Monday, March 31, 2008

ULAMA ULAMA PONTIANAK DAN KARYA MEREKA (bhg 3)

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


Dalam artikel yang lepas penulis telah memperkenalkan sembilan tokoh ulama yang berasal dari Pontianak, termasuk tiga tokoh dalam lingkungan Istana Kerajaan Pontianak.
Artikel kali ini masih membicarakan kesinambungan daripada ulama dan tokoh yang berasal dari Pontianak, serta pengkaryaan mereka. Namun di bahagian akhir artikel penulis memuatkan pengenalan ulama luar yang datang dan berperanan besar dalam kerajaan Pontianak seperti Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi, Mufti Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani dan Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani.
Ulama-ulama Pontianak yang diperkenalkan pada kali ini adalah seperti berikut:
Umar bin Ahmad bin Muhammad ‘Athar
Hanya ditemui sebuah karya oleh tokoh ini iaitu ialah Ilmu Azimat dan Wafaq, diselesaikan hari Ahad, 11 Safar 1334 H, di Kampung Melayu, Pontianak.
Kandungannya membicarakan ilmu azimat dan wafaq. Diperoleh dalam bentuk manuskrip asli tulisan tangan penyusunnya.
Muhammad Thaiyib bin Encik Ya’qub
Tokoh ini juga hanya ditemui sebuah karya iaitu Kitab Ditertibkan Mi’rat, diselesaikan 21 Rejab 1344 H.
Kandungannya membicarakan Nabi s.a.w serta mikrajnya. Ia merupakan terjemahan kitab Fatawal Masyhur. Pada halaman empat dicatatkan, “Maka bahawasanya ditertibkan terkarang olehnya tiga ulama.
“Pertama, Sheikh Muhammad Arsyad ahli fiqh, Sheikh Daud ahli usuluddin dan Sheikh Abdus Shamad ahli tasauf. Bahawa ketiganya meninggalkan dunia di dalam perang sabilillah di negeri Siam.”
Manuskrip judul tersebut diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M. Pada halaman akhir tercatat, “Muhammad Thaiyib peranakan bangsa Bugis ibnu Encik Ya’qub di Pontianak, Kampung Bugis…”
Mufti Haji Ismail Bin Abdul Karim bin Utsman al-Funtiani
Sebuah salasilah yang diperoleh di Pontianak ada menyatakan bahawa Haji Utsman (Daeng Pegalak) datang ke Pontianak bersama seorang anaknya Nakhoda Tuzu dari Bugis. Anak Haji Utsman (Daeng Pegalak) ada 6 kesemuanya, anak yang ketiga bernama Haji Abdul Karim.
Haji Abdul Karim memperoleh empat anak lelaki. Anak sulungnya bernama Haji Ismail. Haji Ismail bin Haji Abdul Karim mendapat pendidikan akhir di Mekah dan setelah pulang dari Mekah dilantik menjadi Mufti di Kerajaan Kubu.
Dalam masa yang sama, di Pontianak ada tiga ulama besar yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif atau lebih dikenali dengan Haji IIsmail Jabal. Pangkatnya adalah sebagai Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak.
Anaknya seorang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Majid Kelantan yang kemudian dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama yang tersebut sama-sama mendapat pendidikan di Mekah. Di antara karya Haji Ismail bin Haji Abdul Karim ialah:
1. Kitab Mukhtashar ‘Aqaid, diselesaikan di Teluk Pak Kedai, hari Jumaat, pukul 5, 18 Rejab 1351 H. Kandungannya adalah pelajaran ilmu akidah untuk hafalan kanak-kanak. Dicetak oleh Annashar & Co, Pontianak.
2. Jadwal Hukmin Nikah atau Jadwal Nikah Soal-Jawab, diselesaikan hari Selasa, 1 Jamadilawal 1357 H di Mekah, Kampung Syubaikah.
Ia membicarakan hukum perkahwinan. Dicetak oleh Mathba'ah al-Islamiyah, Victoria Street, Singapura tanpa dinyatakan tahun cetak. Diberi kata Pendahuluan oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi, kata Akuan oleh Mufti Kerajaan Johor, Alwi bin Thahir bin Abdullah al-Haddad al-Aawi dan kata Pujian oleh ketua Kadi Singapura, Abbas bin Muhammad Thaha, Pejabat Kadi Qudhah, Singapura 7 Rabiuts Tsani 1358 H.
Abdullah bin Haji Abdur Rahman al-Buqisi al-Funtiani
Karya yang telah ditemui ialah Tajwid, judul sebenar belum diketahui kerana tidak terdapat maklumat, diselesaikan hari Jumaat, 8 Muharam 1346 H.
Ia membicarakan ilmu tajwid untuk memperbetulkan bacaan al-Quran. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperolehi di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M.
Abdur Rasyid bin Mahmud Pontianak
Karya yang telah ditemui ialah Ath-Thariqatul Haddadiyah, diselesaikan pada hari Selasa, 5 Zulkaedah 1353 H.
Kandungan membicarakan amalan wirid Ratib al-Haddad yang dilengkapi dengan sanad. Selainnya juga disebutkan beberapa amalan yang lain di antaranya tentang Khatamun Nubuwwah ketika akan keluar dari rumah.
Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani
Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, mendapat pendidikan di Mekah. Pernah mengajar di Masjidil Haram, Pontianak, Singapura dan beberapa tempat dalam Kepulauan Riau. Di antaranya Pulau Midai dan Pulau Bunguran/Natuna.
Beliau meninggal dunia di Singapura tahun 1967 M. Pada hari beliau meninggal dunia secara kebetulan penulis berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai orang yang menziarahinya baik masih di rumah, mahu pun hingga menghantar ke kuburnya.
Antara karyanya yang telah ditemui ialah:
1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan 1 Jamadilakhir 1357 H/14 Januari 1956 M.
Kandungan membicarakan berbagai-bagai aspek Tajwid Quran termasuklah perbandingan beberapa qiraat. Cetakan yang pertama oleh All-Ahmadiyah Press, 101 Jalan Sulthan, Singapura.
2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, diselesaikan hari Khamis, 21 Syawal 1359 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan kemudahan rezeki dan kekayaan. Dicetak yang pertama di Mathba’ah al-‘Umariah, 786, North Bird Road, Singapura, 1359 H.
3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat taslim tak Tarhim. Judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam al-Quran Dan Taslim Dan Tarhim. Diselesaikan malam Sabtu, pukul 12.20, tarikh 2 Zulhijjah 1379 H/28 Mei 1960 H.
Kandungan membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran, tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan melakukan sembahyang tarawih. Cetakan yang pertama al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 H.
Yusuf Ibnu Muhammad al-Makkiyah
Ulama yang tersebut di atas hanya ditemui sebuah karya iaitu Bayanullah fi Bayani Ma’rifatil Bayan min Kulli Bayan. Diselesaikan di kampung Bugis, Pontianak, 16 Zulkaedah 1357 H.
Kandungan membicarakan tasauf hakikat yang ditulis dalam bahasa Arab, manakala pada bahagian tepi terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu. Masih dalam bentuk manuskrip salinan Shalih bin Abdullah bin Hasan al-Haddad, Kampung Bugis Pontianak.
Pada bahagian akhir, penyalin mencatatkan, “Adalah ini kitab Bayanullah, disalin sebagaimana naskhah yang kami dapat dari guru kami, dan dengan izin guru kami. Tetapi tiada dibenarkan dan tiada dihalalkan kepada seseorang menyalinnya istimewa yang tiada ahlinya daripada mengajinya. Dengan pertolongan Allah S.W.T selesailah saya menyalin ini kitab pada tanggal 16 Zulkaedah, malam Sabtu, pukul 10, pada tahun 1357 (Hijrah), tamat di Kampung Bugis,….(tandatangan tulisan Melayu/ Jawi, Pontianak)”.
Manuskrip judul tersebut diperolehi di Pontianak pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).
Ulama luar yang menghasilkan karya di Pontianak
Telah disebutkan bahawa di antara ulama besar Mekah yang datang ke Pontianak dan sekali gus dilantik sebagai Mufti Pontianak ialah Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi.
Karyanya sewaktu berada di Pontianak, yang judulnya diberi oleh Mufti Haji Iismail bin Abdul Majid a-lKalantani ialah Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa. Kandungannya adalah mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa arab, pada bulan Rejab 1326 H. Diberi gantungan makna Melayu oleh Mufti Haji IIsmail bin 'Abdul Majid al-Kalantani, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 H. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja’far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak.
Dicetak di Mathba’ah Haji Muhammad Said bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said, Basrah Street, No. 49 Singapura.
Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani sewaktu di Mekah adalah termasuk salah seorang murid Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi yang kemudian dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak.
Selain memberi gantungan makna karya gurunya itu, sewaktu di Pontianak Haji Ismail Kelantan juga menulis beberapa karya di antaranya adalah Risalah Pada Bicara Jumaat dan sembahyang Zuhur Mu’adah, tanpa dinyatakan tarikh. Tarikh salinan 2 Rabiulawal 1345 H.
Kandungannya bahasan mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang zuhur atau mu’adah. Manuskrip di atas adalah merupakan salinan muridnya, seorang Kathib Peniti Kecil. Manuskrip diperolehi di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M.
Oleh kerana manuskrip ini adalah karya ulama yang berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, maka manuskrip ini adalah dinilai sangat penting.
Selain Saiyid Abdullah az-Zawawi, salah seorang anak Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani juga pernah tinggal di Pontianak. Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani ialah seorang ulama besar Mekah yang sangat terkenal. Beliau inilah yang mensyarah kitab Tuhfatul Muhtaj karangan Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami.
Ulama tersebut sangat terkenal di kalangan Mazhab Syafie di seluruh dunia Islam. Anak beliau ialah Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani, diambil oleh Sultan Sambas dan Sultan Pontianak untuk berkhidmat di kedua-dua kerajaan itu.
Selanjutnya dijumpai lembaran-lembaran surat mengenai tersebut. Di antaranya dari Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani kepada Saiyidi asy-Syarif Qasim ibnu al-Marhum Saiyidi asy-Syarif Hasan bertarikh 23 Jamadilakhir 1310 H.
Kandungan ringkas merupakan laporan pelbagai peristiwa di Pontianak dan Sambas. Dimulai laporan dengan pelbagai peristiwa kesempitan dan kesusahan yang dialami oleh penulis surat. Walau bagaimanapun, beliau selalu mendapat pertolongan.
Dilanjutkan dengan peristiwa di Sambas, bahawa dari Mekah datang seorang Arab bernama Sheikh Muhammad ‘Amudi. Beliau ialah seorang tukang gambus yang terkenal. Terjadi peristiwa beliau tidak dibenarkan tinggal di Sambas, namun penulis surat telah memberi pertolongan menemui Pangeran Bendahara Sambas, akhirnya dia dibenarkan tinggal di Sambas dan dibenarkan pula membuat siri-siri pertunjukan kesenian itu.
Dinyatakan juga bahawa penulis surat ingin meninggalkan Sambas untuk pindah mengajar di kampung Melayu Pontianak. Dilaporkan juga bahawa Sultan Sambas akan menemui Residen di Pontianak kerana akan memindahkan pusat pemerintahan ke arah sungai besar agak ke Kuala Sungai Sambas.
Sultan Sambas bermaksud negeri Sambas menjadi ramai, bahawa dua Sultan Sambas telah membawa dari Eropah fabrik tupu, fabrik kisaran padi dan lain-lain. Di dalam surat ini terdapat kalimat, ditegaskan, “Seboleh-boleh mahu tetap di Pontianak sahaja, biarlah mati di Pontianak di antara cucu Rasulullah jangan mati di Sambas di antara orang Dayak”.
Dalam sepucuk surat tarikh 30 Zulhijjah 1324 H, dilaporkan bahawa salah satu upacara perkahwinan di istana Sultan Pontianak di Balai Cermin yang dihadiri oleh beberapa orang pembesar yang terdiri daripada: Saiyidi Mufti, sekalian Pangeran Bendahara, Saiyidi Ismail, Pangeran Temenggung, Pangeran Jaya, Pangeran Suma, Pangeran Cakra, Pangeran Jaya, jemputan-jemputan kenamaan dan rakyat jelata.
Perkahwinan yang dilakukan adalah salah seorang kerabat Diraja dengan Fatimah, iaitu anak seorang ulama besar bernama Sheikh Mahmud Daghistani. Dalam surat diceritakan adat istiadat baik sebelum mahu pun sesudah perkahwinan secara sempurna dan terperinci.

Thursday, March 27, 2008

ULAMA-ULAMA PONTIANAK DAN KARYA MEREKA (bhg.2)

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Sebelum ini telah dibicarakan secara ringkas mengenai ulama-ulama yang berasal dari Kalimantan Selatan iaitu Banjar, dan disentuh juga sebahagian ulama yang berasal dari Pontianak.
Pontianak merupakan ibu negeri bagi Kalimantan Barat (Indonesia) dan terdapat banyak Kabupaten (daerah) di dalamnya yang juga banyak melahirkan ulama dan tokoh yang akan dibicarakan. Antara daerah-daerah yang dimaksudkan adalah Ketapang, Mempawah, Sambas, Sanggau dan Sintang.
Namun, artikel ini masih membicarakan kesinambungan daripada ulama dan tokoh yang berasal dari Pontianak serta pengkaryaan mereka. Antaranya adalah seperti berikut:-
Pangeran As-Saiyid As-Syarif Abdur Rahman Bin Saiyid Yusuf Al-Qadri
Tokoh istana Kerajaan Pontianak ini menghasilkan sebuah karangan yang diberi judul Catatan Pangeran Abdur Rahman Bin Sulthan Yusuf Al-Qadri. Diselesaikan pada 9 Rejab 1295H.
Kandungan ringkas merupakan pelbagai peristiwa sewaktu Sultan Syarif Yusuf Al-Qadri membina Maqam Batu Layang, iaitulah makam Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri (pendiri Kerajaan Pontianak) dan para kerabat baginda.
Haji Ismail Bin Haji Musthafa Pontianak
Riwayat hidup Haji Ismail bin Haji Musthafa belum diketahui dengan jelas. Namun karya beliau yang telah ditemui ada dua iaitu:
1. Ilmu al-Hikmah wa at-Thib atau Hikmah dan Perubatan. Judul sebenar tidak diketahui, mulai disalin dari buku Haji Musthafa Bin Haji Mahmud pada malam Selasa, di Kampung Tambelan, 9 Rejab 1298H, dan diselesaikan pada 19 Rejab 1302H.
Kandungannya membicarakan ilmu hikmah dan pelbagai jenis perubatan dalam bentuk wakaf, doa, fadilat ayat, ilmu astronomi, jampi-jampi Melayu, tumbuh-tumbuhan, organ binatang dan lain-lain.
Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).
2. Ilmu Perubatan Melayu, diselesaikan pada hari Rabu, bulan Zulhijjah 1325H. Kandungan membicarakan perubatan yang bersumberkan tumbuh-tumbuhan di alam Melayu sendiri. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).
Sultan Syarif Hamid bin Syarif Utsman al-Qadri Pontianak
Sultan kerajaan Pontianak yang menghasilkan karangan selain Syarif Utsman al-Qadri ialah Sultan Syarif Hamid bin Syarif Utsman al-Qadri. Di antara karya baginda yang telah ditemui ialah Syair Ibadat. Tercatat selesai penulisan, “Tamat hazal kitab Allah s.w.t, Syair Ibadat pada yaum al-Ahad, jam pukul delapan malam betul, kepada tiga puluh hari bulan, tanpa dinyatakan tahun”. Kandungannya membicarakan nasihat dan pelajaran agama Islam. Manuskrip diperoleh di Kampung Bugis, Pontianak di persekitaran istana Qadriyah/Istana Sultan Pontianak.
Haji Daeng Mangemba Abdullah Bin Sulaiman Ahmad Muhammad Sunur Kampung Bugis
Walaupun selama ini cukup popular mengenai peristiwa anak Raja Bugis lima bersaudara termuat dalam Salasilah Bugis dan Melayu oleh Raja Ali Haji, namun masih terdapat karya-karya lain yang membicarakan perkara itu.
Di antaranya termasuklah karya yang berjudul Sejarah Lima Orang Upu Bersaudara Menyerang Riau oleh Haji Daeng Mangemba Abdullah, seorang Bugis dilahirkan di Pontianak.
Kandungan karya ini menceritakan tentang lima putera Bugis berasal dari Luwuk membantu Raja Sulaiman yang berperang melawan Raja Kecil Siak. Kemudian terjadi jalinan perkahwinan mereka di negeri-negeri Melayu dan Aceh.
Manuskrip yang ditemui tidak terdapat tahun mulai atau pun selesai penulisan. Manuskrip diperolehi di Pontianak, pada 29 Muharam 1423H/12 April 2002M.
Haji Abdus Shamad Bin Encik Harun
Nama lengkap ialah Haji Abdus Shamad bin Encik Harun bin Malim Bungsu. Ibunya bernama Ruqaiyah binti Haji Abdul Qadir bin Haji Abdul Ghani. Tokoh ini adalah abang kepada Muhammad Umar bin Encik Harun. Lahir di Kampung Tambelan, Pontianak, malam Selasa pukul 12, pada 5 Syawal 1264H. Wafat hari Selasa, pukul 7 pagi, pada 4 Syawal 1343H, dalam usia 79 tahun.
Karyanya yang telah ditemui ialah Rumus Hisab dan Jurnal Pelayaran, diselesaikan tahun 1316H. Kandungan merupakan rumus hisab atau perkiraan barangan yang semuanya menggunakan kod tertentu. Selain itu juga dibicarakan Perkara Jurnal Pelayaran Dari Kuala Pontianak Pergi Di Tanah Jawa Dan Serta Pergi Di Kutaringin Pergi Di Banjarmasin.
Manuskrip tersebut diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).
Sheikh Husein Bin Sulaiman Al-Jawi Al-Funtiani
Sesudah Sheikh Utsman bin Syihabudin Al-Funtiani ulama Pontianak yang namanya juga dikenal di seluruh Nusantara ialah Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani. Ada tiga karangannya pernah beredar dalam pasaran kitab di Nusantara.
Syeikh Husein bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani meninggal dunia di Surabaya sewaktu akan menziarahi salah seorang gurunya di Pulau Madura. Barangkali guru yang dimaksudkan ialah Sheikh Khalil al-Bankalani. Tiga judul karangan Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani yang tersebar di Nusantara ialah:
1. Babul Jum’ah , diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1316H di Belitung. Kandungan membicarakan hukum Jumaat. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317H. Selain cetakan ini sentiasa dicetak pada bahagian tepi karya beliau Tuhfatur Raghibin.
2. Tuhfatur Raghibin fi Taqlidil Qauli bi Shalatil Jum’ati bi Dunil Arba’in, diselesaikan pada 27 Syawal 1319H. Kandungan membicarakan hukum Jumaat. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada 1319H.
Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan di antaranya Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah al-Uthmaniyah, Mekah, pada akhir Muharam 1332H. Cetakan ini ditashih oleh Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani. Terdapat juga edisi cetakan Mathba’ah at-Taqaddum al-‘Ilmiyah, Mesir, Syawal 1348. Cetakan ini ditashih oleh Haji Abdullah bin Ibrahim al-kadi (Kedah).
3. Nuzhatut Tharaf fi Auzani ‘Ilmis Sharfi, diselesaikan pada 6 Syawal 1321H di Mekah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf. Cetakan pertama di Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada 16 Safar 1322H. Dicetak atas zimmah Sheikh Muhammad Majid bin Muhammad Shalih al-Kurdi al-Makki.
Mengenai Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani ini agak ringkas dapat diketahui daripada tulisan cucu murid beliau, bernama Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani dalam karyanya berjudul Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim.
Pada halaman 26 terdapat catatan, “Adalah tarhim yang dianjurkan oleh datuk guru kami al-Allamah Husein Pontianak seperti yang ditulis akan datang. Adalah Tok Guru Husein bin Sulaiman ini satu masa dengan guru kami Sheikh Mukhtar bin ‘Atharid al-Batawi al-Bughri, dan guru kami al-Allamah Utsman Sarawak, dan guru kami asy-Sheikh Abdul Qadir Mandailing, dan asy-Sheikh Ahmad Khathib Minkabau.
Husein Sulaiman ini hafiz al-Quran , cantik parasnya, al-amil ash-shalih. Ia mengambil ilmu daripada ulama Mekah Muusyarrafah, seperti Husein al-Habsyi dan lain-lain. Aku tidak tahu ahli Pontianak yang lebih alim daripadanya. Berkata guru kami asy-Sheikh Abdul Qadir Mandailing, “Kalau Husein bin Sulaiman tidak selalu turun ke Jawi nescaya boleh ia mengajar di Masjid al-Haram di waktu Daulah al-Uthmaniyah itu, Asy-Sheikh Abdul Qadir berkata bagiku”.
Abdul Aziz bin Muhammad Nur al-Funtiani
Di antara sekian ramai ulama besar Pontianak termasuk dalam senarai ialah Abdul Aziz bin Muhammad Nur al-Funtiani. Beliau ini termasuk salah seorang Mursyid di dalam Tarekat Naqsyabandiyah, tinggal di Kampung Kemboja, Pontianak.
Selain giat mengajar masyarakat tentang beberapa jenis ilmu mengenai keislaman, beliau telah menghasilkan beberapa buah karangan. Di antaranya yang telah ditemui ialah:
1. Risalah Kitabish Shalah, diselesaikan pada bulan Zulhijjah 1316H di Pontianak. Kandungan pelajaran sembahyang untuk peringkat kanak-kanak atau peringkat permulaan belajar. Dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, pada 6 safar 1317H, dengan huruf batu (litografi).
2. Isnadul Ghulam fi Bayanil Imani wal Islam atau dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya Persandaran Budak-budak Yang Baharu Belajar Pada Menyatakan Iman Dan Islam, diselesaikan pada 12 Jamadilawal 1325H di Pontianak. Kandungan membicarakan ilmu fardu ain mengenai akidah dan pengetahuan sembahyang.
Dicetak di Tempat Haji Muhammad Amin bin Abdullah, Kampung Gelam Singapura, pada 1325H. Dicetak dengan huruf batu (litografi).
Zain Pul Bin Abdur Rahman Al-Qadri
Beliau ini termasuk tokoh dalam lingkungan Istana Kerajaan Pontianak. Karya yang telah ditemui hanya sebuah iaitu Ilmu Hikmah, tercatat pada halaman depan, “Sanah 1327H, Selasa 4 Muharam, tahun Dal, awal yang punya ini Zain Pul bin Abdur Rahman al-Qadri”.
Terdapat tandatangan seni yang indah. Pada halaman yang lain dinyatakan sebagai berikut, “Sanah 1328H, hari Khamis kepada sanah 15 Muharam, yang punya ini tulisan Zain Pul bin Abdur Rahman al-Qadri, Kampung Melayu Pontianak adanya”. Terdapat juga tandatangan seni yang indah.
Kandungan membicarakan beberapa amalan untuk mendatangkan rezeki. Di antara amalan terdapat doa yang berasal dari Sheikh Abdul Mannan Kadi Pontianak. Judul tersebut masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kerajaan Pontianak).
Abdul Wahhab Bin Haji Abdur Rahman
Nama lengkap Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman bin Abdul Jeragan bin Nakhoda Abdul Mannan bin Nakhoda Ahmad bin Abdullah (Dato’ Bendahara). Tokoh ini lahir di Kampung Tambelan, Pontianak pukul 2 pagi Jumaat, 2 safar 1302H.
Ibunya bernama Zainab binti Encik Harun. Sepanjang hayatnya telah menghasilkan banyak karya. Antara yang telah ditemui ialah:
1. Ilmu Binaan, judul sebenar tidak diketahui, diselesaikan pada 15 Ramadan 1333H/28 Julai 1915M sampai 1921 M. Kandungannya membicarakan ilmu binaan, cara-cara membuat rumah lengkap dengan jenis-jenis atau nama-nama ukuran yang digunakan. Juga terdapat beberapa catatan lainnya.
Pada halaman depan dicatatkan, “1333-1915. Pontianak tanggal 15 Ramadan bersama-sama bulan Julai. Yang empunya ini, hamba Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman Tambelan”. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kerajaan Pontianak).
2. Keturunan Minangkabau, catatan selesai penulisan terdapat pada halaman depan, “Pontianak tanggal kepada 26 Muharam 1345 waktu itulah sahaya Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman habis menulis ini surat salasilah keturunan tua-tua dari asal dulu-dulu. Ada juga yang ditambah-tambah yang setahunya menyalin dalam buku nenda Haji Sulaiman bin Abdul Mannan adanya”.
Catatan dilengkapi dengan tandatangan yang dinyatakan, “ila Pontianak Kampung Tambelan, tandatangan, tarikh 6-8-1926”. Kandungan membicarakan jalur keturunan pembesar yang berasal dari Minangkabau yang menjadi raja di beberapa tempat di antaranya ialah: Johor, Pontianak, Dato’ Kaya Tambelan, Dato’ Kaya Serasan, Pembesar di Campa/Kemboja dan lain-lain. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperolehi di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).
3. Ilmu Tauhid, diselesaikan pada 3 Zulhijjah 1348 H. Kandungan membicarakan akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Manuskrip atau tulisan tangan asli Abdul Wahhab bin Abdur Rahman, Kampung Tambelan Pontianak.
4. Catatan Peristiwa, diselesaikan pada malam Khamis, jam 8.00, 12 Rabiulakhir 1358 H. Kandungan merupakan catatan tahun lahir, wafat dan pelbagai peristiwa lingkungan keluarga besar Abdul Wahhab bin Abdur Rahman dari tahun 1225H hingga tahun 1358H.
Masih dalam bentuk manuskrip yang diperolehi di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).


Thursday, March 20, 2008

MENGENALI PELBAGAI KARYA ULAMA BORNEO

Koleksi Tulisan: ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Ulama Nusantara

PULAU Borneo dan Kalimantan yang demikian besar melahirkan ramai ulama yang terkenal. Mereka juga telah menghasilkan karya yang menjadi bahan pengajian, bacaan dan rujukan, baik khusus untuk umat Islam Borneo dan Kalimantan mahu pun umat Islam di Nusantara.
Di antara ulama yang berasal dari Borneo/Kalimantan yang paling terkenal ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah (lahir 1122 H/1710 M, wafat 1227 H/1812 M) berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar (lahir 1217 H,1802 M, wafat 1289 H,1872 M) berasal dari Sambas, Kalimantan Barat dan Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab (lahir pada 1281 H,1864 M, wafat 1339 H,1921 M) berasal dari Sarawak dan lain-lainnya.
Dalam artikel ini, penulis hanya akan membicarakan beberapa ulama yang berasal dari Pulau Borneo dan Kalimantan yang belum lagi diperkenalkan. Adapun penulis hanya menyentuh secara ringkas dan digabungkan sekali kerana maklumat yang ditemui sedikit berbanding ulama-ulama yang pernah penulis bicarakan.
Mengenai ulama Borneo dan Kalimantan dan karya-karya mereka, ringkasannya adalah seperti berikut:
Ulama Banjar dan karya mereka
Antara ulama-ulama berasal dari Banjar yang pernah penulis bicarakan adalah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang terkenal dengan penghasilan karya-karya yang banyak. Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari penyusun kitab sufi terkenal iaitu Ad-Durrun Nafis, Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dan Tuan Husein Kedah al-Banjari.
Adapun mengenai ulama-ulama Banjar dan pengkaryaan mereka yang selain tersebut adalah:
Muhammad Ali bin Hamim Al-Banjari Al-Funtiani.
Riwayat hidup Muhammad Ali bin Hamim al-Banjari al-Funtiani belum diketahui. Namun diketahui hasil karyanya berjudul Risalah Mufidah lis Shalah wal ibadah diselesaikan pada hari Jumaat 14 Zulkaedah 1317 H.
Kandungannya membicarakan pelbagai aspek mengenai sembahyang dan ibadat yang ada hubungan dengannya. Cetakan huruf batu (litografi) Haji Muhammad Amin, Kampung Melayu, No. 15 Singapura, 14 Muharam 1318 H. Belum dijumpai manuskrip mahu pun edisi cetakan selainnya.
Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin Al-Banjari
Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang menghasilkan karya pula ialah Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin. Beliau ini menjalankan aktiviti di Pontianak. Karya-karya beliau adalah:
lTajwidul Quran, diselesaikan hari Isnin, 8 Ramadan 1347 H di Pontianak. Kandungan merupakan pelajaran tajwid untuk pedoman membaca seluruh surah al-Quran. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura pada 29 Jamadilawal 1348 H/1929 M.
lTajwidul Fatihah tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran tajwid surah al-Fatihah sahaja. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348 H/1929 M.
lSabilul Muhtadin Jalan Iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran akidah Ahli Sunah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba’ah As-Saiyid Utsman, Kramat, 30 B. Betawi.
lSheikh Abdul Ghani Al-Banjari, Rad Agama Banjar Amuntai
Ulama di atas belum diketahui adakah termasuk keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ataupun bukan. Karya beliau yang telah ditemui hanya sebuah iaitu Risalah Luqthah Hasanah Bagi Hukum Khalifah, diselesaikan pada Rejab 1332 H.
Kandungannya soal jawab tentang masalah Jumaat. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura. Diberi kata pujian oleh Abdur Rahman bin Muhammad Arif Halabai al-Banjari, Haji Ja’far Khathib Banjar Halabai dan Haji Abdur Manaf bin Telawang Banjar Halabai.
Haji Abdur Qadir bin Ahmad Al-Banjari
Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari adalah ulama yang berasal dari Banjar yang menjalankan aktiviti penyebaran Islamnya di Mempawah Kalimantan Barat. Meninggal dunia dan dikebumikan di Sungai Bakau Kecil, Darat.
Karya beliau yang telah ditemui juga hanya sebuah ialah Kifayatul Mubtadi fi ‘Ilmit Tauhid. Diselesaikan hari Isnin, 14 Zulkaedah 1353 H. Kandungan membicarakan tauhid dalam bentuk soal-jawab. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Nasawi, 14 Ulu Palembang.
Haji Abdur Rasyid al-Banjari
Di antara kitab Melayu/Arab yang paling popular dan banyak diajarkan orang ialah Kitab Perukunan Sembahyang Besar, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan kitab tersebut merupakan pengetahuan fardu ain yang paling lengkap.
Selain itu, dilengkapi juga dengan berbagai-bagai amalan yang menjadikan khabar kegembiraan untuk dunia dan akhirat. Terdapat juga tentang khutbah Jumaat dan khutbah nikah.
Tercatat pada semua edisi cetakan, “Diambil daripada karangan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar…..” Selain dalam Bahasa Melayu, kitab ini juga terdapat terjemahan dalam bahasa Bugis, Sunda dan Jawa. Dicetak oleh Mathba’ah al-Aminiyah, nombor 12 dan 14, Baghdad Street, Singapura, bertarikh 23 Zulhijjah 1352 H/ 9 Mac 1935 M, dicetak dengan huruf litograf.
Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan masih dicetak serta banyak diajarkan di seluruh dunia Melayu hingga kini. Walaupun karyanya sangat terkenal, namun riwayat hidup penyusunnya masih gagal dikesan.
Haji Ahmad bin Haji Abdus Shamad al-Banjari
Tokoh ini juga tidak dapat dikesan sejarah hidupnya, hanya dijumpai sebuah karya berjudul Nafaisul Aurad, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisannya.
Kandungan merupakan kumpulan amalan-amalan pilihan yang dipetik dari kitab-kitab yang muktamad sebahagiannya berasal daripada Rasulullah s.a.w. Dicetak oleh Percetakan an-Nashar, Pontianak, Indonesia.
Ulama-ulama Pontianak dan karya mereka
Apabila kita membicarakan ulama Pontianak maka dapat dibahagi dua. Pertama, ulama yang berasal dari Pontianak atau Kalimantan Barat sendiri dan kedua ulama yang datang dari luar.
Disebabkan pendiri Kerajaan Pontianak berasal dari Arab keturunan Rasulullah s.a.w marga ‘Al-Qadri’, maka beberapa ulama yang pernah berpengaruh di Mekah atau tempat lain di tanah Arab pernah tinggal dan mendapat kedudukan tinggi dan terhormat di Kerajaan Pontianak.
