Friday, October 5, 2007

SAIYID IBRAHIM AL-HADHRAMI AL-JARIMI AL-YAMANI AL-FATHANI

Penulis memulakan pengambilan data anak Saiyid Jamaluddin al-Kubra yang bernama Saiyid Ibrahim al-Hadhrami, yang dalam salasilah tulisan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani digunakan nama Syeikh Ibrahim Hadhrami bin Abar.
Salasilah antara Syeikh Ibrahim al-Hadhrami bin Abar al-Jarimi al-Yamani hingga kepada Ahmad al-Jarimi al-Yamani tidak beliau nyatakan. Tetapi disebutkan bahawa Syeikh Ibrahim Hadhrami adalah keturunan yang ke-13 daripada Ahmad al-Jarimi al-Yamani.
Apabila penulis membandingkan dengan buku berjudul R. Achmad Rachmatullah Sunan Ampel yang disusun oleh Panitia Haul Agung Sunan Ampel ke 527 Surabaya, Ringkasan Sejarah Wali Songo oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh dan lain-lain termasuk percakapan dengan beberapa orang yang telah lanjut usianya, dapat disimpulkan bahawa Syeikh Ibrahim al-Hadhrami itu menggunakan beberapa nama.
Di antaranya ialah, Ibrahim al-Ghozi atau Ibrahim Asmarakandhi. Selain itu, beliau juga digelar dengan Syarif Auliya’ atau Karimul Makhdum di Filipina Selatan. Juga digelar Ibrahim Asmoro atau Sunan Nggesik dan Saiyid Ibrahim Zainul Akbar dan Zainuddin al-Akbar Ibrahim bin Jamaluddin al-Husein.
Selanjutnya penyelidikan penulis di atas dikukuhkan bahawa apabila dihitung nama mulai daripada Ibrahim al-Ghozi hingga ke atasnya, sampai kepada Ahmad al-Muhajir, berdasarkan salasilah yang termaktub dalam buku yang dikeluarkan oleh Panitia Haul Agung Sunan Ampel, halaman 32 dan 33, terdapat 13 nama.
Ini bererti sama dengan keterangan dalam salasilah yang bersumberkan tulisan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani yang hanya menyebut bahawa Ibrahim Hadhrami adalah keturunan yang ketiga belas daripada Ahmad al-Jarimi al-Yamani.
Salasilah dalam buku tersebut menyebut dari dua sumber, iaitu Lembaga Research Islam, Pesantren Luhur Malang dan Kitab Tarikh Auliya’ karangan K. Bisri Musthofa Rembang.
Pendapat penulis pula ialah jalan sejarah Saiyid Ahmad al-Muhajir juga sama dengan sejarah Saiyid Ahmad al-Jarimi al-Yamani.
Diriwayatkan pula bahawa Ahmad bin Isa al-Muhajir lahir malam Jumaat 13 Syawal 241 H di Basrah, Iraq. Bersama isterinya, Saiyidah Zainab binti Abdullah bin Hassan bin Ali Uraidhi bin Ja’far Shadiq kerana menyebarkan Islam dan berhijrah beberapa kali dari Basrah ke Baghdad dan selanjutnya ke Damsyik. Diteruskan pula ke Madinah, sampai di sana 18 Syawal 316H/928M.
Dalam perjalanan singgah pula di Mosul, Palestin dan Syam. Dalam tahun 317H/929M, beliau bersama keluarga berpindah ke Yaman dan selanjutnya ke Hadhramaut. Dalam versi catatan ulama Pattani dinyatakan nama beliau dengan Ahmad al-Jarimi al-Yamani dan salah seorang keturunannya dilahirkan di Kerisik, Pattani diberi nama Ibrahim al-Hadhrami al-Jarimi al-Fathani yang dibicarakan ini.
Ayah Ibrahim dalam riwayat Pattani bernama Abar/Ibar, iaitulah Saiyid Jamaluddin al-Kubra, ulama yang pernah dibicarakan sebelum ini.
Menurut riwayat bahawa datuk nenek Syeikh Ibrahim al-Hadhrami al-Jarimi al-Yamani yang tersebut telah datang menyebarkan Islam di dunia Melayu sejak zaman tabien dan riwayat yang lain sejak zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a.
Mulai dari atas, termasuk Syeikh Ibrahim al-Hadhrami hingga ke bawah telah menurunkan beberapa orang ulama besar dunia Melayu yang terkenal. Data-data mengenai mereka juga telah ditemui.
Tulisan tangan yang ada pada penulis adalah berasal dari catatan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, hanya menyebut keturunan di persekitaran Pattani saja. Tulisan tokoh-tokoh sejarah Indonesia pula hanya menyebut keturunannya di persekitaran ulama-ulama dan tokoh-tokoh di Jawa saja. Maka penulis cuba menggabungkan kedua-duanya.
Hasil penyelidikan yang penulis lakukan adalah sebagai yang berikut di bawah ini.
Sebelum ini telah disebutkan bahawa kedatangan datuk nenek ulama Pattani atau dunia Melayu lainnya yang akan disebutkan adalah sejak zaman tabien, ataupun zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. Namun bagaimanapun sampai sejarah ini penulis tulis belum mengetahui tahun yang tepat.
Bahkan jika kita semak dengan teliti Tarikh Fathani karya Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani (ditulis sebelum tahun 1600M) yang disalin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tahun 1228H/1813M, penyebar-penyebar Islam telah sampai ke Pattani sejak zaman sahabat Nabi Muhammad s.a.w. lagi.
Keturunan Syeikh Ibrahim yang menjadi ulama terkenal Syeikh Ibrahim al-Hadhrami berkahwin dengan Wan Maimunah binti Yusuf al-Syandani di Pattani dan memperoleh lima orang anak, iaitu:
1) Syeikh Wan Abdur Rahman
2) Wan Jamilah as-Syandaniyah
3) Syeikh Wan Yahya
4) Syeikh Wan Muhamad Yasin
5) Syeikh Wan Husein
Berdasarkan tulisan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, hanya lima orang anak Syeikh Ibrahim al-Hadhrami yang tersebut dilahirkan di Pattani. Daripada kelima-lima anak beliau telah menurunkan ramai ulama dan tokoh Pattani, Kedah, Kelantan, Riau dan tempat-tempat lain di Semenanjung Malaysia.
Penulis menyimpulkan bahawa Syeikh Ibrahim al-Hadhrami tersebut dilahirkan dan dibesarkan di Kerisik, Pattani. Kemudiannya beliau pindah ke Champa menziarahi sanak saudaranya yang ramai termasuk golongan sultan-sultan di negeri tersebut.
Menurut beberapa penulis Indonesia, beliau telah berkahwin lagi dengan anak Raja Champa, yang juga melahirkan beberapa zuriat menjadi penyebar Islam di Jawa dan tempat-tempat lainnya. Namun mereka tidak pernah menyebut nama anak Raja Champa itu.
Dalam buku Wali Songo oleh Abdul Halim Bashah (Ibhar) yang berasal dari Pattani-Kelantan menyatakan, “Ibrahim Asmaro yang dibesarkan di Champa berkahwin dengan Puteri Wira Bhadrawarman (yang menggantikan ayahandanya Jaya Sinhawarman) pada tahun 1401M…”.
Dari pelbagai sumber termasuk dua sumber yang telah disebutkan dan karya Ibhar itu, bahawa perkahwinan itu memperoleh empat orang anak iaitu; Maulana Ishaq, Raden Ahmad Rahmatullah atau Sunan Ampel, Ali Murtadho atau Raden Santeri dan Siti Zainab.
Penulis memulakan keterangan mengenai anak-anak dan keturunan beliau dengan isteri yang pertama, Wan Maimunah binti Yusuf al-Syandani. Bermula anak beliau yang sulung iaitu Syeikh Wan Ibrahim memperoleh anak perempuan bernama Wan Zainab yang berkahwin dengan Syeikh Wan Senik al-Karisiqi.
Ayah Syeikh Wan Senik al-Karisiqi bernama Syeikh Wan Ali bin Manshur, manakala ibunya bernama Wan Jamilah as-Syandaniyah yang merupakan anak kedua Syeikh Ibrahim al-Hadhrami. Ini bererti berlaku perkahwinan sepupu di antara Syeikh Wan Senik al-Karisiqi dengan Wan Zainab.
Menerusi perkahwinan tersebut memperoleh dua orang ulama iaitu Syeikh Wan Idris al-Karisiqi dan Syeikh Wan Husein al-Karisiqi.
Menurut salasilah tulisan tangan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani bahawa Syeikh Wan Senik digelar sebagai Tok Wan Dahit, lalu beliau berkahwin dengan Tok Wan Ti yang merupakan anak Tok Wan Abu Bakar. Perkahwinan tersebut memperoleh anak yang diberi nama Wan Tih.
Oleh itu, Syeikh Wan Senik al-Karisiqi berkahwin dua kali. Kali pertama dengan saudara sepupunya yang berpunca daripada keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami dan kali kedua daripada keturunan Syeikh Faqih Ali.
Sebagaimana dinyatakan bahawa anak Syeikh Wan Senik al-Karisiqi yang kedua daripada isterinya yang pertama ialah Syeikh Wan Husein al-Karisiqi. Beliau memperoleh dua orang anak yang menjadi ulama iaitu Syeikh Wan Ahmad as-Samlawi dan Syeikh Wan Musa as-Samlawi al-Fathani.
Syeikh Wan Musa as-Samlawi al-Fathani inilah yang meneruskan tradisi pengajian pondok di Samela, yang merupakan pondok tertua di Fathani Darus Salam berdasarkan cerita-cerita lisan yang bersambung-sambung.
Menurut riwayat pengajian Pondok Samela itu sama tua dengan beberapa buah pondok yang lain diantaranya Pondok Kuala Bekah, Pondok Kerisik dan lain-lain.
Ada pun Syeikh Wan Idris al-Karisiqi iaitu ayah saudara kepada Syeikh Wan Musa as-Samlawi al-Fathani adalah penyambung aktiviti datuk neneknya berkhidmat di Pondok Kerisik yang termasuk dalam kawasan istana Sultan Fathani Darus Salam.
Menurut riwayat, sama ada Pondok Samela, Pondok Kuala Bekah atau pun Pondok Kerisik memang diasaskan oleh datuk nenek mereka sejak awal-awal kedatangan mereka ke Pattani lagi.
Syeikh Wan Idris al-Karisiqi al-Fathani memperoleh anak bernama Syeikh Wan Abdullah al-Fathani. Syeikh Wan Abdullah al-Fathani berkahwin dengan Wan Fathimah, memperoleh enam orang anak iaitu :
* Al-Alim al-‘Allamah al-‘Arif Billah Bahjatuddin Syeikh Wan Daud, ulama dunia Melayu yang paling banyak menghasilkan karangan.
* Al-Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Abdul Qadir
* Al-Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Abdur Rasyid
* Al-Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Idris
* Al-Alim al-‘Allamah Syeikh Wan Umar
Anak beliau yang keenam iaitu perempuan, tidak dapat diketahui namanya. Adapun Syeikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang terkenal itu dinyatakan sepanjang riwayat tidak mempunyai zuriat sebagai penyambung aktivitinya.
Namun begitu, beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Syeikh Wan Abdul Qadir pula memperoleh anak yang bernama Syeikh Wan Muhammad Shalih. Beliau pula memperoleh dua orang anak, seorang lelaki dan perempuan. Anak lelaki beliau bernama Syeikh Wan Ibrahim, seorang ulama membuka pondok di satu kawasan dalam Pattani.
Syeikh Abdur Rahman al-Fathani memperoleh dua orang anak yang menjadi ulama besar yang terkenal di Mekah. Anak yang pertama bernama Syeikh Wan Muhammad al-Fathani, seorang pentashih kitab-kitab juga seorang pembesar di Mekah yang merupakan orang kepercayaan kerajaan Turki Uthmaniah, selepas gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Anak Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang kedua ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani. Beliau juga adalah seorang ulama besar di Mekah yang mengajar di Darul ‘Ulum dan di Masjidil Haram.
Anak Syeikh Wan Daud bin Abdul Qadir al-Fathani yang menjadi ulama besar dan penyambung aktiviti ayah dan datuknya ialah Syeikh Ibrahim al-Fathani, aktivitinya selain mengajar di Darul ‘Ulum juga mengajar di Masjidil Haram.
Saudara kandung Syeikh Ibrahim al-Fathani ialah Syeikh Husein al-Fathani yang pernah menjadi Duta Besar Arab Saudi di Malaysia dan selanjutnya di Pakistan.
Dalam artikel ini hanya dinyatakan sebahagian daripada pertalian keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami. Selanjutnya nanti akan dibicarakan kesinambungan daripada keturunan-keturunan beliau yang juga menurunkan ramai ulama dan tokoh terkenal.

No comments: