakan bahawa setelah enam bulan beliau berada di Palembang, beliau berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya, Tengku Muhammad Jiwa keturunan Sultan Kedah.
Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa tidak lama, lalu berangkat pula ke India. Muridnya yang berasal dari Kedah itu juga mengikut beliau ke India. Oleh kerana Tuan Syeikh Abdul Jalil tidak mengetahui bahawa muridnya yang setia itu seorang anak raja, maka seolah-olah Tengku Muhammad Jiwa itu adalah sebagai khadamnya. Namun demikian, muridnya itu sangat pandai menyembunyikan kebangsawanannya. Bahawa dia sentiasa tawaduk kepada Syeikh Abdul Jalil itu.
Syeikh Abdul Jalil dan muridnya itu sentiasa berpindah-pindah tempat di negeri India itu, barangkali sangat banyak kota dan kampung menjadi tempat kegiatan dakwah yang beliau rintis, sehinggakan di negeri India beliau mendapat seorang murid yang setia seperti Tengku Muhammad Jiwa, nama pemuda itu Hapisap.
Setelah sekian lama Tengku Muhammad Jiwa menjadi muridnya, namun Tengku Muhammad Jiwa tetap menyembunyikan dirinya sebagai seorang putera raja Kedah.
Pada satu ketika Tengku Muhammad Jiwa menceritakan kepada gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan sahabatnya Hapisap bahawa Kedah satu negeri besar juga, rajanya seorang Islam bernama Sultan Abdullah. Tengku Muhammad Jiwa mengatakan bahawa adalah patut Tuan Syeikh dan Hapisap berlayar ke sebelah sana.
Ajakan Tengku Muhammad Jiwa itu tiada lain, melainkan didorong oleh kerinduan beliau kepada sanak keluarga, rasa cinta kepada tanah air dan utamanya, ingin menyebar agama Islam lebih luas lagi.
Dari segi hubungan sanak-saudara, ia teringatkan hadis-hadis tentang suatu kewajipan menghubungi silaturahim yang telah terputus, antaranya dengan sanak-saudara di Kedah itu. Ditinjau dari segi cinta kepada tanah air, ia tiada lupa bahawa, mencintai tanah air itu adalah sebahagian daripada iman (hadis Nabi Muhammad s.a.w.).

Ampuh dan kukuh

Lebih dari segala itu adalah menyebarkan Islam, bahawa ia berasaskan kewajipan menyebarkan ilmu pengetahuan Islam, kerana ilmu yang dikuasainya sangat banyak dan mendalam yang diterimanya dari Syeikh Abdul Jalil Mahdani itu. Bahawa ia bercita-cita membina Islam di Kedah yang telah kuat berpegang dengan dasar-dasar Islam sejak lama itu lebih ampuh dan kukuh asas Islamnya pada masanya, dan masa-masa mendatang kemudian daripadanya.
Pada tahun itu juga (1122 H bersamaan 1710 M), Syeikh Abdul Jalil Mahdani berkenan memenuhi ajakan muridnya itu, maka berangkatlah mereka bertiga dengan sebuah kapal yang berasal dari sebuah pelabuhan Arab (berbangsa Maskat) yang kebetulan singgah di India untuk menuju ke Tenggara. Dalam pelayaran itu mereka singgah di pelabuhan Murgi/Murgui di negeri Burma.
Kejadian di Negeri Kedah pula pada masa keberangkatan Tengku Muhammad Jiwa, bahawa ayah Tengku Muhammad Jiwa, Sultan Abdullah al-Muazzam Shah mangkat pada 13 Jamadilakhir 1118 H/1706 M. Baginda diganti oleh puteranya, Tengku Ahmad Tajuddin Halim Syah. Baginda mangkat pula. Oleh kerana Tengku Ahmad Tajuddin tidak meninggalkan putera mahupun puteri, maka timbullah masalah tentang pengganti baginda sebagai Sultan Kedah.
Maka, para pembesar Kedah sepakat untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa, kerana enam tahun lamanya meninggalkan Kedah tanpa memberi berita sesuatu apa pun juga.
Dato’ Kema Jaya berangkat mencari berita ke arah jurusan Sumatera dan Jawa. Dato’ Indera Mambang menuju ke arah jurusan India dan Burma. Dato’ Seri Indera Mambang berhasil menemui Tengku Muhammad Jiwa, yang kebetulan kapal layar kedua-dua pihak itu berlabuh di pelabuhan negeri Burma.
Pada mulanya Dato’ Seri Indera Mambang tidak mengenali Tengku Muhammad Jiwa kerana pakaian yang telah berubah, mungkin kerana menurut model India tidak mengikut model pakaian Melayu Kedah dan parasnya juga telah berubah. Tetapi Tengku Muhammad Jiwa masih mengenali Dato’ Seri Indera Mambang.
Setelah diketahui oleh Tengku Muhammad Jiwa bahawa ayahandanya telah mangkat, demikian juga saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin, lalu ia menangis. Maka barulah diketahui oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil bahawa Tengku Muhammad Jiwa itu adalah seorang putera Sultan Kedah sendiri.
Tengku Muhammad Jiwa menjawab pertanyaan gurunya tentang dirinya semuanya menggunakan bahasa Arab, memang tidak sia-sialah dia belajar selama ini, bahawa ia fasih berkata-kata dalam bahasa Islam yang tercinta itu. Akhirnya semua mereka berangkat menuju ke Kedah.

DILANTIK SEBAGAI MUFTI

Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi Sultan Kedah menggantikan saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin. Ketika beliau ditabalkan menjadi Sultan, gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani telah membaca doa untuk baginda. Pada suatu hari, pada suatu permusyawaratan, Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata: “Hamba persilakan mamak-mamak dan guru hamba kerana hamba hendak bermuafakat hendak memberi pangkat kepada Hapisap iaitu menjadi kadi menggantikan kadi yang telah kembali ke rahmatullah Taala itu”. Maka dijawab sekalian menteri dan Tuan Syeikh, “Benar seperti titah itu”.
Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata pula, “Hamba harap guru hamba menjadi mufti di dalam negeri Kedah ini.”
Tidak berapa lama setelah pengangkatan tersebut, Tengku Muhammad Jiwa berusaha pula menjodohkan tuan gurunya, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dengan perempuan di lingkungan istana, bernama Wan Zainab binti Dato’ Seri Maharaja Putra Dewa.

KETURUNAN

Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya dari Palembang bernama Raden Siran. Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke Palembang kerana murid-muridnya di Palembang sangat rindu kepada beliau.
Di Palembang, Raden Siran berusaha mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka terjadilah perkahwinan antara Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.
Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu, mereka memperoleh seorang anak, Abdus Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani seorang ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan karyanya yang terkemuka, Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan diperkenalkan kemudian.
Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah dan Wan Abdullah yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.
Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang itu, maklumat keturunannya hanya diketahui seorang anaknya bernama Fathimah. Mengenai kedua-dua anaknya yang di Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat dikesan.

WAFAT

Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis pernah sampai ke makam itu membuat penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M. Kawasan makam sangat luas, sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana membayar nazar.
Penulis diberitahu oleh salah seorang penunggu makam bahawa orang-orang India datang ke tempat itu setahun sekali, secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan menyampaikan nazar.

Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani
- Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani
- Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.
- Berasal dari San'a, Yemen.
- Nama-nama lainnya ialah; Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.
- Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah) dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).
- Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.
- Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.
* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.

TOK PULAU MANIS SYEIKH ABDUL MALIK TERENGGANU

TOKOH yang acap kali memperkenalkan pelbagai aspek ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik Terengganu yang digelar dengan Tok Pulau Manis ini ialah Shafie Abu Bakar.
Namun, tulisan ini penulis mulai dari penemuan sebuah salasilah yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan adik-beradik Syeikh Abdul Malik Terengganu.
Tertulis pada bahagian atas salasilah, “Bismillahir Rahmanir Rahim Syarif Muhammad, satu raja yang memerintah akan negeri Baghdad kerana mengambil ... (tak dapat dibaca) lalu pergi ke Mekah. Kemudian diturut orang akan dia. Maka lari ke Terengganu, lalu duduk di Ulu Pauh. Dan wafatlah ia di Pauh. Maka meninggalkan anak dua orang, satu Abdullah dan kedua Abdul Malik. Maka Abdul Malik itulah Datuk Pulau Manis yang keramat itu”.

Daripada salasilah di atas, ternyata terdapat kelainan dengan tulisan-tulisan sebelum ini, iaitu semua penulis termasuk penulis sendiri, menyebut bahawa nama ayah Syeikh Abdul Malik Terengganu ialah Abdullah. Ada pun dalam salasilah di atas, ayahnya ditulis Syarif Muhammad yang berasal dari Baghdad.
Nama Abdullah itu adalah adik-beradik Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis). Adik-beradiknya yang seorang lagi bernama Abdul Qahhar. Tetapi sebelum ini ada salah seorang keturunan ulama ini meriwayatkan kepada penulis bahawa datuk dan nenek kepada Syeikh Abdul Malik ialah Syarif Abdul Qahhar. Anak lelaki Syarif Abdul Qahhar itu bernama Abdullah, iaitulah ayah bagi Syeikh Abdul Malik.

Salasilah versi yang lain memberikan maklumat bahawa Syeikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Saiyid Muhammad. Sangat sukar untuk mentahqiqkan riwayat yang bersimpang-siur seperti ini, tulisan-tulisan yang terdahulu masih belum dapat dimansuhkan sedang salasilah yang bertulis, yang baru diperoleh juga sukar ditolak.
Berdasarkan salasilah yang baru diperoleh, bahawa dari tiga orang adik beradik ulama yang berasal dari Baghdad itu, hanya Abdul Qahhar saja yang tidak tercatat meninggalkan anak dan zuriat. Abdullah iaitu adik beradik yang kedua, memperoleh seorang anak bernama Sulaih.
Sulaih menurunkan zuriat hingga kepada pemilik salasilah, iaitu Jamaluddin bin Yusuf Terengganu. Dicatat pada sudut kanan, “Pada tiap-tiap satu daripada keturunan Abdullah ini banyak lagi pecahan saudara dan anak-anaknya”.

Catatan dalam salasilah bahawa yang ramai meninggalkan zuriat ialah Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis), yang berpunca dari tiga orang anaknya.
Sebagaimana disebutkan bahawa yang paling banyak memperkenalkan Syeikh Abdul Malik ialah Shafie Abu Bakar, oleh itu dapat dirujuk tulisan-tulisannya. Dalam Pesaka II dengan judul Syeikh Abdul Malik Bin Abdullah dan Karangan-karangannya.
Dalam Pesaka IV, dengan judul Hikam Melayu (HM) di Dalam Perkembangan Tasawuf Kedudukan dan Penetapan Pengarangnya. Juga tulisan Shafie bin Abu Bakar dimuat dalam buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan, dengan judul Tok Pulau Manis Dan Pengasasan Pendidikan Islam.
Penulis sendiri telah memperkenalkan ulama tersebut dalam Katalog Pameran Manuskrip Melayu terbitan Perpustakaan Negara Malaysia dalam rangka Sempena Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu kedua 15-20 Ogos 1989. Tulisan penulis pula dimuat dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990.
Ismail Che Daud pula dalam majalah Pengasuh bilangan 509, Februari 1991 memunculkan judul Tok Pulau Manis (1650an - 1736 M) Penulis Syarah Hikam. Pengakuan Kitab Syarah Hikam Melayu sebagai karya Tok Pulau Manis Terengganu mulai diragukan pertama sekali dikemukakan oleh Abdur Razak Mahmud ditulis dalam majalah Pengasuh bilangan 511, April 1991 sebagai tanggapan terhadap tulisan lsmail Che Daud. Ia sekali gus menyentuh tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar yang tersebut.
Dalam Seminar Warisan Kitab-Kitab Melayu Lama pada 28 Safar 1412/7 September 1991, anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, pembentang kertas kerja Abdul Aziz bin Ismail sangat banyak menyebut nama Tok Pulau Manis dan Kitab Hikam Melayu, dan lain-lain sangat banyak untuk disebutkan. Oleh itu, beberapa perkara yang telah banyak dibicarakan, penulis sentuh serba ringkas saja. Bagaimanapun, beberapa penemuan baru dirasakan perlu diulas agak panjang terutama mengenai keturunannya yang menjadi ulama atau tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

PENDIDIKAN

Tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu tercatat antara tahun 1089 H/1676 M-1149 H/1736 M, demikian tersurat di atas kubur beliau, yang menurut salah satu tulisan Misbaha. Tetapi penyelidikan terakhir memberikan maklumat bahawa beliau lahir lebih awal dari tahun yang tersebut itu, iaitu kira-kira 1650 M.
Setelah mendapat pendidikan di kampung sendiri dan dari beberapa ulama di Terengganu, beliau meneruskan pelajarannya ke Aceh. Di antara gurunya di Aceh ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi.
Mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah daripada ulama Aceh yang terkenal itu. Mereka melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Madinah. Sewaktu di Mekah bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani.
Syeikh Ibrahim al-Kurani ini juga guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

KARYA-KARYA

Mengenai karya beliau semuanya dapat dirujuk kepada tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar, kecuali kitab Syarah Hikam Melayu dalam penyelidikan terkini dimunculkan sebagai bukan karya Tok Pulau Manis oleh Abdur Razak Mahmud yang beliau tulis dalam majalah Pengasuh yang telah disebutkan.
Dalam tulisan terdahulu, penulis menyatakan kitab yang dipertikaikan itu termasuk dalam senarai. Ada dua kitab yang penulis bicarakan dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990, yang sebuah lagi ialah Kitab Kifayah manuskrip salinan Tok Kelaba yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu dengan nombor kelas MS 517. Tok Kelaba cukup jelas menyebut kitab tersebut adalah karya Tok Pulau Manis. Akan tetapi ada sebuah manuskrip koleksi penulis yang ditemui di Kampung Kepala Bukit Senggora (Mei 1993) dengan judul Al-Kitabul Kifayah, selain judulnya sama juga kandungannya adalah sama, bahawa dinyatakan sebagai karya Imam Syafie (maksudnya bukan Imam Syafie imam mazhab) yang diselesaikan penulisannya pada hari Khamis, 2 Safar 1180 H/1766 M.
Ada pun salinan Tok Kelaba tidak tersebut tahun selesai menulisnya, hanya disebutkan tahun selesai penyalinan saja iaitu pada 13 Zulkaedah 1297 H/1879 M (kira-kira 117 tahun kemudian).
Ingin penulis sebutkan di sini bahawa penulis menemui sebuah manuskrip karya beliau di Patani (hadiah seorang Tuan Guru, Julai 1991). Manuskrip yang telah penulis miliki itu belum pernah disebut dalam semua tulisan sebelum ini. Risalah tersebut nipis saja, hanya enam halaman tetapi lengkap. Di akhir risalah tertulis, “Maka adalah yang memindahkan dan yang menjadikan segala perkataan ini semuanya fakir yang hina iaitu Haji Abdul Malik ibnu Abdullah al-Jawi ...”. Kandungan kitab ini ialah jawapan beliau atas beberapa pertanyaan yang bersangkutpaut dengan nikah kahwin.
Ada pun mengenai kitab Syarah Hikam Melayu, pada mulanya telah sepakat dikatakan sebagai karya Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis). Kemudian dibantah oleh Abdur Razak Mahmud, mengenai ini telah penulis bahas dengan agak panjang dimuat dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani (terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, September 1993).
Adapun penulis mempunyai pelbagai edisi cetakan Syarah Hikam Melayu, termasuk cetakan pertama yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di bawah perkataan dalam bahasa Arab cetakan pertama, dinyatakan, “Inilah terapan yang pertama daripada kitab ini”.
Di bawahnya lagi dijelaskan, “Diterapkan dia dengan peterapan Miri pada negeri Mekah al-Mukarramah”. Cetakan pertama yang tersebut adalah tahun 1302 H. Ukuran cetakan 28.8 x 20.8 cm, tebal 208 halaman.
Pada akhir cetakan Syeikh Ahmad al-Fathani, mencatatkan, “Dengan Tolong Al-Malikul Wahhab. Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustathab, iaitu Syarah Hikam Ibni ‘Athaullah dengan bahasa Melayu. Dan adalah pada tharah kitab ini dahulu hamba sebutkan hal keadaannya nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ulama Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani.
Dan selesai men(ge)capkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita ‘Alais Shalatu was Salam .... Oleh itu, pembahasan kitab Syarah Hikam Melayu dan lapan bait puisi Syeikh Ahmad al-Fathani yang terletak di bahagian depan semua cetakan kitab tersebut telah cukup jelas dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani, maka ditutup sampai di sini saja.

KETURUNAN

Syeikh Abdul Malik Terengganu memperoleh tiga orang anak iaitu: Imam Yusuf Kesuma, Badruddin dan Mik Tok Bungkuk. Ada pun Imam Yusuf Kesuma itu memperoleh anak dua orang, ialah: Abdur Rahman dan Ali. Sampai di sini salalsilah terputus, tidak terdapat sambungan keturunannya. Malahan salasilah Mik Tok Bungkuk terputus juga. Yang teramai memperoleh anak dan keturunan ialah anak Tok Pulau Manis yang kedua, iaitu Badruddin. Badruddin memperoleh lapan anak iaitu tujuh lelaki dan hanya seorang saja yang perempuan. Mereka ialah; Daud, Husein, Hasan, Muhammad, Musa, Isa, Maimunah dan Ya’qub.
Huraian ringkas salasilah sebagai yang berikut: Daud (No. 1) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak; Sulaiman, Fatimah, Usman, Badruddin, Husein, Umar, Abu Bakar, Idris dan Khatib Muhammad Shalih
Salasilah terputus kecuali Khatib Muhammad Shalih dikatakan memperoleh anak bernama Ali.
Husein (No. 2) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya dua orang, ialah Yusuf dan Aisyah. Salasilah juga terputus.
Hasan (No. 3) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya seorang, ialah Zainab. Salasilah juga terputus.
Muhammad (No. 4) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh dua anak orang, ialah Wan Abdul Qadir dan Wan Semik. Salasilah juga terputus.
Musa (No. 5) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, salasilah juga terputus.
Isa (No. 6) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Aminah, Aisyah, Habibah, Salamah dan Haji Abdul Malik.
Aminah (No. 1) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Muhammad, Imam, Usman, Aisyah dan Asiah.
Salasilah terputus dan nama suami Aminah tidak tercatat dalam salasilah.
Aisyah (No. 2) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik juga memperoleh lima anak iaitu; Syarifah, Haji Ahmad, Shafiyah, Sa’diyah dan Abdur Rahman.
Salasilah juga terputus dan nama suami Aisyah juga tidak tercatat dalam salasilah.
Habibah (No. 3) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik dan Salamah (No. 4) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, keturunannya tidak tercatat dalam salasilah. Yang ramai anak dan ramai keturunan yang tercatat dalam salasilah ialah Haji Abdul Malik (No. 5) bin Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik. Sebelum menyebut keturunan beliau, perlu dicatatkan di sini bahawa Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu ini adalah salah seorang murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Jadi Haji Abdul Malik bin Isa cucu Tok Ku Pulau Manis Terengganu tersebut adalah termasuk ulama besar Terengganu pada zamannya. Haji Abdul Malik (No. 5) memperoleh enam anak; Haji Muhammad al-Qadhi, Encik Ahmad, Haji Abdur Rahim, Abdur Rahman, Abdullah dan Maryam.
Haji Muhammad al-Qadhi (No. 1) memperoleh empat anak iaitu; Kaltsum, Abdullah, Abdul Malik dan Musa
Encik Ahmad (No. 2) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 2 orang, ialah: Muhammad dan Haji Abdullah.
Haji Abdur Rahim (No. 3) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 4 orang, ialah; Muhammad Encik Da, Ahmad Encik Hitam, Halimah Encik Wok dan Khadijah Encik Nik
Muhammad Encik Da (No. 1) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya seorang, ialah: Abdullah Encik Awang. Abdullah Encik Awang memperoleh anak 3 orang, ialah: Isa Encik Long, Khadijah Encik Wok dan Shafiyah Encik Nik. Salasilah terputus hingga sampai di sini.
Ahmad Encik Hitam (No. 2) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin 'lsa bin Syeikh Abdul Malik tidak tercatat nama anak dan keturunannya, yang tercatat hanya "Kubur keduanya (maksudnya Muhammad Encik Da dan Ahmad Encik Hitam) di maqam Tuan Syeikh Abdul Qadir".
Selanjutnya Halimah Encik Wok (No. 3) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik juga tidak tercatat nama anak dan keturunannya, sedang adiknya Khadijah Encik Nik (No. 4) anak-anaknya ialah: Ismail Encik Su, Maimunah Encik Wok, Aisyah Encik Tih dan Satidah Encik Hitam.
Selain itu, penulis masih meragui bahawa ditarik garis ke bawah sesudah Khadijah Encik Nik juga disebut nama Tuan Syeikh Abdul Qadir (maksudnya Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas). Mengenai ini tidak jelas, kerana menurut sejarah yang terkenal, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, ulama besar yang sangat terkenal itu adalah anak Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani. Mungkin saja Haji Abdur Rahim, ayah Khadijah Encik Nik adalah betul datuk/nenek Syeikh Abdul Qadir al-Fathani Bukit Bayas itu dari pihak sebelah ibunya, dan secara kebetulan serupa nama dengan ayah beliau iaitu Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani itu. Ini dapat diketahui dengan jelas kerana Haji Abdur Rahim (ayah Khadijah) nama ayahnya ialah Haji Abdul Malik bin Isa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu, sedang Syeikh Abdur Rahim al-Fathani (ayah Syeikh Abdul Qadir) nama ayahnya ialah Wan Deraman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ismail bin Faqih Ali.

Monday, October 8, 2007

SYEIKH ABDUL GHAFUR BIN ABBAZS AL-MADURI

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

KEMUNCULAN pengkaryaan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi yang berasal dari Pulau Madura berjudul Tarjamatu Kitabis Shalihin tahun 1200 H/1785 M, adalah bersamaan dengan pengkaryaan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari judul Ad-Durrun Nafis juga dalam tahun 1200 H/1785 M, yang pernah dibicarakan sebelum ini.
Syeikh Muhammad Nafis berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, manakala Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi pula berasal dari Pulau Madura, Jawa Timur.
Karya ulama yang berasal dari Banjar itu sangat terkenal kerana terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan tersebar luas di seluruh dunia Melayu. Karya ulama yang berasal dari Madura yang akan diperkenalkan ini belum diketahui oleh khalayak insani Melayu, kerana manuskripnya baru saja jatuh ke tangan fakir pengkaji pada Khamis, 5 Rabiulawal 1421 H/8 Jun 2000 M di Tanjung Pinang, ibu kota Kepulauan Riau.
Manuskrip diperoleh daripada anak penyalin manuskrip yang tersebut iaitu Wan Muda binti Wan Muhammad Syawal al-Fathani.
Sewaktu penyerahan manuskrip, Wan Muda dalam usia 115 tahun menerangkan bahawa manuskrip ini adalah salinan orang tuanya Wan Muhammad Syawal al-Fathani.
Penyalinan dilakukan di Pulau Bunguran/ Natuna (Indonesia). Wan Muhammad Syawal al-Fathani meninggal dunia dalam usia yang sangat lanjut di Pulau Bunguran/Natuna dalam usia 130 tahun.
Biografi Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi yang dibicarakan ini sukar diperkenalkan di sini kerana belum pernah ditulis orang. Lagi pula belum ada karyanya yang lain yang dijumpai, karyanya yang disebut namanya di atas adalah merupakan satu-satunya yang sampai ke tangan kita.
Berdasarkan karya tunggal ini, dapat dikesan bahawa Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura adalah hidup sezaman dengan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Dipercayai kedua-duanya adalah seperguruan di Mekah. Tarekat yang diamalnya ialah Tarekat Sammaniyah.
Tiada syak lagi bahawa Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura ialah murid Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani (lahir 1130 H/1717 M, riwayat lain dinyatakan lahir 1132 H/1720 M, wafat 1189 H/1776 M), iaitu guru juga bagi Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, dan ramai lagi.
Analisis manuskrip Tarjamatu kitab Ash-Shalihin
Manuskrip yang dijumpai tidak lengkap hanya 220 halaman saja. Halaman sebenar belum diketahui kerana beberapa halaman bahagian akhir belum dijumpai. Ukuran manuskrip 19 x 15.8 cm. Purata 17 baris setiap muka surat/halaman.
Pada mukadimah Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menulis, “Ada pun kemudian daripada itu, lagi akan berkata fakir yang berkehendak kepada rahmat-Nya yang kuasa, iaitu asy-Syeikh Abdul Ghafur yang Abbasi, Mandura nama asal negerinya, dan Syafie mazhabnya, dan Khalwati tarekatnya, dan asy-Syeikh Samman itu syeikhnya dan gurunya. Tatkala adalah hijrah an-Nabi s.a.w genap seribu dua ratus (1200 H/1785 M), dan kelebihan akan zaman telah berubah, dan segala manusia daripada jalan yang benar telah berpaling membelakangkan dia, ertinya seperti firman: “Telah nyatalah kebinasaan dalam daratan dan lautan dengan suatu yang diperbuat akan dia oleh segala tangan manusia”.
“Tergeraklah bagiku khathir bahawa hendak ku terjemahkan kitab yang bernama Ash-Shalihin ... iaitu karangan asy-syeikh yang alim, lagi banyak ilmunya, yang mentahqiqkan segala masalah, lagi halus pada fahamnya, lagi arif dengan Allah s.w.t, iaitu asy-Syeikh Abdullah yang anak asy-Syeikh Abdul Aziz. Memberi manfaat kiranya akan kami oleh Allah dengan dia dan dengan segala ilmunya dan segala Muslimin”.
Sesudah mukadimah yang ada persamaan dengan Hidayatus Salikin,(1192 H/1778 M) karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, dari segi disiplin ilmu yang dibicarakan iaitu ilmu akidah Ahli Sunah wal Jamaah. Namun begitu, dari segi pembahasan dan kalimat-kalimat yang digunakan adalah berbeza.
Dilanjutkan dengan Fasal Pada Menyatakan Kelebihan Orang Alim Dan Kelebihan Orang Yang Menuntut Ilmu. Mengenai fasal ini dimulai dengan hadis riwayat Saidina Ali, “Bahawasanya ia berkata, Telah ku dengan Rasulullah s.a.w,” ... ertinya, “Bermula menilik kepada muka orang yang alim itu menjadi ibadat dan menjadi cahaya pada badan dan menjadi cahaya dalam hati”.
Selanjutnya dijelaskan lagi dengan katanya, “Syahdan hukum pada sembahyang yang lima waktu 17 rakaat, ada pun bagi sembahyang Zuhur dan Asar itu, maka iaitu lapan rakaat kerana empat rakaat keduanya. Maka barang siapa menyembahyangkan dia, maka terbukalah baginya sekalian pintu syurga yang kelapan. Dan Maghrib dengan Isyak itu tujuh rakaat. Maka barang siapa menyembahyangkan dia, nescaya tertutuplah sekalian pintu neraka yang tujuh. Maka Subuh dua rakaat, maka dengan rakaat yang pertama diampun baginya segala dosanya yang ada pada malamnya. Dan dengan rakaat yang kedua diampun baginya segala dosanya yang pada siangnya”.
Fasal yang berikutnya diberi judul Fasal Pada Menyatakan Puasa. Mengenai ini nampaknya hanya sebagai pelengkap saja, huraian yang diberikan sangat singkat, tidak seperti mengenai sembahyang.
Sesudah Fasal Pada Menyatakan Puasa, diikuti Fasal Pada Menyatakan Zakat. Huraian mengenai zakat lebih panjang dari huraian mengenai puasa. Sebagai penutup huraian zakat, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menegaskan, “Syahdan wajib menunaikan zakat dengan bersegera apabila diperoleh dengan dia, seperti ada harta hadir atau sudah kering buah-buahannya daripada dapat dia atau lainnya ...”.
Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura juga memandang penting adab golongan perempuan, maka sesudah Fasal Pada Menyatakan Zakat diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Segala Perempuan Dan Bersama-sama Dengan Dia.
Mengenai ini Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura memulai dengan sepotong hadis Nabi s.a.w, “Bermula perempuan itu apabila sembahyang ia akan lima waktunya, dan memberi zakat ia akan hartanya, dan puasa ia akan bulannya, yakni bulan Ramadan, dan taat ia akan suaminya, dan memelihara ia akan farajnya daripada yang haram, maka masuklah ia akan syurga pada barang pintu yang dikehendakinya ...”
Hadis yang tersebut dapat diklasifikasikan ke dalam hadis targhib (tentang khabar gembira), sesudahnya disambung dengan yang bercorak hadis tarhib (khabar ketakutan) dengan kalimatnya, “Dan lagi ceritera daripada Abu Hurairah, bahawasanya ia berkata, Telah ku dengar Rasulullah s.a.w bersabda ia dengan sabdanya, “Barang di mana ada perempuan keluar ia daripada rumah suaminya dengan tiada setahu suaminya melainkan disia-siakan oleh Allah amalannya 40 hari. Dan tiada diterima oleh Allah daripadanya segala-gala, banyak atau sedikit. Maka jika ia mati di dalam demikian hari itu nescaya dapat kerugian di dunia dan di akhirat...”.
Adalah patut juga dipetik satu kisah yang menyeramkan yang berasal dari hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Saiyidina Ali Karramahullahu wajhah, ditulis oleh Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura sebagai yang berikut, “... sabdanya, Telah ku lihat seorang daripadanya perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya. Dan ku lihat akan seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air neraka yang panas dituangkan ke dalam lehernya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dengan dua kakinya padahal terikat lagi terlipat. Telah mengeluarkan segala malaikat yang menyiksa dengan dua tangannya daripada pihak belakang dan minyak tanah dilumurkan pada badannya, dan dituangkan atasnya dimasukkan dalam lehernya.
“Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan dan dimasukkan dalam lehernya. Bermula zaqqum itu, iaitu buah kayu di dalam neraka yang amat pahitnya. Iaitulah makanan isi neraka. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung padahal memakan ia daging dirinya dan api neraka pada pihak bawahnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung, telah menambat segala Malaikat itu akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya.
“Dan dijadikan atas badannya beberapa ular dan kala hal keadaannya memakan ia akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya buta, tuli dan kelu di dalam kandungan daripada api neraka keadaannya keluar otak daripada kepalanya mengalir ke dalam hidungnya. “Dan segala badannya amat busuk lagi terpotong seperti kena penyakit besar. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya dipotong segala daging badannya daripada hadapan hingga ke belakangnya daripada segala anggotanya dengan kening daripada api. “Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya hitam sekalian mukanya dan busuk badannya dan ia memakan isi perutnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan atasnya seribu warna daripada seksa. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung atas rupa anjing, dan api itu masuk dari bawah dirinya dan keluar ia daripada mulutnya. Dan Malaikat itu memukul mereka itu, akan kepalanya dan badannya daripada pemukul daripada api ...”.
Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menyebut sampai pada kalimat itu Saiyidina Ali bin Abi Thalib dan Saidatina Fatimah bertanya kepada Rasulullah tentang dosa perempuan-perempuan yang terseksa yang berbagai-bagai itu, maka sabda Rasulullah, “Ada pun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu, maka bahawasanya ia tiada mahu menutupi rambutnya daripada segala lelaki yang lain, yang haram melihat dia. Dan ada pun perempuan yang digantung dengan lidah di air yang panas dituangkan ke dalam lehernya itu, maka bahawasanya ia menyakiti akan suaminya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dengan dua susunya itu, bahawasanya ia tiada memberikan daripadanya suaminya tiada dengan izinnya. Dan ada pun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya dalam kurungan api itu, maka bahawasanya ia keluar daripada rumah suaminya tiada dengan izin daripadanya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dan memakan tubuhnya dan api nyalakan daripada pihak bawahnya, maka bahawasanya ia memperhiasi akan tubuhnya kerana orang yang lain dan tiada memperhiasi ia akan suaminya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dengan dua kakinya yang tertambat kepada dua susunya dan dua susunya tertambat kepada ubunnya dan telah dijadikan kepadanya beberapa ular dan kala yang memakan ia akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya, maka bahawasanya ia di dalam tiada bersuci-suci badannya, dan tiada hendak mandi daripada junub, dan tiada haid, dan tiada nifas, dan ia meringan-ringankan, dan persendakan daripada sembahyang. Dan adapun perempuan yang ada tergantung hal keadaannya kelu, dan buta, dan tuli yang ada ia di dalam kandungan daripada api neraka, maka bahawasanya ada ia mendatangkan dengan anak daripada zina ditambatkan akan dia pada batang lehernya suaminya ...”.
Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menutup fasal ini dengan katanya, “Syahdan, apabila tegah bagi durhaka perempuan akan suaminya nescaya wajib atas suaminya mengajar akan dia. Maka apabila nyata durhakanya nescaya tinggalkan akan dia dalam tempat ketidurannya. Maka kekal durhakanya nescaya dipalu (dipukul) akan dia. Dan gugurlah nafkahnya dengan dia ...”.
Sesudah Fasal Pada Menyatakan Segala Perempuan Dan Bersama-sama Dengan Dia, diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Adab/Sopan Santun Serta Ibu Bapa. Mengenai ini dimulai dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, sabda Rasulullah s.a.w, “Bahawasanya Allah s.w.t telah memfardukan atas segala Mukmin taat bagi ibu bapanya seperti memfardukan Ia sembahyang akan yang wajib bagi ibu bapanya ...”.
Termasuk bahagian yang terpenting Tarjamatu Kitabis Shalihin ialah membicarakan perkara maksiat zahir dan maksiat batin. Sesudah itu dilanjutkan Fasal Pada Menyatakan Hukum Zina. Pada fasal ini terjadi penggabungan pentafsiran ayat al-Quran, hukum fiqh Syafi’iyah dan hadis-hadis targhib dan tarhib.
Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura memulai perkara ini dengan katanya, “Ketahui olehmu bahawasanya zina itu, iaitu dosa besar, tiada di bawah kufur dan menyekutui Allah s.w.t daripada dosa yang terlebih besar daripada zina. Hingga direjam yang berbuat dia ...”. Dalam fasal mengenai ini sekali gus serba ringkas disentuh juga tentang ancaman memakan harta riba dan zalim tidak menjalankan hukum menurut yang sebenar, diperintah oleh Allah s.w.t.
Setelah mengemukakan perbuatan dosa yang terkutuk dengan ancaman hukuman yang sangat berat di akhirat, lalu Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menganjurkan supaya melakukan taubat. Mengenai ini dinyatakan dalam Fasal Pada Menyatakan Taubat. Mengenai ini dimulai dengan kalimat, “Ketahui olehmu hai sekalian mukalaf, bahawasanya taubat itu fardu atas tiap-tiap Mukmin lelaki dan perempuan merdeka dan sahaya....”.
Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menegaskan, “Hendaklah dengan bersegera, kerana haram melambatkan dan mentakhirkan akan dia. Kerana tiap-tiap wajib menyegerakan dia haram melambatkan akan dia, sama dosa besar atau dosa kecil, daripada perkataan atau perbuatan...”
Setelah membahas tentang taubat dengan panjang, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menyelitkan dengan satu cerita yang menarik dari khabar/hadis, bahawa Allah telah menjadikan seperti pohon kayu dan baginya ada empat cabang.
Dinamakan perkara itu dengan Syajaratul Yaqin. Dari bahagian ini diceritakan dengan panjang lebar tentang kejadian Nur Muhammad. Selanjutnya kejadian keseluruhan makhluk baik pada alam ghaib mahu pun alam zahir, baik alam shaghir mahu pun alam kabir, baik alam dunia mahu pun alam akhirat.
Kesimpulan kandungan keseluruhan manuskrip Tarjamatu Kitabis Shalihin, karya Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura meliputi berbagai-bagai ilmu keislaman yang terdiri daripada hadis terutama hadis targhib dan tarhib, akidah, fikah, tasauf dan lain-lain yang ada hubungan dengannya.
* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.

Friday, October 5, 2007

SAIYID IBRAHIM AL-HADHRAMI AL-JARIMI AL-YAMANI AL-FATHANI

Penulis memulakan pengambilan data anak Saiyid Jamaluddin al-Kubra yang bernama Saiyid Ibrahim al-Hadhrami, yang dalam salasilah tulisan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani digunakan nama Syeikh Ibrahim Hadhrami bin Abar.
Salasilah antara Syeikh Ibrahim al-Hadhrami bin Abar al-Jarimi al-Yamani hingga kepada Ahmad al-Jarimi al-Yamani tidak beliau nyatakan. Tetapi disebutkan bahawa Syeikh Ibrahim Hadhrami adalah keturunan yang ke-13 daripada Ahmad al-Jarimi al-Yamani.
Apabila penulis membandingkan dengan buku berjudul R. Achmad Rachmatullah Sunan Ampel yang disusun oleh Panitia Haul Agung Sunan Ampel ke 527 Surabaya, Ringkasan Sejarah Wali Songo oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh dan lain-lain termasuk percakapan dengan beberapa orang yang telah lanjut usianya, dapat disimpulkan bahawa Syeikh Ibrahim al-Hadhrami itu menggunakan beberapa nama.
Di antaranya ialah, Ibrahim al-Ghozi atau Ibrahim Asmarakandhi. Selain itu, beliau juga digelar dengan Syarif Auliya’ atau Karimul Makhdum di Filipina Selatan. Juga digelar Ibrahim Asmoro atau Sunan Nggesik dan Saiyid Ibrahim Zainul Akbar dan Zainuddin al-Akbar Ibrahim bin Jamaluddin al-Husein.
Selanjutnya penyelidikan penulis di atas dikukuhkan bahawa apabila dihitung nama mulai daripada Ibrahim al-Ghozi hingga ke atasnya, sampai kepada Ahmad al-Muhajir, berdasarkan salasilah yang termaktub dalam buku yang dikeluarkan oleh Panitia Haul Agung Sunan Ampel, halaman 32 dan 33, terdapat 13 nama.
Ini bererti sama dengan keterangan dalam salasilah yang bersumberkan tulisan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani yang hanya menyebut bahawa Ibrahim Hadhrami adalah keturunan yang ketiga belas daripada Ahmad al-Jarimi al-Yamani.
Salasilah dalam buku tersebut menyebut dari dua sumber, iaitu Lembaga Research Islam, Pesantren Luhur Malang dan Kitab Tarikh Auliya’ karangan K. Bisri Musthofa Rembang.
Pendapat penulis pula ialah jalan sejarah Saiyid Ahmad al-Muhajir juga sama dengan sejarah Saiyid Ahmad al-Jarimi al-Yamani.
Diriwayatkan pula bahawa Ahmad bin Isa al-Muhajir lahir malam Jumaat 13 Syawal 241 H di Basrah, Iraq. Bersama isterinya, Saiyidah Zainab binti Abdullah bin Hassan bin Ali Uraidhi bin Ja’far Shadiq kerana menyebarkan Islam dan berhijrah beberapa kali dari Basrah ke Baghdad dan selanjutnya ke Damsyik. Diteruskan pula ke Madinah, sampai di sana 18 Syawal 316H/928M.
Dalam perjalanan singgah pula di Mosul, Palestin dan Syam. Dalam tahun 317H/929M, beliau bersama keluarga berpindah ke Yaman dan selanjutnya ke Hadhramaut. Dalam versi catatan ulama Pattani dinyatakan nama beliau dengan Ahmad al-Jarimi al-Yamani dan salah seorang keturunannya dilahirkan di Kerisik, Pattani diberi nama Ibrahim al-Hadhrami al-Jarimi al-Fathani yang dibicarakan ini.
Ayah Ibrahim dalam riwayat Pattani bernama Abar/Ibar, iaitulah Saiyid Jamaluddin al-Kubra, ulama yang pernah dibicarakan sebelum ini.
Menurut riwayat bahawa datuk nenek Syeikh Ibrahim al-Hadhrami al-Jarimi al-Yamani yang tersebut telah datang menyebarkan Islam di dunia Melayu sejak zaman tabien dan riwayat yang lain sejak zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a.
Mulai dari atas, termasuk Syeikh Ibrahim al-Hadhrami hingga ke bawah telah menurunkan beberapa orang ulama besar dunia Melayu yang terkenal. Data-data mengenai mereka juga telah ditemui.
Tulisan tangan yang ada pada penulis adalah berasal dari catatan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, hanya menyebut keturunan di persekitaran Pattani saja. Tulisan tokoh-tokoh sejarah Indonesia pula hanya menyebut keturunannya di persekitaran ulama-ulama dan tokoh-tokoh di Jawa saja. Maka penulis cuba menggabungkan kedua-duanya.
Hasil penyelidikan yang penulis lakukan adalah sebagai yang berikut di bawah ini.
Sebelum ini telah disebutkan bahawa kedatangan datuk nenek ulama Pattani atau dunia Melayu lainnya yang akan disebutkan adalah sejak zaman tabien, ataupun zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. Namun bagaimanapun sampai sejarah ini penulis tulis belum mengetahui tahun yang tepat.
Bahkan jika kita semak dengan teliti Tarikh Fathani karya Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani (ditulis sebelum tahun 1600M) yang disalin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tahun 1228H/1813M, penyebar-penyebar Islam telah sampai ke Pattani sejak zaman sahabat Nabi Muhammad s.a.w. lagi.
Keturunan Syeikh Ibrahim yang menjadi ulama terkenal Syeikh Ibrahim al-Hadhrami berkahwin dengan Wan Maimunah binti Yusuf al-Syandani di Pattani dan memperoleh lima orang anak, iaitu:
1) Syeikh Wan Abdur Rahman
2) Wan Jamilah as-Syandaniyah
3) Syeikh Wan Yahya
4) Syeikh Wan Muhamad Yasin
5) Syeikh Wan Husein
Berdasarkan tulisan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, hanya lima orang anak Syeikh Ibrahim al-Hadhrami yang tersebut dilahirkan di Pattani. Daripada kelima-lima anak beliau telah menurunkan ramai ulama dan tokoh Pattani, Kedah, Kelantan, Riau dan tempat-tempat lain di Semenanjung Malaysia.
Penulis menyimpulkan bahawa Syeikh Ibrahim al-Hadhrami tersebut dilahirkan dan dibesarkan di Kerisik, Pattani. Kemudiannya beliau pindah ke Champa menziarahi sanak saudaranya yang ramai termasuk golongan sultan-sultan di negeri tersebut.
Menurut beberapa penulis Indonesia, beliau telah berkahwin lagi dengan anak Raja Champa, yang juga melahirkan beberapa zuriat menjadi penyebar Islam di Jawa dan tempat-tempat lainnya. Namun mereka tidak pernah menyebut nama anak Raja Champa itu.
Dalam buku Wali Songo oleh Abdul Halim Bashah (Ibhar) yang berasal dari Pattani-Kelantan menyatakan, “Ibrahim Asmaro yang dibesarkan di Champa berkahwin dengan Puteri Wira Bhadrawarman (yang menggantikan ayahandanya Jaya Sinhawarman) pada tahun 1401M…”.
Dari pelbagai sumber termasuk dua sumber yang telah disebutkan dan karya Ibhar itu, bahawa perkahwinan itu memperoleh empat orang anak iaitu; Maulana Ishaq, Raden Ahmad Rahmatullah atau Sunan Ampel, Ali Murtadho atau Raden Santeri dan Siti Zainab.
Penulis memulakan keterangan mengenai anak-anak dan keturunan beliau dengan isteri yang pertama, Wan Maimunah binti Yusuf al-Syandani. Bermula anak beliau yang sulung iaitu Syeikh Wan Ibrahim memperoleh anak perempuan bernama Wan Zainab yang berkahwin dengan Syeikh Wan Senik al-Karisiqi.
Ayah Syeikh Wan Senik al-Karisiqi bernama Syeikh Wan Ali bin Manshur, manakala ibunya bernama Wan Jamilah as-Syandaniyah yang merupakan anak kedua Syeikh Ibrahim al-Hadhrami. Ini bererti berlaku perkahwinan sepupu di antara Syeikh Wan Senik al-Karisiqi dengan Wan Zainab.
Menerusi perkahwinan tersebut memperoleh dua orang ulama iaitu Syeikh Wan Idris al-Karisiqi dan Syeikh Wan Husein al-Karisiqi.
Menurut salasilah tulisan tangan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani bahawa Syeikh Wan Senik digelar sebagai Tok Wan Dahit, lalu beliau berkahwin dengan Tok Wan Ti yang merupakan anak Tok Wan Abu Bakar. Perkahwinan tersebut memperoleh anak yang diberi nama Wan Tih.
Oleh itu, Syeikh Wan Senik al-Karisiqi berkahwin dua kali. Kali pertama dengan saudara sepupunya yang berpunca daripada keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami dan kali kedua daripada keturunan Syeikh Faqih Ali.
Sebagaimana dinyatakan bahawa anak Syeikh Wan Senik al-Karisiqi yang kedua daripada isterinya yang pertama ialah Syeikh Wan Husein al-Karisiqi. Beliau memperoleh dua orang anak yang menjadi ulama iaitu Syeikh Wan Ahmad as-Samlawi dan Syeikh Wan Musa as-Samlawi al-Fathani.
Syeikh Wan Musa as-Samlawi al-Fathani inilah yang meneruskan tradisi pengajian pondok di Samela, yang merupakan pondok tertua di Fathani Darus Salam berdasarkan cerita-cerita lisan yang bersambung-sambung.
Menurut riwayat pengajian Pondok Samela itu sama tua dengan beberapa buah pondok yang lain diantaranya Pondok Kuala Bekah, Pondok Kerisik dan lain-lain.
Ada pun Syeikh Wan Idris al-Karisiqi iaitu ayah saudara kepada Syeikh Wan Musa as-Samlawi al-Fathani adalah penyambung aktiviti datuk neneknya berkhidmat di Pondok Kerisik yang termasuk dalam kawasan istana Sultan Fathani Darus Salam.
Menurut riwayat, sama ada Pondok Samela, Pondok Kuala Bekah atau pun Pondok Kerisik memang diasaskan oleh datuk nenek mereka sejak awal-awal kedatangan mereka ke Pattani lagi.
Syeikh Wan Idris al-Karisiqi al-Fathani memperoleh anak bernama Syeikh Wan Abdullah al-Fathani. Syeikh Wan Abdullah al-Fathani berkahwin dengan Wan Fathimah, memperoleh enam orang anak iaitu :
* Al-Alim al-‘Allamah al-‘Arif Billah Bahjatuddin Syeikh Wan Daud, ulama dunia Melayu yang paling banyak menghasilkan karangan.
* Al-Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Abdul Qadir
* Al-Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Abdur Rasyid
* Al-Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Idris
* Al-Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Umar
Anak beliau yang keenam iaitu perempuan, tidak dapat diketahui namanya. Adapun Syeikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang terkenal itu dinyatakan sepanjang riwayat tidak mempunyai zuriat sebagai penyambung aktivitinya.
Namun begitu, beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Syeikh Wan Abdul Qadir pula memperoleh anak yang bernama Syeikh Wan Muhammad Shalih. Beliau pula memperoleh dua orang anak, seorang lelaki dan perempuan. Anak lelaki beliau bernama Syeikh Wan Ibrahim, seorang ulama membuka pondok di satu kawasan dalam Pattani.
Syeikh Abdur Rahman al-Fathani memperoleh dua orang anak yang menjadi ulama besar yang terkenal di Mekah. Anak yang pertama bernama Syeikh Wan Muhammad al-Fathani, seorang pentashih kitab-kitab juga seorang pembesar di Mekah yang merupakan orang kepercayaan kerajaan Turki Uthmaniah, selepas gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Anak Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang kedua ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani. Beliau juga adalah seorang ulama besar di Mekah yang mengajar di Darul ‘Ulum dan di Masjidil Haram.
Anak Syeikh Wan Daud bin Abdul Qadir al-Fathani yang menjadi ulama besar dan penyambung aktiviti ayah dan datuknya ialah Syeikh Ibrahim al-Fathani, aktivitinya selain mengajar di Darul ‘Ulum juga mengajar di Masjidil Haram.
Saudara kandung Syeikh Ibrahim al-Fathani ialah Syeikh Husein al-Fathani yang pernah menjadi Duta Besar Arab Saudi di Malaysia dan selanjutnya di Pakistan.
Dalam artikel ini hanya dinyatakan sebahagian daripada pertalian keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami. Selanjutnya nanti akan dibicarakan kesinambungan daripada keturunan-keturunan beliau yang juga menurunkan ramai ulama dan tokoh terkenal.

ULAMA DARI KETURUNAN SYEIKH IBRAHIM AL-HADHRAMI

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERTALIAN yang kedua keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami adalah melalui anak keduanya iaitu Wan Jamilah Syandaniyah binti Syeikh Ibrahim al-Hadhrami.
Beliau ini menurunkan beberapa orang ulama besar terkenal, yang dapat dikesan melalui jalur Syeikh Wan Muhammad bin Syeikh Muhammad Dahan bin Syeikh Syamsuddin bin Syeikh Ja’far. Suami Wan Jamilah adalah Syeikh Ja’far bin Syeikh Wan Husein bin Syeikh Ali.
Syeikh Wan Muhammad Dahan al-Fathani mendapat tiga orang anak yang menjadi ulama dan seterusnya dilanjutkan hingga ke beberapa lapisan keturunannya. Ketiga-tiga anaknya itu ialah Syeikh Wan Muhammad al-Fathani yang menurunkan keturunan Puak Tuan Minal, Syeikh Wan Abdul Karim yang menurunkan keturunan Puak Tok Raja Haji Jambu dan Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menurunkan keturunan Puak Tok Duku dan Telok Manok.
Secara ringkas, salasilahnya adalah seperti berikut:
1. Syeikh Muhammad Zainal Abidin al-Fathani (Tuan Minal) bin Muhammad bin Muhammad Dahan bin Syamsuddin bin Ja’far bin Wan Husein bin Ali. Pertalian ini disebut Puak Tuan Minal.
Ulama yang digelar dengan Tuan Minal ini termasuk dalam golongan ulama yang terkenal di seluruh alam Melayu kerana beberapa buah karangannya yang tersebar luas ialah Aqidatun Najin, Kasyful Litsam dan Kasyful Ghaibiyah. Ulama ini wafat di Sungai Dua, Seberang Perai, Pulau Pinang.
2. Tuan Guru Haji Idris (Pak Cu Yih) bin Syeikh Wan Abdul Karim bin Wan Muhammad Dahan bin Syamsuddin bin Ja’far bin Wan Husein bin Ali. Pertalian ini disebut Puak Tok Raja Haji Jambu.
3. Syeikh Wan Abdul Lathif bin Muhammad Dahan bin Syamsuddin bin Ja’far bin Husein bin Syeikh Ali. Pertalian ini disebut Puak Tok Duku dan Telok Manok.
Penulis memulakan perbicaraan tentang Syeikh Zainal Abidin (Tuan Minal) bin Muhammad al-Fathani, yang memperoleh beberapa orang anak iaitu:
1. Haji Daud
2. Al-Alim al-Allamah Haji Abdul Qadir
3. Al-Alim al-Allamah Syeikh Muhammad Shalih, penyusun kitab mengenai tajwid berjudul Siraj al-Qari.
4. Al-Alim al-Allamah Syeikh Umar, Mursyid Tariqat Syatariyah
5. Al-Alim al-Allamah Haji Hassan
6. Hajah Fatmah
Anak kedua Syeikh Zainal Abidin(Tuan Minal), iaitu Haji Abdul Qadir al-Fathani berkahwin dua kali. Kali pertama di Kelantan dan memperoleh dua orang anak yang menjadi ulama. Perkahwinan keduanya di Muar, Johor dengan Shafiyah yang digelar Mik Muar dan memperoleh tujuh orang anak.
Menerusi sumber yang diceritakan kepada penulis sekitar pertengahan tahun 1998, sebab-sebab terjadinya perkahwinan beliau di Muar kerana beliau mengikuti Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menziarahi murid-muridnya di beberapa tempat di Kerajaan Johor.
Syeikh Ahmad pernah ditawarkan oleh Sultan Johor supaya menetap di negeri itu untuk dilantik sebagai Mufti. Tetapi beliau menolak tawaran tersebut, lalu dalam pada itu salah seorang hartawan di Muar berkenan supaya anak perempuannya, Shafiyah dikahwinkan dengan Haji Abdul Qadir atas persetujuan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Anak-anak Haji Abdul Qadir hasil perkahwinan yang pertama ialah:
1. Haji Sulong, beliau disebut sebagai Bapa Revolusi Pattani kerana berusaha mengorbankan tenaga dan harta benda untuk melepaskan Pattani daripada penjajahan Siam. Beliau dikatakan hilang dari tahanan Siam, juga tidak diketahui di mana beliau berkubur.
2. Haji Abdur Rahim
Sementara itu, anak-anak Haji Abdul Qadir hasil perkahwinan dengan Shafiyah/Mik Muar ialah:
1. Zainab
2. Maryam
3. Abdullah
4. Mahmud Nur
5. Khadijah
6. Mahmud
7. Fatimah
Sebagaimana disebutkan bahawa saudara kandung Syeikh Muhammad al-Fathani ialah Syeikh Abdul Karim dan Syeikh Wan Abdul Lathif. Syeikh Wan Abdul Karim bin Muhammad al-Fathani memperoleh anak juga menjadi seorang ulama yang terkenal, beliau ialah Tuan Guru Haji Idris al-Fathani. Sebutan yang terkenal di kalangan masyarakat ialah Pak Cu Yih, digelar dengan Tok Raja Haji, Jambu. Beliau membuka Pondok Tok Raja Haji, Jambu. Pondok tersebut merupakan pondok terkenal sesudah Pondok Bendang Daya, iaitu bekas tempat beliau belajar.
Selain mengajar di pondok, Tuan Guru Wan Idris al-Fathani juga menghasilkan beberapa karangan. Beliau berkahwin beberapa kali dan meninggalkan zuriat yang sangat ramai.
Perkahwinan yang pertama dengan Hajah Wan Mah yang merupakan kakak Tok Beramoh, iaitu saudara sepupu kepada Syeikh Ismail (Pak De 'El) bin Syeikh Abdul Qadir Bendang Daya.
Perkahwinan kedua dengan Wan Maryam dan memperoleh 10 orang anak. Perkahwinan yang ketiga dengan Hajah Wan Aisyah binti Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II).
Melalui perkahwinan yang ketiga ini, beliau memperoleh anak iaitu Haji Wan Abdul Qadir dan Tuan Guru Haji Abdul Hamid (Pak Cu Mid). Tuan Guru Haji Abdul Hamid ini pula berkhidmat sebagai tok guru di Pondok Telaga Sembilan.
Salah seorang anak perempuan Tuan Guru Wan Idris Jambu al-Fathani berkahwin dengan Tuan Guru Haji Wan Daud bin Haji Wan Yusuf bin Haji Awan Tarat al-Fathani, iaitu salah seorang murid beliau yang juga menghasilkan beberapa buah karangan.
Beberapa karangan Tuan Guru Haji Wan Idris sendiri pada mulanya ada dalam simpanan menantunya Haji Daud Tarat al-Fathani yang sempat penulis temui pada 1978. Tetapi sekarang karya-karya Tuan Guru Haji Wan Idris tersebut tidak dapat dikesan lagi.
Adapun keturunan Syeikh Wan Abdul Lathif bin Syeikh Muhammad Dahan al-Fathani yang disebut Puak Tok Duku dan Telok Manok, bernama Tuan Guru Haji Abdur Rahman adalah seorang ulama yang mengajar di pengajian pondok.
Anak Abdur Rahman bernama Yunus, juga seorang ulama yang mengajar di pengajian pondok. Seterusnya anak Yunus bernama Abdul Qadir, beliau inilah yang digelar orang dengan Tok Duku. Beliau hidup sezaman dengan Tok Kelaba, Tok Kenali dan lain-lain.
Antara guru mereka ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Anak beliau pula bernama Tuan Guru Haji Abdul Hamid atau digelar dengan Pak De Duku.
Pertalian yang kedua keturunan Saiyid Ibrahim al-Hadhrami ini juga mempunyai pertalian dengan Saiyid Ali Nur Alam, malahan dari pihak ini lebih kuat kerana dari pihak sebelah lelaki. Tetapi dijalurkan juga pada keturunan Saiyid Ibrahim al-Hadhrami ini melalui pihak sebelah perempuan iaitu Wan Jamilah Syandaniyah bin Syeikh Ibrahim al-Hadhrami.
Saiyid Ibrahim al-Hadhrami adalah adik-beradik dengan Saiyid Ali Nur Alam, juga ulama yang menurunkan ramai keturunan yang menjadiulama dan tokoh dunia Melayu yang terkenal. Berkenaan sejarah ulama tersebut akan penulis bicarakan pada ruangan yang lain.
Pertalian yang ketiga keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami ialah melalui anaknya Syeikh Wan Muhammad Yasin. Keturunannya ramai di Kedah, iaitu yang digelar dengan Syeikh Jarum. Susunan dari bawah ke atas ialah, Syeikh Jarum iaitu Syeikh Wan Idris (1266 H/1849 M - 1329 H/1911 M) bin Syeikh Wan Jamaluddin bin Wan Abdul Lathif bin Syeikh Wan Muhammad Syamsuddin bin Syeikh Muhammad Faqih bin Muhammad Yasin bin Syeikh Ibrahim al-Hadhrami.
Ayah Syeikh Jarum iaitu Syeikh Wan Jamaluddin, lebih terkenal dengan sebutan Wan Jamal adalah seorang hulubalang Pattani di bawah pimpinan Syeikh Haji Wan Musthafa al-Fathani. Salah seorang saudara kandung Wan Jamal menjadi hulubalang di Kelantan, yang mempunyai pertalian keturunan dengan Nik Mahmud Kelantan.
Keturunan Syeikh Jarum yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat selain ramai di Kedah, juga di Pattani. Anak beliau bernama Haji Abdur Rahman (wafat 1954) bin Syeikh Idris al-Jarumi ini, keturunannya ada yang tinggal di Kampung Kloung yang terletak di sekitar Bangkok, Thailand.
Beberapa orang cucu Syeikh Idris al-Jarumi melalui keturunan Haji Abdur Rahman ini yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat yang dapat dicatat. Antara mereka ialah:
1. Tuan Guru Haji Idris bin Haji Abdur Rahman, beliau membuka pondok Mengkudu, Alor Setar, Kedah.
2. Tuan Guru Haji Husein bin Haji Abdur Rahman, pernah menjadi Imam Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah.
3. Ustaz Haji Abdul Hamid bin Haji Abdur Rahman, pernah berkhidmat sebagai guru di Maktab Mahmud, Alor Setar Kedah dan juga pernah sebagai Imam Masjid Al-‘Irfan, Derga.
4. Dato’ Syeikh Tajuddin bin Haji Abdur Rahman, Dato’ Mursyid Diraja. Beliau adalah Ahli Majlis Fatwa Jabatan Agama Islam Kedah, juga Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan. Selain itu, beliau juga mengelola Sekolah Menengah Nahdhatul Hasanah, Melele, Jitra, Kedah.
Beberapa orang cicit Syeikh Idris Jarum yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat, antara yang dapat dicatat ialah Tuan Guru Haji Abdullah Sarah. Beliau adalah salah seorang guru pondok yang disegani oleh masyarakat. Pondoknya terletak di Bendang Badang, iaitu bekas kampung asal Syeikh Idris al-Jarumi dilahirkan.
Selain itu, seorang lagi cicit Syeikh Jarum yang terkenal ialah Ustaz Fadhil bin Haji Mohd Noor, iaitu tokoh yang pernah bertugas sebagai Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia dan bekas Yang Dipertua Agung Parti Islam Semalaysia. Namun demikian, masih ramai lagi keturunan Syeikh Idris Jarum ini yang menjadi ulama tokoh yang terkenal yang belum dapat penulis nyatakan di sini.