Wednesday, November 14, 2007

SYEIKH SIRAJUDDIN AL-ASYI

Kesinambungan Ulama Aceh

DUA siri terkini dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia telah diperkenalkan dua ulama yang mempunyai hubungan amat rapat dengan ulama yang diriwayatkan ini, kedua-duanya ialah Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dan Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Jalaluddin al-Asyi.
Yang diriwayatkan ini pula ialah Syeikh Sirajuddin bin Syeikh Jalaluddin. Dalam semua tulisan mengenainya yang terdahulu sudah saya sebut bahawa kemungkinan Syeikh Sirajuddin adalah anak kepada Syeikh Jalaluddin Aceh juga.
Data ulama yang berasal dari Aceh yang tersebut dapat saya perkenalkan dalam artikel ini adalah berdasarkan tiga manuskrip karya beliau yang ada dalam koleksi saya. Selain itu, ada juga sebuah manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia yang ditanda dengan nombor MS 1530.
Penemuan beberapa manuskrip karya beliau menguatkan lagi keyakinan saya bahawa Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin itu adalah anak Syeikh Faqih Jalaluddin bin Syeikh Kamaluddin al-Asyi yang saya bicarakan dalam tulisan-tulisan saya yang terdahulu. Hujah-hujah untuk menguatkan keyakinan adalah berdasarkan beberapa perkara yang dihuraikan di bawah ini.
Syeikh Sirajuddin sendiri pada kedua-dua buah karyanya menyebut nama ayahnya ialah ‘Jalaluddin’ walaupun tanpa menambah perkataan ‘Syeikh Faqih’ pada awal nama Jalaluddin atau ‘al-Asyi’ pada akhir nama, kerana yang demikian juga ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain bin Jalaluddin Aceh dalam salah sebuah karyanya.
Berdasarkan perbandingan tahun bahawa karya Syeikh Muhammad Zain bin Jalaluddin Aceh yang berjudul Kasyf al-Kiram tahun 1171 H/1757 M dengan karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin tahun 1238 H/1822 M, jarak waktu sekitar 67 tahun mengikut perhitungan tahun Arab. Jarak waktu tahun perbandingan karya itu masih ada kemungkinan bahawa Syeikh Muhammad Zain bin Jalaluddin Aceh adalah saudara yang tertua, dan Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin adalah adik yang termuda atau adik bongsu.
Ini kerana masih ada kemungkinan karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin yang belum dijumpai yang bertarikh jauh lebih awal dari tahun 1238 H/1822 M itu. Atau kemungkinan ada karya Syeikh Muhammad Zain Aceh yang masih belum dijumpai yang bertarikh jauh lebih kebelakang dari tarikh 1171 H/1757 M itu. Lagi pula ada beberapa buah karya Syeikh Muhammad Zain bin Jalaluddin Aceh tidak beliau sebut tahun selesai penulisannya.
Karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin tahun 1238 H/1822 M itu menunjukkan bahawa pengarangnya adalah sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang bertarikh 1238 H/1822 M juga ialah Kasyf al-Ghummah. Sedangkan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pula sempat belajar daripada Syeikh Muhammad Zain bin Jalaluddin Aceh itu di Mekah.
Pendidikan
Di atas disebutkan bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sempat belajar dengan Syeikh Muhammad Zain Aceh sedangkan Syeikh Sirajuddin pula adalah hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Oleh itu, dapat diduga bahawa sekurang-kurangnya Syeikh Sirajuddin sempat belajar daripada Syeikh Muhammad Zain Aceh. Adalah perkara lumrah saudara yang tua mengajar adiknya.
Berkemungkinan juga Syeikh Sirajuddin sempat belajar dengan Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi, baik ulama besar Aceh itu adalah ayahnya atau pun bukan. Memperhatikan karyanya, jelas bahawa Syeikh Sirajuddin adalah seorang yang mendapat pendidikan yang mendalam dalam ilmu tauhid yang berhaluan Ahli Sunah wal Jamaah pengikut Syeikh Abul Hasan al-Asy‘ari dan Abu Mansur al-Maturidi.
Jalan pemikiran jelas selari dengan Syeikh Muhammad Zain Aceh dalam Bidayah al-Hidayahnya. Sebagai bukti bahawa Syeikh Sirajuddin mendapat pendidikan aliran tasauf falsafah yang pernah berkembang di Aceh, pada beberapa tempat dalam karyanya disebut-sebutnya beberapa orang ulama Aceh.
Yang paling banyak disebutnya ialah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Dengan demikian salasilah ilmunya dapat dihubungkan bahawa Syeikh Sirajuddin sempat belajar dengan Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi. Syeikh Jalaluddin al-Asyi adalah murid Baba Daud bin Agha Ismail ar-Rumi, iaitu murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Nampaknya Syeikh Sirajuddin mempelajari tauhid al-Asy‘ari, tasauf sunni dan tasauf falsafah secara serentak dan seimbang. Oleh itu dikombinasikan dalam karyanya.
Selain kenal pasti dan mendalam ketiga-tiga corak aliran dan disiplin ilmu di atas, Syeikh Sirajuddin juga sangat mahir dalam fikah mazhab Syafie dan mazhab-mazhab lainnya. Ini dapat dibuktikan bahawa serba sedikit disebutnya juga perbandingan pendapat beberapa ulama.
Ditinjau dari segi praktik pengalaman ilmu sufi pula dapat dipastikan bahawa Syeikh Sirajuddin adalah pengamal Tarekat Syathariyah. Tetapi belum jelas dari siapa beliau menerima baiah atau tawajjuh amalan tarekat itu. Kemungkinan dari Syeikh Muhammad Zain Aceh atau pun dari Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi. Kemungkinan juga beliau seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang menerima Tarekat Syathariyah itu dari Syeikh Muhammad As’ad di Mekah.
Selain Tarekat Syathariyah, Syeikh Sirajuddin juga mendalami berbagai-bagai tarekat lainnya. Barangkali beliau juga pengamal Tarekat Qadiriyah, Tarekat Naqsyabandiyah dan Tarekat Sammaniyah. Pada sektor Tarekat Sammaniyah barangkali beliau sempat belajar secara langsung daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim al-Madani di Madinah.
Ini bererti beliau juga seperguruan dengan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang terkenal sebagai yang paling banyak membicarakan Tarekat Sammaniyah di dunia Melayu melalui karyanya Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang sangat masyhur itu.
Karya
Karyanya yang pertama dapat dikesan ialah manuskrip dalam kumpulan naskhah MS 1530 koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia. Dalam MS 1530 itu terdapat lapan naskhah iaitu: Nur al-Mushalli, tidak diketahui siapa pengarangnya. Diikuti tiga naskhah kitab tasauf juga tidak diketahui nama pengarang dan tidak diketahui judulnya. Sesudah itu terdapat karya Syeikh Nuruddin yang berjudul Hill az-Zhilli.
Sesudahnya dua karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Bayan al-Ithlaq dan Mun-yah al-Iktiqad. Terakhir ialah karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin. Nama beliau tersebut pada mukadimah kitab itu, tetapi judul kitab dan tarikh memulakan mahu pun selesai menulis tidak terdapat kenyataannya. Sebagai contoh, pada mukadimah tertulis, “Ini sekeping kertas yang disimpankan (diringkaskan, pen:) dari kitab Jauhar an-Nafisah li al-Muwahhid as-Shufiyah, yang terlebat (banyak dibicarakan) dalamnya perkataan ilmu makrifatullah sekira-kira zhuhur (zahir atau nyata) benderang nur tajalli-Nya jua, tiada diperoleh pada pihak kunhi-Nya dan ithlaq-Nya yang zatiy. Maka iaitu sekali-kali tiada sampai kepada-Nya makrifat segala Anbiya’ ‘Alaihimus Shalatu was Salam, dan tiada makrifat segala Auliya’ Radhiallahu ‘anhum.”
Daripada kenyataan di atas diketahui bahawa karangannya itu adalah merupakan keringkasan (simpan) dari sebuah kitab sufi yang berjudul Jauhar an-Nafisah. Selain itu, dari mukadimah juga dapat kita ambil kesimpulan bahawa kitab yang disusun oleh Syeikh Sirajuddin itu ialah bercorak tasauf falsafah. Ia mendominasi ajaran Islam pada zaman silam hingga kemuncaknya pada abad ke-16 dan ke-17 Masihi.
Sebuah lagi karya Syeikh Sirajuddin berjudul Durr an-Nakhirah Tanbihan li Durr al-Fakhirah yang diselesaikan penulis pada tahun 1238 H/1822 M. Manuskrip kitab yang tersebut dalam keadaan uzur, keadaan halaman pertama dan terakhir pula, untuk penyemakan data yang paling penting penelitian secara filologikal memenuhi persyaratan. Tetapi beberapa halaman di beberapa tempat banyak yang hilang.
Keadaan dakwat yang terdiri dari dakwat hitam dan merah dalam keadaan kabur namun masih mudah untuk dibaca. Keadaan kertas di beberapa halaman dimakan oleh kutu kertas dan tiga halaman pula hanya terdapat sepotong bahagian bawahnya saja sedang sepotong bahagian atasnya hilang.
Kandungan kitab Durr an-Nakhirah sangat menarik dibicarakan kerana kitab itu menggabungkan perbicaraan akidah dengan tasauf falsafah. Pada beberapa tempat mengemukakan perbandingan pendapat antara pendapat Imam Abu Hanifah dengan Imam Abu Hasan al-Asya‘ri.
Selain menyebut kitab-kitab bahasa Arab sebagai rujukan, Syeikh Sirajuddin juga menyebut kitab-kitab bahasa Melayu di antaranya Durar al-Faraid dan Jawahir al-Ulum, kedua-duanya karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri.
Yang sangat menarik di dalam kitab Durr an-Nakhirah, Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin meriwayatkan satu peristiwa dan wasiat Syeikh Muhammad az-Zain asy-Syakhiyah kepada muridnya Syeikh Abdur Rauf dalam Kubah Syeikh Syazili di bandar Mokha. Yang dimaksudkan dengan Syeikh Abdur Rauf itu menurut jalan ceritanya dapat dipastikan ialah Syeikh Abdur Rauf bin‘Ali al-Fansuri.
Pengajaran dan wasiat kepada Syeikh Abdur Rauf itu sangat panjang. Pada konteks ini disebutkan bahawa disiplin ilmu sufi yang diturunkan kepada Syeikh Abdur Rauf itu adalah selari dengan ilmu yang berasal daripada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani.
Ilmu sufi demikian pernah diamalkan oleh Syeikh Malim Dana. Daripada Syeikh Malim Dana turun kepada Tuan Haji Jawa. Siapakah yang dimaksudkannya dengan Syeikh Malim Dana dan Tuan Haji Jawa itu, sampai artikel ini saya tulis memang belum dijumpai riwayatnya dalam kitab-kitab Melayu/Jawi yang lain.
Dalam konteks ini juga, bahawa Syeikh Muhammad di Mokha tersebut memanggil dua orang yang sama namanya iaitu Abdur Rauf saja dan yang seorang lagi ialah Abdur Rauf Hitam. Gurunya berkata kepada Abdur Rauf Hitam, “Hai Abdur Rauf Hitam, baik-baik insya-Allah Taala.”
Dikatakannya kepada Abdur Rauf yang seorang lagi, “Ya Abdur Rauf, jadi Auliya’ Allah Taala.” Disimpulkan saja bahawa cerita di atas memberikan informasi bahawa di Aceh memang pernah ada dua orang yang bernama Abdur Rauf yang hidup sezaman dan seperguruan pula di dunia Arab. Di antara pendapat yang menyebut bahawa Syeikh Abdur Rauf ada dua orang ialah Dada Meuraxa dalam Sejarah Kebudayaan Sumatera.
Sebuah lagi karya Syeikh Sirajuddin yang baru dijumpai ialah Mir-atul Asrar li Ahlit Taraqqi wal Akhyar. Kandungan membicarakan tasauf falsafah, martabat tujuh. Kitab ini diklasifikasi sebagai nadir kerana hanya dijumpai sebuah manuskrip saja. Manuskrip yang dijumpai ini disalin oleh Ismail bin Lebai Ibrahim, mukim Sungai Rusa, Balik Pulau, Pulau Pinang, tarikh salinan 1308 H/1887 M.
Judul tersebut pertama kali diperkenalkan oleh Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham dalam Seminar Kesusasteraan Melayu Tradisional di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2-3 September 1998 anjuran Bahagian Kesusasteraan Tradisional Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Jabatan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia.
* Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

No comments: