Wednesday, September 26, 2007

SAIYID ABUBAKAR

Sultan Sulu

Asal-usulNAMA dan nasab secara lengkap Saiyid Abu Bakar bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf bin Saiyid Muhammad Maula ad-Dawilah (wafat 865 H/1460 M) bin Saiyid Ali bin Saiyid Alwi bin Saiyid Muhammad al-Faqih al-Muqaddam bin Saiyid Ali bin Saiyid Muhammad Sahibu Mirbat bin Saiyid Ali Khala’ al-Qasam (wafat 521 H/1127 M).
Seterusnya sampai nasab ini kepada Ali bin Abi Talib yang berkahwin dengan Saidatina Fatimah bin Nabi Muhammad s.a.w.
Walau bagaimanapun, tentang nama bapa Saiyid Abu Bakar tersebut terdapat perbezaan pendapat. Di dalam Tarsila Brunei, Al-Sufri pada halaman 84, menyebut nama ayahnya ialah Syarif Ali Zainal Abidin.
Oleh sebab jalan ceritanya sama, maka penulis berpendapat bahawa Saiyid Abu Bakar itu adalah seorang, walaupun nama bapanya berbeza. Berkemungkinan ada satu atau dua nama pada nasab tidak tercatat dengan tepat.
Dipercayai beliau datang dari Arab dan riwayat yang lain menyebut bahawa ibunya berasal dari Johor. Diriwayatkan bahawa Saiyid Abu Bakar dari tanah Arab menuju ke Palembang, selanjutnya ke Johor, juga riwayat lain menyebut Melaka.
Dalam Sejarah Melayu ada diriwayatkan bahawa Saiyid Abu Bakar seorang alim, tiba di Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Dikatakan beliau sampai di Melaka dalam tahun 1430 M. Dari Johor atau Melaka Saiyid Abu Bakar meneruskan perjalanan ke Brunei dan beliau sampai di Brunei dalam tahun 1450 M.
Selanjutnya dalam tahun itu juga, beliau sampai ke Sulu untuk menyebarkan agama Islam. Jarak waktu, sewaktu berada di Melaka (1430 M) hingga di Brunei dan Sulu (1450 M) bererti memakan masa 20 tahun. Tidak jelas di perantaraan waktu itu beliau berada di mana. Kemungkinan beliau mengembara ke tempat-tempat lain.
Memperhatikan dari Semenanjung Tanah Melayu ke Brunei mesti melalui Laut Cina Selatan, berkemungkinan beliau singgah di Kepulauan Jemaja, Siantan dan Natuna. Di Pulau Natuna ada sebuah makam yang dikeramatkan orang yang dikenali dengan Keramat Binjai.
Berdasarkan cerita yang mutawatir bahawa yang berkubur di situ berasal dari Patani dan ada hubungan dengan hampir semua penyebar-penyebar Islam dunia Melayu dalam tahun-tahun 1400-an itu. Nama Binjai selain terdapat di Natuna juga terdapat di Patani, Kelantan dan Terengganu.

AKTIVITI DAN PENGARUH DI SULU

Saiyid Abu Bakar diriwayatkan adalah seorang yang menguasai banyak ilmu pengetahuan Islam dan beberapa cabang daripada sekian ilmu dikuasainya secara mendalam. Oleh itu dipercayai bahawa beliau adalah seorang yang sangat bersungguh-sungguh menyebarkan agama Islam di mana saja beliau berada.
Berkemungkinan sewaktu beliau sampai di Brunei, diketahuinya bahawa negeri itu telah diisi oleh beberapa orang ulama, seperti Syarif Ali dan sahabat-sahabatnya, maka beliau terpaksa melanjutkan pelayarannya menuju ke sebelah timur. Beliau sampai di Sulu dan diterima oleh masyarakat dengan gembira.
Seterusnya beliau berasa selesa, sesuai menetap di sana dan berkahwin dengan puteri Raja Baginda bernama Paramisuli (Permaisuri). Serentak dengan itu, Raja Baginda berkenan melantik Saiyid Abu Bakar menjadi wakil sultan sekali gus beliau juga sebagai imam.
Setelah Raja Baginda mangkat, Sayid Abu Bakar ditabalkan menjadi Sultan Sulu lalu digelar dengan Sultan Syariful Hasyim.
Saiyid Abu Bakar mendahulukan pembinaan masjid dan bangunan-bangunan lainnya. Masjid yang dibinanya itu terkenal dengan nama ‘Unwanul Islam. Bermulanya baginda berkuasa, pemerintahannya diatur menurut hukum-hukum Islam dan dijalankan dengan secara adil.

WAFAT DAN KETURUNAN

Setelah Saiyid Abu Bakar/Sultan Syariful Hasyim wafat pada tahun 881 H/1480 M, makamnya yang indah terletak di Gunung Tumantangis.
Di antara putera Saiyid Abu Bakar/Sultan Syariful Hasyim yang dapat diketahui ialah Sultan Muhammad Kamaluddin.
Beliau dilantik menjadi Sultan Sulu sebagai pengganti Saiyid Abu Bakar/Sultan Syariful Hasyim. Baginda memerintah selama 25 tahun hingga kemangkatannya tahun 1505 M. Putera sulung baginda, bererti cucu Saiyid Abu Bakar/Sultan Syariful Hasyim ialah Sultan Maharaja Diraja Amirul Umara (wafat 1527 M).
Putera baginda yang dilantik sebagai Sultan Sulu selanjutnya ialah Pangeran Maharaja Upo bergelar Sultan Mu’izzul Mutawaddin (wafat 1548 M).
Seterusnya diganti oleh putera sulung baginda, Sultan Nasifuddin/Nasiruddin (wafat 1571 M). Lalu diganti oleh putera sulung baginda, Sultan Muhammad Halim Pangeran Budiman. Apabila wafatnya baginda pada 1585 M, maka diganti oleh putera baginda, Sultan Batara Syah Pangeran Tengah (wafat 1600 M).
Keturunan Sultan Sulu selanjutnya dengan lebih jelas dapat dirujuk pada buku Islam di Filipina oleh Cesar Adib Majul yang diterjemahkan oleh Shamsuddin Jaapar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama 1988.
Keturunan yang tersebut di atas semuanya menurut versi penulisan Filipina dan Brunei tetapi versi yang penulis peroleh adalah dari Sapat, Inderagiri berasal dari versi Banjar. Disebutkan bahawa Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ulama besar yang berasal dari Banjar yang terkenal diriwayatkan adalah keturunan dari Saiyid Abu Bakar Sultan Mindanao. Mungkin beliau juga yang dimaksudkan sebagai Sultan Sulu.
Dinyatakan bahawa Saiyid Abu Bakar memperoleh putera bernama Saiyid Abdullah al-Aidrus. Saiyid Abdullah al-Aidrus memperoleh anak bernama Saiyid Abu Bakar. Saiyid Abu Bakar memperoleh anak bernama Abdullah.
Abdullah ini pergi ke Banjar, kahwin dengan Aminah dan memperoleh anak yang dinamakan Muhammad Arsyad, iaitulah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari pengarang kitab Sabilul Muhtadin.
Beliau ini menurunkan zuriat yang sangat ramai menjadi ulama dan tokoh yang terkenal di nusantara terutama di Banjar.
Penulisan terawal mengenai Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dimulai oleh salah seorang keturunan beliau, iaitu Syeikh Abdur Rahman Siddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, yang berjudul Syajaratul Arsyadiyah.
Penyusunan dimulai tahun 1335 H/1916 M, diselesaikan pada malam Jumaat 12 Syawal 1350 H/1931 M. Pertama kali diterbitkan oleh Matba’ah Al-Ahmadiah Singapura, tahun 1356 H/1937 M.
Selanjutnya sesudah itu biografi Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari sangat banyak ditulis dan termasuk oleh penulis sendiri. Buku-buku tersebut berjudul Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Matahari Islam (1983) dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Pengarang Sabilal Muhtadin (1990).
Walaupun Syajaratul Arsyadiyah dipandang sebagai maklumat yang paling lengkap, namun setelah diadakan penyelidikan di sana-sini secara terus menerus, ternyata masih banyak ditemui beberapa maklumat baru.
Misalnya Syeikh Yasin Padang menyebut terdapat dua orang anak Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari serta keturunan-keturunannya yang tidak termaktub dalam Syajaratul Arsyadiyah.
H.M. Syafei Abdullah dalam buku Riwayat Hidup dan Perjuangan Syeikh H. A. Rahman Shiddik Mufti Inderagiri menyebut bahawa Syeikh Muhammad Arsyad adalah keturunan Sultan Mindanao bernama Saiyid Abu bakar, juga tidak termaktub dalam Syajaratul Arsyadiyah.
Selain itu ada seorang ulama yang mengajar di Masjidil Haram Mekah, yang mengarang beberapa buah kitab Melayu/Jawi, nama beliau ialah Syeikh Utsman bin Syeikh Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak) atau kadang-kadang disebut al-Banjari bukan al-Funtiani.
Di dalam Syajaratul Arsyadiyah tidak disebut nama anak Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari itu ada yang bernama Syeikh Utsman al-Funtiani atau al-Banjari, tetapi beberapa orang yang dipercayai ceritanya di Pontianak bahawa Syeikh Syihabuddin itu telah kahwin di Pontianak dan mendapat anak bernama Syeikh Utsman itu.

No comments: