Monday, August 18, 2008

SYEIKH AHMAD AL FATHANI

Ilmu Ilmu Hadis

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SEBAGAIMANA al-Quran dengan kepelbagaian ilmunya, demikian juga halnya dengan hadis yang sangat banyak ilmu yang tertakluk dengannya. Di antara ilmu-ilmu itu ialah Ilmu Mushtalahul Hadis, Ilmu Dirayah Hadis dan Ilmu Rijal Hadis. Selain penghafal hadis dengan jumlah yang banyak, Sheikh Ahmad al-Fathani juga telah khatam pengajian ilmu-ilmu hadis terutama kitab-kitab dalam lingkungan Ahlus Sunni. Beliau belajar semua disiplin ilmu yang ada dalam persekitaran hadis.
Sheikh Ahmad al-Fathani telah memperoleh sanad musalsal yang dianggap penting dalam ilmu hadis. Dalam umur masih muda, Sheikh Ahmad al-Fathani telah menguasai ilmu-ilmu hadis. Ini terbukti apabila beliau telah diberikan ijazah oleh dua orang gurunya di Madinah pada tahun 1319 H/1901 M.
Ijazah hadis yang pertama diberikan oleh Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri al-Hanafi pada tarikh 26 Rejab 1319 H/1901 M dan ijazah hadis yang kedua diberikan oleh Saiyid Abdul Qadir as-Syibli at-Tharablusi as-Syami al-Hanafi. Kedua-dua ulama itu adalah ulama besar ahli hadis pada zaman itu yang mengajar di Masjid Nabawi, Madinah.
Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyusun kitab mengenai hadis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Yang bahasa Arab masih dalam bentuk manuskrip, manakala dalam bahasa Melayu yang pernah diterbitkan di antaranya ialah Bisyarah al-‘Amilin wa Nazarah al-Ghafilin. Dalam karya beliau Hadiqatul Azhar war Rayahin juga banyak terdapat hadis dan terjemahannya.
Selain itu, sekurang-kurangnya ada tiga kitab yang membicarakan hadis dalam bahasa Melayu telah ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada ketiga-tiga karya tersebut, terdapat puisi beliau yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Kitab-kitab yang dimaksudkan ialah Kasyful Ghummah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani dan Al-Kaukabud Durriy karya Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani.
Sebelum membicarakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani pada kitab-kitab yang tersebut, penulis senaraikan sanad lengkap beliau dalam bidang ilmu hadis yang khusus mengenai kitab-kitab hadis shahih. Sanad yang dimaksudkan adalah:
*Sheikh Ahmad al-Fathani, belajar kepada:
*Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada:
*Maulana Sheikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi al Azhari, belajar kepada:
*Ramai ulama, yang paling terkenal dan banyak disebut ada tiga orang, iaitu: Sheikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, Sheikh Muhammad al-Amir al-Kabir, dan Sheikh Muhammad bin Ali asy-Syanwani. Khusus sanad daripada Allamah Sheikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, belajar kepada:
*Allamah asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni, belajar kepada:
*Allamah Abdul Aziz az-Ziyadi, belajar kepada:
*Asy-Syamsu Muhammad bin al-Alauddin al-Babli, belajar kepada:
* Sheikh Salim bin Muhammad as-Sanhuri, belajar kepada:
*An-Najmu Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada:
*Sheikh al-Islam Zakaria bin Muhammad al-Anshari, belajar kepada:
*Al-Hafiz asy-sheikh Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqallani, belajar kepada:
*Abi Ishaq Ibrahim bin Ahmad at-Tanukhi, belajar kepada:
*Abi al-Abbas Ahmad bin Abi Thalib al-Hajjar, belajar kepada:
*Al-Husein bin al-Mubarak az-Zabidi al-Hanbali, belajar kepada:
*Abi al-Waqti Abdul Awwal ibnu Isa as-Sijzi, belajar kepada:
*Abi al-Hasan Abdur Rahman bin Muzhaffar bin Daud ad-Dawudi, belajar kepada:
*Abi Muhammad Abdullah bin Ahmad as-Sarakhsi, belajar kepada:
*Abi Abdullah Muhammad bin Yusuf bin Mathar al-Farabri, belajar kepada:
*Muallif Sahih Bukhari, al-Imam al-Hafizh al-Hujjah Abi Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Bukhari.
Berikut pula disertakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani dalam ketiga-tiga kitab yang disebutkan.
Adapun puisi-puisi tersebut tidak disertakan bersama syarahnya, seperti mana yang terkandung dalam kitab. Mengenai syarah-syarahnya dapat dirujuk melalui kitab-kitab tersebut atau buku penulis berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, yang dimulai halaman 231.
Puisi pada kitab Kasyful Ghummah karya Sheikh Daud Abdullah al-Fathani
Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang menerangkan mengenai kitab Kasyful Ghummah terdapat pada cetakan pertama kitab tersebut oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada tahun 1303 H. Transliterasinya adalah sebagai yang berikut:
“Puji bagi Tuhan,
yang menjadikan mawa’izh itu tazkirah lil ummah
Dan dibukakan dengan dia daripada mereka itu
yang menerimanya akan ghummah
Dan shalawat dan salam atas Nabi
al-Hadi ila Rasyad
Dan atas keluarganya dan tolannya
syufa’ana yaumal ma’ad
Wa ba’du,
Maka telah sempurnalah ini kitab yang mustathab
Yang padanya
Hudanl lil muttaqin wa zikra li ulil al-bab
Sungguhnya telah disebutkan padanya
Akhbarut tifaf as-saq bis-saq
Dan ahwal pada hari yang padanya
ila rabbikal masaq
Dan dicetera padanya akan segala
yang menakuti daripada ahwal al-jahim
Dan dinazham pada suluk asrarnya akan segala
lu’lu’ akhbar jannatin na’im
Dan lain daripada ahwal yang barzakhiyah
Dan segala pekerjaan yang ukhrawiyah
Barang yang sayogianya mengambil ibarat
dengan dia oleh ‘aqilun
Dan hendaklah beramal bagi seumpama tsawab
yang tersebut padanya oleh ’amilun
Dan adalah hamba muqabalahkan pada tashhihnya
dengan Mukhtashar asy-Sya’rani
bagi asalnya yang Arabi
Iaitu at-Tazkirat al-Qurthubiyah
Dan hamba tashlihkan setengah daripada
barang yang zhahir padanya tahrif,
maka jadilah ia bersih seolah-olah
Ia-ali manzumah
atawa sabaik zahabiyah
Dan adalah capnya pada al-Mathba’ah al-Miriyah,
yang pada Makkah al-Mahmiyah
Dan selesainya pada pertengahan Syawal,
sanah 1303 Hijrah an-Nabi Shallallahu alaihi
wa sallam,
wa ‘ala alihi wa shahbihi wa syarafi wa karam
Puisi pada kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani
Pada kitab Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub karya Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur Kutan al-Kalantani, terdapat puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang digubah dalam bentuk sastera Arab yang terdiri daripada 27 bait. Tiap-tiap satu bait dua baris, dua baris. Selain itu, terdapat juga puisi beliau yang digubah dalam bahasa Melayu. Puisi yang digubah dalam bahasa Melayu transliterasinya adalah sebagai yang berikut:
“Puji itu bagi Allah,
yang dengan kurnia-Nya
sempurna segala yang dituntuti
Dan rahmat dan sejahtera
atas afdal segala Nabi yang diikuti
Dan atas kelurganya dan taulannya
yang semulia-mulia mereka itu,
yang dengan kepujiannya disebuti
Kemudian daripada itu,
Maka dengan pertolongan
Tuhan al-Malikul Wahhab
Dan dengan kemegahan
Penghulu kita an-nathiqu bish-shawab
Telah sempurnalah ini kitab yang mustathab
Yang ialah bagi segala hati yang lalai itu,
sebesar-besar cerca dan 'itab
Yang menyaksi akan dia
oleh al-Muqarrabun
khitamuhu miskun dan pada
falyatanafasil mutanafisun
Yang dinamakan dia
dengan al-Jauharul Mauhub
Iaitu kitab yang terpenuh
dengan guna-gunaan yang mathlub
Dan indah-indahan yang padanya marghub
Daripada ahadits Nabawiyah
Dan atsar Salafiyah
Dan fawaid yang ’ajibah
Dan faraid yang gharibah
Dan asrar yang lami’ah
Dan akhbar yang jami’ah
Dan nashaih dan mawa’izh yang mufidah
Dan ma’arif dan ‘ulum ‘adidah
Maka ialah,
Langit segala bintang yang ’alaih
Dan laut segala mutiara yang ghaliyah
Dan kebun segala bunga-bungaan yang bahiyah
Dan pokok segala buah-buahan yang syahiyah
Ta’lif guru yang a’zham
bagi segala guru yang masyhur
Maka dialah matahari ilmu
dan mereka itu budur
Al-‘Allamah al-‘Amil
wa al-Fadhil al-Kamil
Tuan Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantan
Ibnu al-Marhum Wan Abdur Rahman
Ibnu Abdul Ghafur afadhallahu Taala alaihi
sawabighul judi wal ihsan”
Puisi pada kitab Al-Kaukab Ad-Durriy karya Sheikh Muhammad Bin Ismail Daud Al-Fathani
Kitab yang akan dibicarakan
ini bukanlah kitab khusus membicarakan hadis seperti dua
kitab yang telah dibicarakan. Namun disebabkan cerita-cerita di dalamnya lebih banyak bersumber daripada hadis, maka dikategorikan
di bawah judul Puisi Sheikh
Ahmad Al-Fathani Pada Kitab-Kitab Hadis.
Kitab ini dengan judul lengkapnya Al-Kaukabud Durriy fin Nuril Muhammadiyi, adalah merupakan karya ulama dunia Melayu yang terkenal, iaitu Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani, atau digelar juga dengan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani.
Kitab yang bercorak
sastera
Islam Melayu klasik ini telah ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, dan padanya terdapat puisi beliau yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Puisi yang digubah dalam bahasa Melayu transliterasinya adalah sebagai yang berikut:
Wa ba’du,
Maka telah selesailah thaba’ ini kitab
yang mengandung akan beberapa banyak ajaib
Yang menyatakan daripada
ahwal bahamut,
dan malakut,
dan ‘azhamut,
akan badai’ dan gharaib
Maka seyogialah,
bagi segala mata,
bahawa berkuhul ia,
dengan itsmid muthala’ahkan ibaratnya
Dan bagi segala telinga,
bahawa berlazat-lazat ia,
dengan halawah mendengarkan hikayatnya.
Yang diisnadkan sekaliannya,
kepada tsiqat al-ulama zawit tahqiq
Maka lazimlah atas segala hati,
bahawa ada ia baginya Aba Bakar as-Shiddiq
Dan sesungguhnya,
jikalau dituliskan risalah ini,
atas shafaih al-fiddah dengan ma’ az-zahab
niscaya berpatutanlah demikian itu,
dengan mahasinnya yang indah lagi ‘ajab

Friday, August 15, 2008

SYEIKH AHMAD AL FATHANI

Dan Ilmu Perubatan

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd Saghir Abdullah

Sheikh Ahmad al-Fathani mendapat pendidikan khusus dalam bidang ilmu kedoktoran secara mendalam melalui seorang doktor/tabib yang berasal dari Kabul, Afghanistan, beliau ialah Sheikh Abdur Rahim al-Kabuli.
Di halaman terakhir sebuah kitab yang ditulis dalam bahasa Urdu, terdapat catatan tentang Sheikh Ahmad al-Fathani yang ditulis dalam bahasa Arab, yang bermaksud: “Selesai mempelajari kitab ini dari Syeikhuna doktor yang mahir dan termasyhur, iaitu Sheikh Abdur Rahim al-Kabuli, sesudah Zuhur, hari Sabtu 21 Ramadan 1312 H”.
Namun, penulis tidak pasti melalui aktiviti yang bagaimana sehingga Sheikh Ahmad al-Fathani dikenali oleh beberapa doktor di Mesir pada zaman itu. Sehingga dapat ditemui beberapa surat yang dikirim oleh doktor-doktor di Mesir kepada beliau di Mekah. Malahan ada di antara surat itu yang meminta Sheikh Ahmad al-Fathani bekerjasama dengan mereka untuk penelitian pelbagai jenis ubat yang baru diperkenalkan ketika itu.
Terdapat dua karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang secara khusus membicarakan mengenai perubatan. Sebuah karya beliau yang ditulis dalam bahasa Melayu iaitu Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan, yang selesai ditulis pada 13 Zulhijjah 1312 H/1894 M.
Ternyata tarikh selesai menulis kitab tersebut hanya kira-kira empat bulan setelah beliau mengkhatamkan sebuah kitab kedoktoran yang ditulis dalam bahasa Urdu, yang dipelajarinya daripada Sheikh Abdur Rahim al-Kabuli.
Cetakan pertama kitab Thaiyib al-Ihsan dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah Mekah dalam tahun 1313 H/1895 M dan seterusnya cetakan kedua dalam tahun 1332 H/1913 M.
Selain karya itu, ada beberapa halaman dalam Hadiqah al-Azhar dan Luqthah al-‘Ajlan yang menyentuh tentang perubatan. Seterusnya ditemui juga lembaran-lembaran catatan yang merupakan pelbagai eksperimen beliau terhadap pelbagai jenis tumbuhan dan spesies binatang yang boleh digunakan untuk mengubat pelbagai jenis penyakit.
Dengan ditemui catatan-catatan tersebut, maka terbukti Sheikh Ahmad al-Fathani cuba menggabungkan hasil pelajaran dengan penelitiannya sendiri yang bersumberkan khazanah dunia Melayu.
Pemikiran Kedoktoran
Berdasarkan cerita ramai tuan guru pondok bahawa Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani adalah putera Melayu yang pertama belajar ilmu kedoktoran.
Sehingga kini kita belum pun mendapat maklumat bahawa seseorang itu sebagai ulama besar dan secara langsung pula sebagai ahli perubatan di dunia Melayu.
Beberapa pemikiran beliau tentang perubatan dapat dikaji dari sebuah karyanya berjudul Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan yang ditulis dalam bahasa Melayu. Selain itu penulis mempunyai banyak catatan Sheikh Ahmad al-Fathani, yang belum sempat dikumpulkan menjadi sebuah buku.
Bagi membuktikan bahawa beliau ialah seorang ahli pemikir perubatan di Asia Tenggara/dunia Melayu, di bawah ini dinyatakan beberapa kalimat beliau yang bercorak tersebut, iaitu:
l“Dan kami harap bahawa Allah membuka akan hati seseorang akan hemah yang tinggi, maka bersungguh-sungguh ia mencuba beberapa jenis kayu, tumbuh-tumbuhan dan lainnya daripada barang yang pada bumi Melayu dan memeriksakan pada demikian itu. Maka disuratkan beberapa faedahnya, khasiatnya, pangkat segala tabiatnya dan kaifiat isti’malnya (memakai). Seperti memperbuatkan demikian itu oleh Hukuma’ Yunani pada masa dahulu dengan beribu-ribu tahun. Kemudian mengambil daripada mereka itu oleh Hukuma’ Arab dengan hemah raja-raja anak Harun ar-Rasyid.
Maka berkekalan mentaklif (mengarang) mereka itu beberapa karangan, maka tercawang daripada demikian itu hingga sekarang ini thib (perubatan) segala Thabib (doktor, dukun, bomoh, dan lain-lain) Farsi (Iran) dan Hindi (India). Kemudian beratus-ratus tahun, kemudian daripada itu oleh segala thabib Afranji (Eropah) maka menambah dan meringkah (mencipta) mereka itu beberapa banyak ringkahan (ciptaan) yang ajaib”.
lSheikh Ahmad al-Fathani menulis: “Padahal jenis melayu aula (lebih utama) dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat itu pada negeri dan bumi kita”.
l“Maka bersangatanlah sayugia bagi Raja-Raja Melayu bahawa memalingkan (mengarahkan) mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut dengan menyungguh-nyungguh menyuruh dan menggemarkan manusia pada demikian itu, dengan memudahkan bagi demikian itu. Dan berdiri dengan belanja bagi demikian itu. Maka dapat baginya pahala yang jazil”.
l “... kepada menghimpunkan dia oleh bersangatan hajat jenis melayu kepadanya, banyak darurat hal mereka itu kepada bicaranya, kerana mengubati itu. Berturut-turut soal (permintaan) mereka itu kepadanya. Serta tiada ada sekali-kali daripada mereka itu orang yang amat-amati (mengambil berat) dengan dia atas Qanun yang madun (undang-undang negeri) yang membawa kepada pengetahuan yang muktabar yang boleh dipegang akan dia”.
l “Padahal ilmu thib (perubatan) itu daripada sebesar-besar barang yang berhajat kepadanya tiap-tiap manusia. Hingga jahil mereka itu akan barang yang melengkapi ia atasnya daripada beberapa banyak rahsia. Dan seolah-olah ilmu thib itu pada sisi mereka itu sesuatu yang sia-sia. Maka meninggalkan mereka itu akan dia nasiyan-mansiyan. Dan tiada ada pula bagi mereka itu sesuatu daripada kitab pada ini shina’ah (kepandaian) yang boleh dipegang atasnya, dan dipercayai dengan nukilnya dan diambil dengan ibarat dan nasnya”.
Sheikh Ahmad al-Fathani dan sejarah
Berdasarkan pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani yang diperoleh dari karya-karya beliau dalam bidang sejarah, sama ada dalam bahasa Arab ataupun dalam bahasa Melayu yang pernah diterbitkan, mahupun yang berupa manuskrip dan catatan-catatan, maka dapat dianggap bahawa beliau ialah seorang sejarawan yang berasal dari dunia Melayu yang dikagumi di Timur Tengah pada zamannya.
Sebagaimana yang telah disebutkan tentang penglibatan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bidang politik, maka menurut lazimnya seorang politikus sekali gus seorang yang faham dengan sejarah bangsanya sendiri dan bangsa-bangsa lain. Seorang sejarawan faham terhadap politik semasa, politik yang telah lalu dan dapat membayangkan akibat daripada tindakan politik yang sedang dilakukan.
Pada pengenalan ini, saya tidak akan membicarakan pemikiran beliau tentang sejarah lagi kerana telah cukup jelas diperkatakan dalam buku cetakan yang pertama tahun 1992 cuma saya akan memperkenalkan beberapa tulisan beliau mengenai sejarah Nabi Muhammad SAW atau yang ada hubungannya dengan itu.
Terdapat tiga karya Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai sejarah Rasulullah SAW. Sebuah ditulis dalam bahasa Arab berbentuk puisi dan dua buah lagi dalam bahasa Melayu. Sebuah dalam bentuk puisi dan yang sebuah lagi berbentuk prosa, tetapi di beberapa halaman terdapat juga puisi. Puisi yang dalam bahasa Arab diberi judul Al-Lum’ah an-Nuraniyat wa Nafahat al-Miskiyah.
Karya ini hanya ditemui pada halaman mukanya saja dalam bentuk manuskrip. Prosa dalam bahasa Melayunya diberi judul Badr at-Taman wa an-Nujum ats-Tsawaqib, diselesaikan penulisannya dalam tahun 1307 H/1889 M di Mekah.
Kitab tersebut dicetak pertama kalinya oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1309 H/ 1891 M, kemudian diulang cetak beberapa kali oleh Saudara Press, Patani.
Ada pun sirah Nabi Muhammad S.A.W yang dalam bentuk puisi masih berupa manuskrip dan merupakan karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang pertama, ditulis ketika beliau berusia 15 tahun.
Sultan Abdul Hamid Khan ats-Tsani telah meminta beliau menulis tentang sejarah Turki-Uthmaniah. Maka beliau menulis sejarah itu dalam dua bahasa iaitu bahasa Arab dan bahasa Melayu. Tulisannya dalam bahasa Arab masih belum ditemui sedangkan yang dalam bahasa Melayu selesai ditulis dalam tahun 1303 H/1885 M di Istanbul, Turki. Sejarah Turki-Uthmaniah ini pernah dicetak dalam kitab Hadiqah al-Azhar.
Selain itu, dalam Hadiqah al-Azhar juga banyak ditemui beberapa catatan beliau yang bercorak sejarah. Di antaranya tentang kelahiran beliau, usahanya dalam pentashhihan kitab, perang antara Patani dengan Siam dan lain-lain.
Karangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang bercorak sejarah, tetapi tidak termuat dalam Hadiqah al-Azhar ialah Sejarah Lampung Pecah. Mengenai sejarah tersebut, beliau menulisnya ketika peristiwa itu terjadi dalam tahun 1301 H/1883 M. Manuskrip Sejarah Lampung Pecah karya beliau itu hanya ditemui beberapa lembar saja.
Mengenai sejarah Patani yang lengkap, beliau memberikan judulnya Fadhilah Ahmad al-Fathani. Penulis memperoleh informasi bahawa kitab yang penting itu pernah dicetak di Mekah. Namun, sama ada dalam bentuk manuskrip atau pun bahan bercetak, sejarah mengenai Patani karya Sheikh Ahmad al-Fathani itu sehingga kini masih belum diperoleh.
Sheikh Ahmad al-Fathani dapat dikategorikan sebagai golongan ulama dari dunia Melayu yang pertama menulis pelbagai sejarah kerana sebelum beliau tidak ramai ulama dari dunia Melayu melibatkan diri dalam bidang penulisan sejarah. Sejarah Imam fiqh yang empat orang itu, penulisan awal dalam bahasa Melayu dilakukan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, manakala Sheikh Ahmad al-Fathani adalah tokoh yang kedua menulis tentang itu.
Mengenai biografi para Wali Allah dan Sejarah Turki-Uthmaniah nampaknya karya Sheikh Ahmad al-Fathani merupakan karya yang pertama ditulis di dalam bahasa Melayu. Asal Usul Bugis-Melayu yang terkenal ialah karya Raja Ali Haji yang berjudul Salasilah Bugis dan Melayu.
Karya Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai asal usul Bugis-Melayu walaupun ringkas namun boleh digunakan sebagai perbandingan dengan karya Raja Ali Haji yang lengkap itu.
Selain tokoh-tokoh dari Riau dan Patani itu memang tidak dikenal dengan pasti siapa penulis salasilah Bugis dan Melayu itu pada peringkat awalnya.
Pemikiran Tentang Sejarah
Petikan Dari Hadiqah Al-Azhar
Pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai sejarah dapat dipetik dari kitab Hadiqah Al-Azhar, antaranya adalah:
l “Adalah ia ilmu yang memberi faedah bagi tiap-tiap yang mempunyai akal. Istimewa orang yang memerintah ahwal manusia daripada orang besar-besar dan raja-raja. Dan dari kerana ini adalah setengah daripada raja-raja berwasiat kepada anaknya, selama-lamanya dengan katanya, “Hai anakku, jangan engkau lalai pada membaca segala kitab. Istimewa kitab tawarikh yang lama-lama. Maka bahawasanya engkau terlihat dengan dia sehingga-hingga kemudahan atas segala barang yang mengusahakan dia oleh yang lain daripada engkau beberapa banyak kepayahan. Dan setengah daripadanya, membuka aurat bohong segala yang ber-dusta dan membezakan kelakuan mereka yang benar. Dan tiada jahilkan manfaatnya melainkan orang yang gugur hemahnya dan yang kasar qarinahnya”.
l Adapun ahli Tanah Melayu kita, maka tiadalah mereka itu memperduli dengan syaan tawarikh. Hingga jahillah mereka itu akan ahwal segala masa yang telah lalu atas negeri mereka itu daripada beberapa masa yang hampir. Bahkan tiada mengetahui mereka itu akan nama-nama nenek moyang mereka itu. Padahal belum lalu beberapa lapis yang sedikit. Akan tetapi ada juga sampai khabar kepada perhamba, bahawasanya ada bagi setengah- setengah negeri mereka itu, buku yang disebutkan dalam setengah-setengah ahwal yang jatuh dalam masa yang tertentu. Dikatakan baginya ‘Sejarah Fathani’, umpamanya. Dan perhamba dengarkan dari setengah orang tua-tua, mereka itu mentarikhkan, pada ketika mereka itu berkhabar-khabar dengan musuh-musuhan, seperti perkataan mereka itu; “Hamba keluar dari anu-anu pada tahun musuh Kedah atau kemudian daripada tiga tahun daripada musuh Fathani”. Padahal tiada disuratkan bagi demikian musuh-musuh itu tarikh yang dapat kita ketahui dan kita perpegangkan dengan dia.
l “Dan adalah tiap-tiap bangsa, istimewa Arab, Farsi dan ahli Eropah yang dahulu-dahulu dan yang kemudian-kemudian sangat mengamat-amati mereka itu dengan pekerjaan tarikh. Hingga mereka itu dapat mengetahui yang terkemudian daripada mereka itu akan ahwal yang dahulu-dahulu dengan masa beberapa ribu tahun”.
l “Dan telah perhamba lihatkan di Mesir pada beberapa banyak batu pada Ahram mereka itu akan beberapa banyak suratan. Adalah hurufnya rupa-rupa binatang. Telah fana ahlinya, dan binasa mereka itu. Dan berubah-ubah bangsanya, dan bahasa, dan agama, kemudian daripada mereka itu beberapa lapis. Hingga tiada dapat seseorang membacakan dia di dalam beberapa kurun yang banyak. Kemudian, di dalam masa ini, berhadaplah kepada menghuraikan dia oleh kehendak setengah raja-rajanya. Maka memisahkan orang yang handal-handal dan petah-petah pada memeriksakan hingga nyatalah bagi mereka itu sekalian madhmunnya. Maka tiba-tiba ia adalah ahwal raja-raja dan segala peperangan mereka dan ahwal ahli zaman itu. Maka dibuat satu madrasah tempat belajar menyurat (menulis) huruf dan bacaannya. Hingga diterjemahkan demikian itu kepada bahasa Arab. Maka tilik olehmu yang mempunyai bashirah (pandangan jauh) dengan ‘ainul afkar, betapa tinggi hemah dan besar kisah bangsa orang, supaya dapat bagimu hidayatul iktibar. Maka menjalani engkau akan jalan manfaat hushul dawamil iftikhar. Dan membuka engkau bagi dirimu dan segala anak jenismu akan mata istibshar”.

SYEIKH AHMAD AL-FATHANI

Ilmu Ilmu Al Quran

LEMBARAN Sanad Hadis dan pelbagai ilmu yang diijazahkan oleh Sheikh Abdul Qadir Asy-Syibli ath-Tharablusi Asy-Syami Al-Hanafi guru Masjid Nabawi Madinah kepada Sheikh Ahmad Al-Fathani pada tahun 1319H.


SEJAK berumur enam tahun, Sheikh Ahmad al-Fathani telah menghafaz al-Quran 30 juzuk dan ini diriwayatkan oleh keluarga beliau yang terdekat. Mengenai beliau sebagai penghafal al-Quran dan pelbagai matan juga disebut oleh Sheikh Abdullah Mirdad Abul Khair dalam karangannya. Apabila disebut ilmu-ilmu al-Quran, ini bererti akan menyentuh kepelbagaian ilmu yang tertakluk dengan kitab suci itu, antaranya adalah: Ilmu Tafsir, Ilmu Asbab an-Nuzul, Ilmu Rijal al-Tafsir, Usul Tafsir, Ilmu Qiraat, Ilmu Tajwid, Ilmu Hikmah/Fadail Ayat al-Quran dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani sempat mempelajari ilmu-ilmu tersebut daripada guru-guru yang benar-benar pakar dalam bidang masing-masing. Ada di antara disiplin sesuatu ilmu itu yang sempat beliau tulis dan diajar kepada orang ramai.
Penglibatan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam menterjemah dan mentafsir al-Quran ke dalam bahasa Melayu dapat dibuktikan pada kitab yang ditashhihnya. Kitab itu ialah Turjuman al-Mustafid atau Tafsir Baidhawi Melayu karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.
Dikatakan bahawa kitab karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.
Sheikh Ahmad al-Fathani juga adalah orang yang pertama selaku pentashhih kitab itu, dan atas usaha beliau juga maka kitab itu dapat diterbitkan. Beliau juga telah membetulkan jalan bahasa kitab itu menurut bahasa Melayu yang umum digunakan oleh masyarakat Melayu secara meluas pada zamannya.
Beberapa perkataan yang merupakan bahasa daerah atau bahasa Aceh telah beliau ubah. Untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut, beliau dibantu oleh dua orang muridnya iaitu Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani. Oleh kerana itu, semua edisi kitab Turjuman al-Mustafid ada mencantumkan ketiga-tiga nama ulama tersebut pada bahagian halaman terakhirnya (setelah doa khatam al-Quran).
Sheikh Ahmad al-Fathani pernah menyusun sebuah kitab terjemahan dan tafsir al-Quran karangannya sendiri. Namun manuskrip karya beliau itu telah dihumban ke Sungai Jambu, Patani dalam tahun 1970, oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya terjemahan dan tafsir al-Quran karya Sheikh Ahmad al-Fathani itu dapat ditemui, maka bererti karya beliau itu merupakan yang ketiga yang pernah dihasilkan oleh ulama Melayu sesudah karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan Tafsir Ma’shum / Tafsir Jamal yang disusun oleh Sheikh Ma’shum bin Jamaluddin al-Fathani.
Mengenai ilmu tajwid, Sheikh Ahmad al-Fathani juga pernah menyusunnya, tetapi hanya sebuah manuskrip yang ditemui dalam keadaan tidak lengkap. Oleh kerana manuskrip tersebut tidak lengkap, maka data mengenainya belum dapat diterangkan sepenuhnya. Namun terdapat juga puisi-puisi mengenai ilmu tajwid yang diletakkan dalam dua kitab yang ditashihnya. Kedua-dua kitab tersebut adalah al-Mawahib al-Makkiyah karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dan Maurid azh-Zhammaan karya Sheikh Abdullah bin Qasim Senggora.
Mengenai ilmu hikmah, atau fadilat-fadilat ayat al-Quran, terdapat beberapa karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyentuh tentang itu. Judul tersebut ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Semuanya masih dalam bentuk manuskrip kecuali sebuah yang pernah diterbitkan dalam tahun 1301 H/1883 M berjudul Luqthah al- ‘Ajlan. Cetakan pertama, kedua dan ketiga kitab tersebut diusahakan oleh Mathba‘ah al-Miriyah al- Kainah, Mekah. Ia pernah juga dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang dan Patani Press, di Patani. Mengenai ilmu yang sama, Sheikh Ahmad al-Fathani mentashhih pula kitab Mujarrabat al-Fawaid karya Saiyid Ahmad bin Husein bin Mushthafa al-‘Aidrus, Terengganu.
Puisi Sheikh Ahmad Al-FathaniPada Kitab Al-Mawahibul Makkiyah karya Sheikh Abdul Qadir Bin Abdur Rahman Al-Fathani
Sebagaimana telah disebutkan bahawa ada buah kitab tajwid dalam bahasa Melayu yang ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada kedua-dua kitab itu terdapat puisi beliau yang digubah dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Kitab tajwid yang pertama berjudul Al-Mawahib al-Makkiyah fi Tajwid al-Ada-iyah karya gurunya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Sebuah lagi ialah yang berjudul Mauriduz Zhamaan karya muridnya Sheikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora).
Puisi yang termaktub dalam Al-Mawahibul Makkiyah diterjemahkan sebagai yang berikut:
Wa ba’du,
maka adalah yang terlebih utama
barang yang berhadap kepadanya
oleh himam yang ‘iwal
Iaitu kalam Allah Subhanahu wa Taala
al-Kabirul Muta’al
Dan setengah daripada
barang yang wajib diamat-amatikan dengan dia itu, mentajwidkan hurufnya
Dan mengelokkan segala lafaznya
dan mengetahuikan wuqufnya
Dan mengetahui izhar dan idgham
Dan lainnya daripada baqiyah al-ahkam
Dan adalah ini kitab,
Bagi segala yang tersebut itu kafil
Serta bahawasanya hajamnya itu qalil
Maka adalah ia daripada seelok-elok
barang yang diterjemahkan dia pada ini fan
Melengkapi ia atas beberapa banyak kaedah
dan hukum yang mutqan
Dan tatkala hampir sempurna thaba’
ini kitab yang jalil
Terlintas beberapa bait atas khathir
hamba yang kalil
Puisi Sheikh Ahmad Al-Fathani
Pada Kitab Mauriduzh Zhammaan
Karya Sheikh Abdullah As-Sanquri
Kitab ilmu tajwid yang paling terbesar di dunia Melayu ialah Maurid az-Zhammaan fima Yata‘allaqu bi Tajwid al-Quran karya Sheikh Abdullah bin Muhammad Qasim as-Sanquri (Senggora). Kitab ini juga ditashih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dan tercantum di dalamnya puisi beliau dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Puisi beliau dalam bahasa Melayu yang transliterasinya adalah sebagai yang berikut:
“Puji itu bagi Tuhan yang mengajarkan manusia
barang yang tiada diketahuinya
Dan rahmat, dan sejahtera atas yang semulia-mulia
Nabi yang dipercayai atas segala wahyi-Nya
Dan atas segala tolannya dan keluarganya
Yang mereka itulah raja-raja ahli syurga-Nya
Amma ba’du,
maka telah selesailah
mengecap ini kitab yang faiq
Yang ialah tempat bendaharaan
segala permata yang shafi
dan mutiara yang raiq
Maka jikalau dibelikan dia
dengan timbunan daripada darahim dan dananir
Adalah ia murah, kerana masailnya itu
segala bintang dan bulan dan matahari yang munir
Bahkan di dalamnya barang yang mengayakan
yang faqir
Dan memuliakan yang haqir
Dan mengapalah disayangkan dirham dan dinar?
Pada membelikan barang
yang melepaskan diri daripada nar?
Dan sungguh jikalau disimpan
segala masalahnya di dalam khazain al-qulub
Nescaya didapatkan dengan demikian itu
segala maksud dan mathlub
Dan sahlah bagi yang berbuat ibadat sembahyangnya
Yang adalah ia bagi agama Islam sebesar-besar tiangnya
Dan sunyilah bacaannya daripada
hodoh, dan kicap dan nila
Maka beramal ia dengan firman-Nya Allah Taala
Dan telah mustahak elok dan bersih kitab ini
bahawa dipujikan dia dengan beberapa kararis
l Pada Kitab Mujarrabat Al-Fawaid karya Saiyid Ahmad Bin Husein Bin Mushthafa Al-‘Aidrus Terengganu
Salah sebuah kitab yang membicarakan fadilat-fadilat surah-surah dan ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Melayu ialah kitab Mujarrabatul Fawaid fis Salati wal ‘Awaid karya Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein bin Mushthafa al-‘Aidrus, juga terkenal dengan gelaran Tokku Melaka, dan tercatat pada muka depan kitab itu dengan gelaran lain, iaitu Tuan Saiyid Embun Terengganu.
Naskhah aslinya telah diserahkan oleh pengarangnya kepada Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah, lalu ditashhih oleh beliau bersama-sama Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Transliterasi puisi tersebut adalah sebagai yang berikut:
“...... yang terhimpun padanya beberapa fawaid
yang gharaib
Dan beberapa manafi’ ayat dan hikmatnya
yang ajaib
Yang tiada terkaya dengan dia oleh tiap-tiap mereka
yang bersifat dengan fuhul ar-rijal
Kepada medan bahaya seteru ialah melepasnya
dengan tolongan al-Waliyul Muta’al”
“Yang terhimpun padanya
beberapa faedah dan asrar ayat al-Quran
Dan kenyataan rahsia
dan kelebihan salawat atas Nabi
Saiyid Waladi ‘Adnan
Dan beberapa khasiat fadilat kelebihan
doa, dan wirid, dan berbagai-bagai azimat
yang menolakkan mudarat manusia wal jan
Dan terhimpun pula padanya ubat-ubatan,
dan hikmat, yang terdapat tiada berkehendak
kepadanya laki-laki dan perempuan
Dan lainnya daripada beberapa banyak lagi
yang tersebut di dalam kitab ini akan faedah
yang bergantung dengan dunia dan akhirah
darul janan”.
Terjemah Maulana wa Qudwatuna as-Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein bin Mushthafa al-‘Aidrus dimasyhurkan.”
PenutupAdapun kesemua puisi tersebut hanya dinyatakan sebahagian sahaja. Sheikh Ahmad al-Fathani juga mensyarahkan semula puisi-puisi tersebut dengan lebih jelas dalam kitab-kitab yang ditashihnya. Namun, di sini tidak dapat dibicarakan sepenuhnya disebabkan kepadatan ruang.
Oleh itu, mengenai syarah beliau tentang puisi-puisi tersebut boleh didapati dalam manuskrip-manuskrip yang dinyatakan, atau dalam buku penulis berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam (Jilid 2), yang dimulai pada halaman 195.