Di antara mereka; Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (lahir 1266 H/1850 M, wafat 1343 H/1924 M), sewaktu di Mekah adalah Mufti Mazhab Syafie. Umat Islam Mazhab Syafie seluruh dunia, bahkan golongan mazhab lain pun pada zamannya tahu mengenai ulama besar ini.
Setelah beliau berhijrah ke Riau-Lingga, seharusnya mendapat kedudukan tertinggi dalam bidang agama di kerajaan itu, namun Sultan Pontianak tidak membiarkan ulama besar itu tinggal di Riau-Lingga. Seboleh-bolehnya atau dengan apa cara sekalipun Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi mesti diberi tempat yang paling istimewa di Kerajaan Pontianak.
Maka Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi tinggal di Pontianak dalam masa beberapa tahun. Dalam satu buku catatan yang dijumpai di Pontianak ada dinyatakan bahawa ayahnya iaitu Saiyid Muhammad Shalih bin Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi pada 1295H pernah datang ke Pontianak mengajar beberapa ilmu dan membaiah Tarekat Naqsyabandiyah.
Dalam artikel ini penulis dahulukan dengan memperkenalkan ulama dan karya-karya mereka yang berasal dari Pontianak seterusnya diperkenalkan pula ulama-ulama dari luar.
Haji Muhammad Qasim bin Nakhoda Haji Ahmad bin Abdullah (Dato’ Senara)
Di antara ulama yang berasal dari Pontianak yang menghasilkan karya ialah Haji Muhammad Qasim. Nama lengkapnya, Haji Muhammad Qasim bin Nakhoda Haji Ahmad bin Abdullah (Dato’ Senara) bin Ali (Dato Bendahara di Kuantan) bin Tuan Kadi Ahmad.
Wafat dalam usia lebih dari 100 tahun, hari Rabu, pukul 9.30 pagi, pada Rabiulawal 1341 H, di Kuala Maras, Jemaja, Pulau Tujuh (Kepulauan Riau). Nampaknya hasil karya beliau dalam tahun 1238 H adalah mendahului karangan ulama-ulama Pontianak yang lainnya.
Karya yang dimaksudkan ialah berjudul Ushulud Din fi Sabilil I’tiqad, diselesaikan pada 2 Syawal 1238 H. Kandungan membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang kedua Mathba’ah Al-Ikhwan, Singapura, awal Rabiulawal 1337H.
Jika kita perhatikan jarak waktu dari karya di atas diselesaikan (1238 H) hingga beliau wafat 1341H ialah 103 tahun. Sekiranya sewaktu menulis itu beliau berusia 20 tahun, maka ini bererti beliau wafat dalam usia 123 tahun.
Paduka Seri Sultan As-Saiyid Utsman Ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan As-Saiyid Asy-Syarif Abdur Rahman Ibni Al-Marhum Al-Habib Husein Al-Qadri
Nama yang tersebut di atas adalah seorang Sultan di Kerajaan Pontianak. Baginda menterjemah karya berjudul Tuhfah al-Ikhwan fi Fadhli ar-Rajab wa asy Sya’ban wa ar-Ramadan, diselesaikan pada hari Isnin, 16 Rabiulawal 1244 H.
Nama pengarang asal ialah Syeikh Ahmad bin Majjazi al-Qisyti asy-Syafi Yahya. Namun yang dijumpai sekarang adalah merupakan salinan Ali bin Khathib Jailani ibni al-Imam Muhammad bin Abdullah, putera Siak Seri Inderapura.
Kandungan pada halaman depan terdapat mohor/cop Sultan Saiyid Utsmani ibni Saiyid Abdur Rahman al-Qadri. Pada halaman akhir tercatat, “Pada hijrah an-Nabi s.a.w. sanah 1244 kepada enam likur hari bulan Rabiulawal, hari Isnin, pukul 10, ketika itu khatam al-kitab Tuhfah al-Ikhwan Paduka Seri Sultan as-Saiyid asy-Syarif Abdur Rahman al-Marhum al-Habib Husein al-Qadri di dalam negeri Pontianak, dalam Kampung Saiyid asy-Syarsyaikh al-Ba’abud adanya. Yang menyurat al-faqir ialah Taala, iaitu Ali bin Khathib Jailani ibni al-Imam Muhammad bin Abdullah al-walad al-bilad Siak Seri Inderapura”.
Kandungan dalaman secara keseluruhan mengenai peristiwa hari kiamat dan mengenai akhirat. Manuskrip diperoleh di Kampung Dalam Bugis, Pontianak di persekitaran Istana Qadhariyah/Istana Sultan Pontianak.
Saiyid Hasan Bin Saiyid Abdullah Al-Aidrus, Kampung Tengah, Pontianak
Tokoh di atas menghasilkan karya berjudul Tanaman Padi, diselesaikan pada 30 Rabiulakhir 1252 H. Kandungan menceritakan asal usul kejadian padi, dan lain-lain.
Syarif Ahmad Bin Saiyid Hasan Al-Haddad Pontianak
Beliau pula menghasilkan karya berjudul Risalatul Fiqh. Judul sebenar belum diketahui kerana tidak terdapat maklumat, diselesaikan pada 13 Jamadilawal 1290 H.
Kandungan membicarakan fikah serta gantungan maknanya dalam bahasa Melayu. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadhriyah (Istana Kesultanan Pontianak).
Haji Muhammad Arif Bin Encik Muhammad Thahir Pontianak
Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Arif bin Encik Muhammad Thahir bin Malim Sutan bin Jupa Suara bin Dato’ Bendahara bin Tuan Kadi Ahmad. Ibunya, Zainab binti Abdul Mannan melahirkan tokoh ini di Kampung Tambelan, Pontianak, pada Rabu, pukul 4 petang 29 Rabiulakhir 1279 H. Wafat pada Ahad, pukul 1 tengah hari pada 6 Zulkaedah 1353 H di Kampung Tambelan, Pontianak.
Di antara karya tokoh ini yang telah ditemui adalah:
lMatnul Ajrumiyah, diselesaikan di Semarang, 29 Muharam 1291 H. Kandungan membicarakan nahwu Arab yang terkenal diberi gantungan makna Melayu pada setiap perkataan Arabnya. Merupakan terjemahan karangan Sheikh Shonhaji. Manuskrip diperoleh manuskrip di Pontianak, Kalimantan Barat bekas dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak. Tarikh perolehan pada Jumaat, 11 Rabiulawal 1423 H/24 Mei 2002 M.
lSebuah buku catatan yang terkandung di dalamnya pertama sekali asal usul datuk neneknya, ialah Dato’ Bendahara. Dilanjutkan dengan peristiwa mulai berdiri Kerajaan Pontianak dan tahun-tahun terjadi peperangan antara Kerajaan Pontianak dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya.
Tidak kalah juga pentingnya catatan tahun lahir, wafat dan peristiwa yang terjadi mengenai keluarga besar penulisnya (Haji Muhammad Arif bin Encik Muhammad Thahir). Catatan ini diperlengkap dengan pelbagai amalan untuk kepentingan dunia dan akhirat.
Adapun mengenai ulama-ulama yang berasal dari Pontianak ini masih ramai yang perlu diperkenalkan. Sama ada mengenai riwayat hidup mahu pun karya-karya mereka. Antaranya ialah Pangeran as-Saiyid as-Syarif Abdur Rahman bin Saiyid Yusuf al-Qadri iaitu tokoh istana Kerajaan Pontianak, Haji Ismail bin haji Mushthafa Pontianak, Sultan Kerajaan Pontianak iaitu Sultan Syarif Hamid bin Syarif Utsman al-Qadri Pontianak, Sheikh Husein bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani dan ramai lagi.
Oleh itu, kesinambungan daripada tersebut akan dibicarakan lagi dalam artikel seterusnya.

Thursday, March 13, 2008

PANDANGAN SHEIKH DAUD AL-FATHANI

Mencakupi Ilmu Dunia dan Akhirat
Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

KETOKOHAN Sheikh Daud al-Fathani dalam bidang penulisan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Ini dapat dilihat melalui karya-karya peninggalan beliau dalam pelbagai bidang, seperti mana yang telah dibicarakan sebelum ini.
Malahan melalui karya-karya beliaulah, maka dapat dilihat sejauh mana pandangan-pandangan beliau dalam pelbagai bidang tersebut. Pandangan-pandangan beliau tersebut dibahagikan kepada beberapa bidang-bidang yang khusus, di antaranya dari segi fikah, usuluddin, tasauf, hadis dan politik.
Pandangan tentang fikah
Ketokohan Sheikh Daud al-Fathani di bidang penulisan fikah diakui oleh semua lapisan ulama di alam Melayu bahkan oleh ulama-ulama Arab sendiri.
Dalam majalah Dian halaman 103, November 1977, Auni Haji Abdullah menulis: “Di abad ke 19 Masehi pula muncul seorang ahli di bidang fikah dan penulisan yang giat dan produktif sekali, iaitu Sheikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani.
“Beliau salah seorang ulama fikah Syafie yang berpengaruh besar kerana kitabnya Minhajul Abidin. Beliau juga menghasilkan dua karya fikah yang penting dalam perkembangan fikah di rantau ini, iaitu Furu’ul Masail dan Bughyatuth Thullab. Sebenarnya karya fikah Sheikh Daud al-Fathani bukan hanya dua namun ada lagi yang tebal antara lain Hidayatul Muta’allim (1244 H), Fathul Mannan (1249 H), Jawahirus Saniyah (1252 H) ………………"
Dalam kitab Hidayatul Muta’allim, Sheikh Daud al-Fathani memulakan mukadimah perkenalannya dengan hadis 40 menurut susunan beliau. Beliau menulis beberapa hadis yang ada hubungan dengan fikah, antara lain katanya: “Ketahui olehmu bahawasanya menunjukkan beberapa hadis ini supaya memberi ketahui akan kamu bahawasanya orang yang menghafal beberapa masail fiqhiyah yang wajib kita amalkan itu pada makna ia menghafaz hadis jua hasil pahala mengajar dan belajar kerana bahawasanya ialah maksud daripada hafaz hadis.”
Sebagaimana diketahui walaupun Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang tokoh fikah dalam semua mazhab, namun beliau sendiri adalah mengikut mazhab Syafie. Dalam beberapa kitabnya serba sedikit beliau sentuh riwayat hidup Imam Syafie terutama pada permulaan kitab Bughyatuth Thullab.
Pandangan tentang usuluddin
Sebagaimana pengetahuan fikah dan penulisan kitabnya, Sheikh Daud al-Fathani memegang peranan terpenting di dalam ilmu usuluddin juga. Tentang ilmu usuluddin dapat dibuktikan dengan peninggalan kitab-kitab besar dan tebal dengan ketinggian nilainya.
Malahan sehingga kini belum ditemui kitab usuluddin yang dikarang oleh ulama di Asia Tenggara melebihi karya-karya Sheikh Daud al-Fathani seumpama Warduz Zawahir. Kitab yang paling banyak tersebar di kebanyakan kedai kitab juga kitab yang penting ialah Ad Durrust Stamin (1232 H).
Selain karya-karya tertentu membicarakan masalah teologi seperti tersebut. Hampir semua kitab fikah karya beliau memuatkan tentang usuluddin tersebut pada permulaan kitab.
Di permulaan kajian, beliau membuat risalah-risalah kecil dalam memperkenalkan ilmu usuluddin. Memang banyak perkara seni dan indah yang dapat dipetik daripada pelbagai kitabnya, di samping bersifat terjemahan yang kadangkala terdapat juga perkara yang sukar diketemukan dalam kitab berbahasa Arab.
Dalam karyanya Jawahirus Saniyah, Sheikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat.
Menurut beliau juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w., kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir).
Kata beliau: “Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat lontarkanlah ia daripada dirimu.
“Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.”
Pandangan beliau yang tersebut adalah dipetik dari kitab karyanya Jawahirus Saniyah di halaman 34- 35.
Pandangan tentang tasauf
Hampir setiap kitab fikah karya Shyeikh Daud al-Fathani di bahagian akhirnya dicantumkan perkara tasauf. Kitab tasauf yang tebal dan luas perbahasannya adalah Jam’ul Fawaid.
Daripada pelbagai kitabnya yang telah dikumpulkan, nampak jelas bahawa Sheikh Daud al-Fathani bukan sahaja sebagai seorang tokoh fikah dan usuluddin, tetapi boleh diklasifikasikan ke dalam tokoh tasauf yang ulung, juga seorang tokoh tasauf yang mengikuti haluan sunah seumpama halnya dengan Imam Ghazali.
Sungguhpun demikian, tidak dapat dikatakan bahawa Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang yang tidak sehaluan dengan al-Hallaj, yang mana jika ulama Asia Tenggara iaitu Sheikh Hamzah al-Fanshuri dan Sheikh Syamsuddin as-Sumathrani.
Hal ini nyata benar pembelaan, jika diteliti karyanya berjudul Manhalush Shafi. Kitab Manhalush Shafi iaitu satu kitab di antara karya beliau yang memuatkan istilah-istilah percakapan orang-orang sufi mengikuti aliran tasauf Syeikh Muhyiddin Ibnu Arabi, al-Hallaj dan lain-lain.
Sungguhpun nyata bahawa di dalam kitab Manhalush Shafi adalah satu keterangan yang mendalam dan seakan-akan pembelaan Sheikh Daud al-Fathani terhadap golongan tasauf.
Dalam tahun 1240 H, Sheikh Daud al-Fathani menterjemahkan dua kitab tasauf yang penting dalam dunia Islam, iaitu yang pertama Minhajul ‘Abidin karangan Hujjatul Islam Imam Ghazali dan yang kedua ialah Kanzul Minan karangan Ibnu Madyan.
Kitab Minhajul ‘Abidin terjemahan Sheikh Daud al-Fathani tersebut banyak dikaji di Asia Tenggara, manakala Kanzul Minan dahulunya banyak dikaji oleh masyarakat Melayu di Mekah.
Pada mukadimah terjemahan Minhajul ‘Abidin, beliau melahirkan kecintaannya terhadap tokoh sufi yang terkenal itu sebagaimana kata beliau: “Dan adapun kemudian daripada itu maka inilah terjemah bagi mu’allif r.a. iaitu penghulu kami Imam yang Alim Rabbani dan Arif Samadani ialah Quthbul Wujud yang mempunyai kasyaf dan syuhud yang dimasyhurkan antara ulama alam dengan ‘Hujjatul Islam’.
Bahawa dia tempat mengambil dalil untuk menyampaikan ke negeri ‘Darus Salam’. Dia bernama Abdul Hamid bin Muhammad al-Ghazali Ath-Thusi. Bahawa beliau adalah seorang imam yang sangat besar kemuliaan namanya, karangannya dan lain-lainnya. Dalam ilmu fikah dia adalah asal yang sangat besar, dia pokok sekalian kitab fikah, dialah asal kitab Syeikhaini (dua orang Sheikh): Imam Nawawi dan Imam Rafi’i, yang sangat istimewa ialah Ihya’ Ulumuddin yang menghidupkan hati yang mati…….”
Sebagaimana dengan beraninya Shyeikh Daud al-Fathani mengagungkan Imam Ghazali, demikian juga sikap beliau dengan tokoh tasauf bernama Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani. Walaupun mutakhir ini ramai memandang remeh dan ada yang menyalahkan fahaman Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani itu, bahkan beliau mengakui bahawa Sheikh Sufi tersebut adalah penghulu beliau.
Dalam permulaan terjemahan Kasyful Ghummah Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Dan demikian apa yang disebutkan oleh Arif Billah lagi yang memberi petunjuk kepada jalan Allah yang mempunyai kasyaf dan tahqiq iaitu ‘penghulu kami’ Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani radiallahu anhu.”
Pandangan tentang hadis
Sehingga kini belum ditemui karya Sheikh Daud al-Fathani yang khusus membicarakan tentang hadis. Ini tidak bererti bahawa beliau bukan seorang ahli hadis, akan tetapi mungkin pada zaman beliau perkara ini masih kurang dibincangkan orang kerana pengaruh mempelajari kitab mazhab Syafie di bidang fikah dan fahaman Sheikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi adalah sangat tebal. Sehingga mengikut haluan Mazhab Ahli Sunah wal Jamaah lebih menjamin keselamatan.
Hampir semua kitab karya Sheikh Daud al-Fathani baik dalam fikah, usuluddin dan tasauf jarang-jarang membicarakan sanad dan rawi jika terdapat hadis di dalamnya. Ini kerana bagi beliau cukup memakai istilah ‘hadis’ atau ‘bersabda Nabi s.a.w.’ sahaja.
Kesannya Sheikh Daud al-Fathani adalah juga seorang ahli hadis yang dapat diketahui melalui beberapa tulisan beliau di antaranya dalam Jam’ul Fawaid. Beliau berpendapat bahawa beramal dengan hadis daif bahkan hadis batil sekalipun diberi pahala, apabila dia bersifat fadhailul amal.
Dasar beliau untuk itu ialah perkataan Jabir bin Abdullah r.a., sabda Nabi s.a.w: “Barang siapa sampai kepadanya dari Allah sesuatu daripada kelebihan maka dia mengambilnya serta mengharapkan pahalanya nescaya Allah memberikan yang demikian itu, jikalau tiada yang demikian itu (jika berita itu tidak bersumber daripada Nabi s.a.w.”
Setelah mengemukakan berbagai hadis tentang kelebihan menghafal 40 hadis seperti yang tersebut pada permulaan hadis 40 karangan Imam Nawawi, maka Sheikh Daud al-Fathani menulis dalam Hidayatul Muta'allim: “Ketahuilah olehmu bahawasanya beberapa hadis ini menunjukkan supaya memberitahu kepada anda tentang orang yang menghafal hadis yang fiqhiyah yang wajib kita mengamalkannya. Pada makna menghafal hadis pada hasil pahala dengan mengajar dan mempelajarinya kerana dia termasuk dalam makna hafal hadis.”
Selanjutnya beliau menulis lagi: “ Maka sekarang faqir hendak mendatangkan 40 hadis di dalam risalah ini, mudah-mudahan didapat sempena di dalam karangan beberapa hadis yang menyatakan fadilat orang yang menyampaikan 40 hadis kepada orang yang tiada sampai pengkhabarannya. Tetapi aku pungut daripada beberapa hadis yang disebut oleh al-Arif Billah Ash-Syeikh Abdul Wahhab Sya’rani di dalam kitabnya bernama Kasyful Ghummah an Jami'il Ummah, tetap sunyi daripada menyebutkan sanad-sanadnya sebab berkehendak ikhtiar.”
Salah satu contoh hadis 40 yang ditulis oleh Syeikh Daud al-Fathani adalah berikut: “Sabda Nabi s.a.w.: ertinya: “Tujuh perkara yang mengalir pahala kepada hamba sedang dia di dalam kuburnya sesudah matinya iaitu; orang yang mengajar ilmu pengetahuan, orang yang mengalirkan air sungai, orang yang menggali telaga, orang yang membuat masjid, orang yang meninggalkan pusaka Mushaf, orang yang menanam kurma dan orang yang meninggalkan anak yang meminta pengampunan baginya sesudah matinya.”
Hadis 40 Syeikh Daud al-Fathani yang dimuat dalam Hidayatul Muta‘allim itu pernah disalin dan dikumpulkan oleh seorang muridnya iaitu Muhammad Nuruddin bin Haji Abdul Ghafur al-Fathani. Manuskrip tulisan tangannya menyebut selesai menyurat pada hari Isnin 8 Rejab 1266 H.
Pandangan tentang politik
Mempertahankan Islam dengan erti kata yang benar sehingga tercapainya ‘Darul Islam’ yang menghendaki berlakunya undang-undang Islam yang termaktub dalam al-Quran.
Dalam karya-karya fikahnya, sebagaimana juga ulama-ulama lain yang dapat dibaca melalui perundangan-perundangan Islam termasuk masalah jihad fisabilillah yang nyata bagi orang Islam menggunakan hukum yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. Selagi tidak kembali kepada hukum Allah, sudah pasti keamanan secara hakiki tidak akan terwujud di dunia ini.
Berdasarkan tulisan-tulisan Sheikh Daud al-Fathani melalui kitab-kitab Fiqh yang tebal, dapat dipetik beberapa pelajaran terutama dalam masalah negeri Islam yang dijajah oleh kafir menghendaki perjuangan seluruh umat Islam. Terutama umat Islam dalam negeri itu sendiri dan yang berdekatan dengan negeri tersebut juga.
Dalam persoalan tentang jihad sama ada ia wajib atau sunat, maka Sheikh Daud al-Fathani menjawab bahawa jihad itu adalah fardu ain jika kafir itu datang ke negara Islam.
Fardu ain itu dengan erti kata bahawa kewajipan terhadap semua umat Islam yang ada di negeri itu dan negeri berdekatan dengan negeri Islam yang dikuasai kafir.
Sekiranya ada orang Islam yang ditawan oleh kafir, wajiblah orang Islam lain berusaha melepaskan saudaranya yang terkena musibah itu. Juga berkewajipan atas orang Islam berusaha menolak pencerobohan terhadap perempuan-perempuan Islam.
Dalam Bughyatuth Thullab, Syeikh Daud al-Fathani menulis: “Dan setengah daripadanya perang sabil bagi kuffar yakni wajib Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau naik Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu atau diperbaiki akan kota yang di antranya dan antara negeri mereka itu serta diteguhkan dia dan ditaruhkan senjatanya dan orang yang menunggu padahnya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu.
“Maka hendaklah diperbuat akan salah satu daripada keduanya maka gugur fardu kifayahnya ini jika mereka itu tiada datang kepada negeri kita ini. Maka jika ia datang kepada negeri Islam maka jadilah ‘fardu ain’ atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu hingga perempuan dan sahaya orang.”
Sebagai penutup bahagian ini, disertakan kalimat-kalimat yang mempunyai hubungan dengan perkara yang dibincangkan ini, iaitu tulisan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dalam Fatawal Fathaniyah.
Kata beliau: “Manakala lemah kita mendirikan sesuatu hukum syarak seperti rejamkan zani muhsan dan takut fitnah yang memudaratkan Muslimin yang tiada kuasa kita atas menolakkan nescaya gugur daripada kita wajib mendirikannya pada ketika itu, dan wajib atas sekalian Muslimin bersungguh-sungguh mencari jalan dengan tadbir siasat, belajar dan mengajar anak-anak kita akan segala wasilah bagi mendirikan segala hukum syarak daripada segala ilmu siasat dan ilmu syarak hingga dapat mendirikan dia seperti barang yang nyatanya.”

DAUD AL-FATHANI

Tokoh Tarekat Syathariyah

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Ketokohan Sheikh Daud al-Fathani dalam bidang fiqh diperakui oleh semua ulama di Asia Tenggara yang memahami dan mengkaji sejarah Islam di rantau ini.
Demikian juga ketokohannya dalam bidang usuluddin, tauhid dan ilmu kalam yang kiranya tidak perlu dijelaskan lagi.
Ketokohan beliau dalam bidang tasauf serba ringkas telah disentuh penulis sebelum ini. Juga dibicarakan dengan mendalam dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Tasauf (Jilid 1). Namun begitu, masih belum dianggap lengkap dan sempurna sekiranya tidak dibicarakan ketokohannya dalam orde Tarekat Syathariyah, yang mana adalah salah seorang Sheikh Mursyid Kamil Mukammilnya.
Setahu penulis bahawa di Asia Tenggara tercatat dua orang sahaja ulama tokoh besar orde tarekat ini yang terkenal. Mereka ialah Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Murid Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri bernama Sheikh Burhanuddin Ulakan menyebarkan Tarekat Syathariyah itu ke Pariaman, Minangkabau.
Bahawa pada suatu masa dahulu tarekat ini pernah memegang peranan yang terpenting dalam dakwah Islamiah di Asia Tenggara. Bahkan ia adalah satu orde tarekat yang terbesar pengikutnya di Asia Tenggara sebelum masuknya Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah.
Syathariyah berkembang di Pulau Jawa, yang terbesar pengikutnya di Cerebon, Jawa Barat. Penyebarnya yang terkenal ialah Sheikh Abdul Muhyi Pamijahan, murid Sheikh Abdul Rauf al-Fansuri iaitu Sheikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati, semuanya adalah murid Sheikh Abdur Rahman al-Fansuri.
Di mana sahaja Tarekat Syathariyah dikembangkan di zaman mutakhir iaitu dimulai akhir abad ke 18 hingga ke abad ini, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetap dikenal dan disebut namanya.
Salah seorang muridnya mengenai Tarekat ini seumpama Sheikh Zainuddin Sumbawa. Nama sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih bersemi di hati umat Islam pengikut Tarekat Syathariyah di negeri-negeri di Alam Melayu, bahkan sampai-sampai ke Campa dan Burma. Salasilah tarekat ini di Asia Tenggara ini banyak bersambung dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fahthani.
Daripada Sheikh Daud al-Fathani dikenal pula ulama besar yang berasal dari Patani sebagai khalifah-khalifah Mursyid Tarekat Syathariyah seperti Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mustafa al-Fatani dan lain-lain.
Tata cara berzikir pula yang disalin dari naskhah tulisan tangan Sheikh Daud al-Fathani adalah sebagai berikut:
“Duduk bersila menghadap ke arah kiblat. Kedua tangan diletakkan di atas kedua lutut. Mata dipejamkan. Setelah itu diawali dengan lafaz ‘Laa’ dari bawah susu sebelah kiri, yang terletak hati ‘sanubari’, qasadnya ialah menarikkan pada hati sanubari daripada ‘aghyar dan maa siwallaahi Taala’.
Ditarik terus hingga memanjang bunyi lafaz ‘Laa’ hingga sampai ke bahu sebelah kanan, terus dilemparkan dengan lafaz ‘ilaaha’ dengan meniatkan bahawa melemparkan sekelian yang tersebut ke belakang.
Sesudah itu lalu lafaz ‘illa’ di atas bahunya yang kanan. Terakhir sekali memukulkan lafaz ‘Allah’ dengan sekeras-kerasnya ke dalam hati. Demikianlah zikir pada setiap kalinya, bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Dengan memuji kepada Allah telah talkinkan zikir Syathariyah ini serta dengan baiahnya dan ‘Labsul Khirqati’ dan kaedah yang tersebut itu oleh faqir ilallahi Taala Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani……”.
Sheikh Daud bin Abdullah al- Fatani berpendapat bahawa pimpinan seorang sheikh Mursyid sangat penting, beliau menulis sebagai berikut :
“Ketahuilah! Kadang-kadang seorang Salik yang belajar itu melihat bahawa tiada sesuatu jalan untuk sampai kepada Allah, dia ragu dengan bermacam-macam amalan yang sangat banyak. Kadang-kadang dia tercengang dengan banyak ilmu pengetahuan yang telah dikuasainya. Apabila murid yang Salik itu mempunyai sheikh yang Arif Billah (Ahlil Hakikat), maka hendaklah dia kembali kepada sheikhnya dan berpegang teguh atas petunjuknya”.
Dalam bahagian lain beliau menulis: “Dan dengan benar orang yang berzikir iaitu benar murid serta sheikhnya sampai ia pada Martabat Siddiqiyah, hendaklah ia mengemukakan apa-apa yang terlintas di hatinya dari perkara yang jahat dan yang baik.
Berkata sebahagian orang yang arif: “Tiada syarat sheikh itu mengetahui dan melihat atas batin murid, tetapi sebahagian dari syarat murid ialah bahawa memberitahu kepada sheikhnya sekelian yang terlintas pada hatinya…”.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis selanjutnya: “Bahawa dia (sheikh) adalah penolongnya dari pertolongan Nabi Muhammad s.a.w. Selamanya berhadap ke hadrat Tuhannya, apabila dikerjakan maka limpah pertolongan Ilahiyah daripada Allah pada hati penghulu kita dan dari hati penghulu kita - Nabi Muhammad s.a.w -kepada sekelian hati pada sheikh (Masyaikh), dari satu kepada satu sampai kepada hati yang melakukan zikir. Bahawa yang demikian itu menjadi pertolongan dan pemberian Allah”.
Perlu diketahui oleh setiap penganut tarekat, terutama Tarekat Syathariyah adalah mengenai adabnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani mengatakan bahawa adab zikir itu terbahagi kepada tiga iaitu:
a. Adab sebelum melakukan zikir.
b. Adab ketika berzikir.
c. Adab setelah berzikir.
Keterangan Sheikh Daud yang diringkaskan oleh penulis daripada kitab Dyiaa’ul Murid mengenai adab-adab berzikir adalah sebagai berikut:
a. Adab sebelum melakukan zikir
1. Taubat nasuha, iaitu taubat daripada sesuatu yang tidak memberi faedah kepada agama yang tersalah dari perkataan, perbuatan dan kehendak yang tidak muafakat dengan syarak.
2. Suci badan daripada hadas-hadas besar dan hadas kecil dan kekotoran pada tubuh dan pakaian. Hendaklah mandi dan mengambil air sembahyang serta membersihkan pakaiannya.
3. Mengharumkan pakaian dengan bau-bauan dan menyucikan mulut dengan bersugi (siwak).
4. Dengan niat menegakkan perintah Allah bukan kerana lainnya kerana mengambil faedah dunia dan keinginan hawa nafsu.
5. Membesarkan Allah. Ketika menyebut Allah terasa benar akan kebesaran dan kehebatan-Nya.
b. Adab ketika berzikir
Adapun adab yang dituntut ketika berzikir itu lima belas perkara, iaitu :
1) Hendaklah dia duduk di tempat yang suci seperti duduk dalam sembahyang bagi orang yang mubtadi, duduk bersila bagi orang yang muntahi.
2) Meletakkan kedua telapak tangan di atas kedua lutut.
3) Menghadap ke kiblat kalau dia berzikir seorang diri, jika berjemaah hendaklah membuat lingkaran keliling.
4) Memakai wangi-wangian di tempat duduknya kerana tempat berzikir adalah tidak sunyi daripada Malaikat dan jin yang beriman.
5) Berkekalan ikhlas iaitu semata-mata kerana perintah Allah bukan kerana lainnya.
6) Benar zikirnya pada zahir dan batin hingga bersamaan antara keduanya. Juga benar hati terhadap sheikhnya pada zahir dan batin.
7) Sedapat-dapatnya hendaklah sekelian yang dimakan dan yang dipakai adalah halal.
8) Duduk di tempat yang kelam iaitu antara terang dan gelap.
9) Memejamkan mata.
10) Menghadirkan makna zikirnya setiap kali mengucapkannya.
11) Dinafikan tiap-tiap yang maujud pada hatinya selain daripada Allah.
12) Diucapkan dengan nyaring (jahar).
13) Dengan kuat yang sempurna. Iaitu ditarikkan dari tengah kepala hingga ke anak jarinya.
14) Terkenang kepada sheikhnya.
15) Menjauhkan lafaz yang lahan yang mengubahkan maknanya.
c. Adab selepas berzikir
Adapun adab kemudian daripada zikir itu lima perkara:
1) Menahan nafas beberapa kali kerana yang demikian itu lebih cepat menerangkan hati dan membukakan hijab (dinding), dan memutuskan khuatir nafas dan syaitan.
2) Jangan meminum air selepas dari berzikir hingga berselang beberapa saat, kerana zikir itu bersifat panas, rindu dan menaikkan kegemaran kepada yang diingat (Allah) inilah tujuan zikir, sedangkan minum itu memadamkan yang demikian itu. Juga kalau minum adalah bertentangan dengan ilmu kedoktoran kerana boleh mengakibatkan penyakit muntah.
3) Diam beberapa ketika sesudah berzikir serta dengan khusyuknya. Perkara ini ulama membahagikannya kepada tiga adab iaitu :
a. Seakan-akan dia berhadap dengan Tuhannya, bahawa Tuhannya melihat kepadanya.
b. Mengheningkan cipta (menumpukan fikiran) seakan-akan sehelai roma pun tidak bergerak seumpama kucing tatkala mengintai tikus.
c. Menafikan sekalian khuatir dan melaksanakan zikir itu di dalam hati.
4)Meniatkan bagi wirid zikir. Mudah-mudahan menghidupkan hati sehingga tercapai cahaya makrifatullah sehingga diperolehinya sekalian sifat kamalat (kesempurnaan) seumpama zuhud dan lain-lain.
5) Mensyukuri akan nikmat-nikmat Allah. Bahawa Allah telah memudahkannya melakukan suruhan-Nya dengan mengucap istighfar daripada taqsir yang hasil daripadanya tiga kali, seperti katanya: “Aku memohon pengampunan dari Allah dari segala taqsirku pada ibadatku sebilang-bilang nafasku”.
Nama-nama kalimah nafi dan isbat
Sebagaimana telah dijelaskan bahawa sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tokoh sufi Tarekat Syathatiyah. Salah satu karya tulisan beliau tentang tersebut dapat dilihat melalui kitab Dhiyaa’ul Murid.
Bahagian terakhir karyanya itu beliau tulis nama-nama kalimah Laa ilahaa illallah. Dalam kitab Jawi yang lain dari kitab Dhiyaa’ul Murid tidak membicarakan hal ini. Oleh itu, penulis salin seringkasnya mudah-mudahan menambah keghairahan memperbanyak bacaan zikir Laa ilaaha illallah (nafi dan isbat) yang sangat dianjurkan oleh ahli warak dan Salihin.
Menurut Sheikh Daud al-Fathani kalimah Laa ilaaha illallah itu mempunyai banyak nama yang disebut dalam kitab suci al-Quran, sebahagiannya penulis nyatakan seperti berikut :
1.Kalimah takwa, dalam surah al-Fath ayat 26. Maksudnya: Dan biasakanlah mereka itu dengan takwa. Takwa tersebut adalah La ilaaha illallah.
2.Kalimah Thaiyibah dalam surah Ibrahim ayat 24. Maksudnya: Allah telah membanding seumpama kalimat yang baik iaitu La ilaaha illallah seperti pohon kayu yang baik asalnya terhunjam pada bumi dan cabang-cabangnya menjulang ke langit.
3.Kalimah Sabit dalam surah Ibrahim ayat 27. Maksudnya: Allah telah menetapkan sekalian orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap dalam hidup di dunia dan akhirat iaitu perkataan Laa ilaaha illallah.
Banyak lagi yang ditulis oleh Sheikh Daud al-Fathani dalam tulisannya yang tidak dapat disenaraikan semuanya. Antara lain-lain yang secara ringkasnya adalah berikut :
4.Kalimatul ‘Ulya dalam surah at-Taubah ayat 40.
5.Kalimah Stabat dalam surah Muhammad ayat 19.
6.Kalimah Husna dalam surah Yunus ayat 26.
7.Kalimah ‘Adli dalam surah an-Nahl ayat 90.
8.Kalimah Istiqamah dalam surah Fussilat ayat 30.
9.Kalimah ‘Ahdi dalam surah Maryam ayat 87.
10.Kalimah Maqalid dalam surah Zumar ayat 63.
11.Kalimah Tasydid dalam surah al-Ahzab ayat 70.
12.Kalimah Haq dalam surah az-Zukhruf ayat 86.
13.Kalimah Shiratal Mustaqim dalam surah al-An’am ayat 15.
14.Kalimah Sidqi dalam surah az-Zumar ayat 33.
15.Kalimah Iman dinamakan juga Kalimatul Khulud fi Jannah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud: Barangsiapa yang adalah pada penghabisan perkataannya Laa ilaaha illallah hal keadaannya suci hatinya lagi jernih daripada hatinya, masuk syurga itu bersama-sama orang-orang yang mendapat kemenangan tiada terdahulu seksa.
16.Kalimatus Ishmati wan Najah
Sabda nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Apabila mereka mengatakan Laa ilaaha illallah terpelihara daripadaku darah dan hartanya.”
17.Kalimatu Miftahil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.
18.Kalimatu Stamanil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.
19.Kalimatul Ikhlas iaitu Laa ilaaha illallah.
20.Kalimatu Da’watil Haq iaitu Laa ilaaha illallah.
21.Kalimatu ‘Urwatil wustqa iaitu Laa ilaaha illallah.
22.Dan lain-lain.
Kesimpulannya masih banyak amalan Sheikh Daud al-Fathani yang tidak dapat dibicarakan keseluruhannya, yang tentunya amalan wirid beliau sangat banyak. Di antara yang tidak pernah beliau tinggalkan adalah membaca selawat Dalailaul Khairat dan lain-lain.

Wednesday, March 12, 2008

ULAMA RUJUKAN SHEIKH DAUD ABDULLAH AL-FATHANI

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PARA ulama yang sering disebut-sebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebahagian besar adalah ulama-ulama ikutan beliau. Tulisan ini adalah ringkasan daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang dipetik daripada pelbagai karya beliau. Memperkenalkan biografi para ulama yang ditulis oleh beliau, bererti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah juga seorang tokoh sejarah terutama tentang sejarah Islam.

Adapun para ulama dan para imam yang disebut-sebut beliau ialah:

1. IMAM SYAFIE

Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang yang mengikut mazhab Syafie, maka didahulukan Imam Syafie daripada ulama-ulama lain. Beliau menulis di dalam Bughyatuth Thullab, yang ringkasannya sebagai berikut:
“Aku sebut sebahagian daripada manaqib radiallahu anhu kerana mengambil tabarruk. Bahawa dia adalah Sultan A’immah, namanya Muhammad, kuniyahnya Abu Abdullah bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafi’e bin Saib bin Ubaid bin Abdi Yazid bin Hasyim bin Abdul Muthalib bin Abdi Manaf nenek Nabi s.a.w”.
Dilahirkan di Ghuzzah (satu kampung di Palestin) tahun 150 H (756 M). Dari Saib itulah dibangsakan kepada Syafie, dan dapat berjumpa dengan Nabi s.a.w..
Dalam keadaan muda remaja Saib dan Syafie itu masuk Islam pada Perang Badar. Beliau adalah yang tunggal dalam golongan Bani Hasyim yang turut tertawan dalam perang Badar kerana pada mulanya beliau belum Islam, lalu dia menebus dirinya dengan masuk agama Islam.
Muhammad bin Idris Syafie pada umur kira-kira dua tahun dibawa ke Mekah, dan dibesarkan di Mekah. Pada usia tujuh tahun, beliau telah hafal 30 juzuk al-Quran dan pada usia 10 tahun, beliau menghafal kitab Kitab Muwathath karangan Imam Maliki.
Beliau mempelajari ilmu fikah dengan Muslim bin Khalid, Mufti Makkatul Musyarrafah. Hidup beliau dalam keadaan yatim dan serba kekurangan. Sifat-sifatnya sejak kecil sangat suka menghadiri majlis ulama.
Dalam waktu belajar, beliau selalu menulis pelajaran di atas tulang dan lain-lain yang seumpama itu, sehingga dikumpulkan memenuhi tempat kediamannya.
Imam Syafie berpindah pula ke Madinatul Munawwarah untuk belajar dengan Imam Maliki. Pada tahun 195 H beliau berpindah ke Baghdad, tinggal di Baghdad selama dua tahun. Banyak ulama belajar dengan Imam Syafie hingga mengikut mazhabnya.
Di Baghdad beliau mengarang kitab yang terkenal dengan sebutan Qaul Qadim. Sesudah itu kembali ke Mekah. Setelah beberapa lama menetap di Mekah, beliau kemudian ke Baghdad pada 198 H. Setelah sebulan di Baghdad berangkat pula menuju Mesir, selama di Mesir berkhidmat menyebarkan ilmu pengetahuan.
Beliau adalah seorang yang bekerja bebas merdeka di lingkungan jemaahnya. Akibat dipukul secara aniaya, beliau sakit dan kembali ke rahmatullah.
Imam Syafie meninggal dunia pada Jumaat, akhir bulan Rejab tahun 204H dan dikebumikan di Arafah setelah selesai sembahyang Asar.
Bertaburanlah ilmu pengetahuan seluruh negeri. Sekelian imam mengutamakannya sama ada yang bersifat khilafiah, mahupun yang telah disepakati oleh ulama padanya.
Bahawa Imam Syafie adalah orang yang pertama sekali mencipta ilmu usul fiqh. Beliau juga yang pertama mengadakan taqrir tentang Nasikh dan Mansukhnya dalam Ilmu Hadis. Selain itu beliau juga yang pertama mengarang beberapa bab pada ilmu fikah.
Sesuai dengan apa yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. Ilmu alim Quraisy itu memenuhi lapisan bumi.

2. IMAM HANAFI

Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Adapun Imam Nu’man Abu Hanifah adalah pada beliau ini, agama kuat, mempunyai martabat yang mulia. Beliau ibarat lampu yang sangat menyala terang benderang bahkan seumpama matahari menerangi seluruh alam maya pada ini.
“Beliau adalah penghulu sekalian fuqaha pada masanya, mengepalai sekalian ulama di tempatnya. Nama lengkapnya ialah Nu’man bin Stabit bin Nu’man yang berasal dari peranakan Parsi.
Orang pernah menanyakan kepada Imam Malik tentang Imam Abu Hanifah. Berkata Imam Malik : “Aku lihat seorang laki-laki, kalau melihat tiang ini adalah dia daripada batu padahal dia adalah daripada emas, nescaya dia mendirikan hujahnya”.
Berkata Imam Syafie: “Barang siapa berkehendak kepada hadis maka lazimkanlah dengan Imam Malik. Barang siapa berkehendak kepada tafsir maka di atas Maqatil bin Sulaiman. Barang siapa berkehendak atas jadal maka atasnya dengan Abi Hanifah”.
Beliau wafat pada 150 H di Baghdad semasa berusia 70 tahun dan dimakamkan di Baghdad.

3. IMAM MALIKI

Sheikh Daud al-Fathani menulis di dalam Fathul Mannan sebagai berikut: “Dialah Imam Darul Hijrah dengan permuafakatan, dan dia Saidul Ummah. Keistimewaannya ialah dengan kefasihan lisan, tangan terbuka untuk bersedekah dan berani memisahkan yang hak dengan yang batil. Nama lengkapnya Malik bin Anas bin Abi Amir Asbahani bin Usman bin Ubaidillah dari keturunan Taim bin Ka’ab.
Berkata Yazid bin Daud: “Aku lihat dalam mimpi kubur Rasulullah terbuka. Tiba-tiba Rasulullah duduk sedang manusia berkeliling di sekitarnya. Ada orang memanggil katanya: “Di mana Anas bin Malik?”. Maka dia pun datang, mendekati Rasulullah. Rasulullah memberikan sesuatu kepadanya, sabdanya: “Bagikanlah olehmu kepada manusia!”. Di dalam hadis Nabi diriwayatkan: “Hampir-hampir manusia memukul unta pelari, mereka mencari orang alim. Maka tiadalah mereka mendapatkan seorang alim yang lebih alim daripada alim Madinah!”.
Imam Maliki wafat pada 14 Rabiulawal tahun 179H ketika berumur 85 tahun dan dimakamkan di Baqi’. Riwayat yang lain menyatakan 90 tahun.

4. IMAM HANBALI

Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Maka Imam Ahmad bin Sahibul Maqam al-Ahmad. Dia adalah seorang yang sangat penyabar. Di otaknya banyak terkumpul sunah atau hadis Nabi s.a.w. Nama lengkapnya ialah Imam Ahmad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Abdullah bin Hibban bin Abdullah bin Abbas bin Aun bin Qasith bin Syaiyan.
Dikatakan pada hari wafatnya kalau ditaksir kitabnya kira-kira dapat ditanggung di atas 12 unta, kitab-kitabnya itu semuanya telah beliau hafal.
Beliau wafat pada 12 Rabiulawal tahun 24H dalam usia 77 tahun. Jenazahnya disembahyangkan oleh 800,000 orang lelaki dan 60,000 perempuan. Orang-orang yang bukan Islam juga menghadiri yang ditaksir berjumlah 20,000 orang. Jenazah beliau juga dimakamkan di Baghdad.
Di dalam kitab Ad Durrust Stamin, Sheikh Daud al-Fathani meriwayatkan perjuangan Imam Hanbali tentang pegangannya yang menyatakan bahawa al-Quran itu adalah kalamullah bukan ‘makhluk’ seperti yang dipaksakan oleh pemerintah di kala itu. Cerita tersebut diperlengkap dalam kitab Warduz Zawahir dengan lebih jelas lagi.

5. SUFYAN AST STURI

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis: “Maka Sufyan Ast Sturi, laqabnya Abu Abdullah Sufyan bin Said bin Masruq Ast Sturi bin Abdullah bin Abdu Munnah bin ‘Ud bin Thabikhah bin Ilyas bin Mudhur al-Kufi. Adalah beliau ini ‘Syeikhul Islam, Saidul Huffazul A’lam Amir pada Ilmu Hadis’.
Beliau dilahirkan pada tahun 97H wafat di Basrah pada bulan Syaaban tahun 161 H. Mazhabnya hanya berkekalan sampai 500 tahun sahaja.

6. AL-LAIST BIN SAAD

Al-Laist adalah Syeikhul Islam Ilmu A’lam. Beliau adalah orang alim di negeri Basrah. Kunniyahnya Abdul Harist al-Laist bin Saad bin Abdur Rahman Fahimi. Beliau wafat pada tahun 175 H.

7. SUFYAN BIN ‘UYAINAH

Ibnu ‘Uyainah iaitu imam yang mempunyai hujah yang hafiz lagi luas ialah Sufyan bin ‘Uyainah bin Abi Imran Maimun al-Hilali. Beliau adalah imam ahli pengetahuan dan ahli hadis. Dia telah mendengar fatwa Imam Syafie dan Imam Ahmad.
Berkata Imam Ahmad: “Tiada aku lihat yang terlebih ahli dengan matan selain daripadanya”. Beliau wafat pada tahun 198H.

8.AL-AUZA’I

Auza’i ialah seorang Syeikhul Islam
dari Aimmatul A’lam, ialah Abdur Rahman bin Amru Muhammad al-Auza'i ad-Dimsyaqi. Adalah nama Abdul Aziz, kemudian menamakan dirinya dengan Abdur Rahman, nama inilah yang dimasyhurkan.
Beliau seorang yang bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang malam dan tilawatil Quran. Beliau telah memberi fatwa dalam 70,000 masalah. Beliau wafat pada 2 Safar 157H.

9. Sheikh JALALUDDIN AL-MAHALLI

Sheikh Jalaluddin al-Mahalli lahir tahun 768H, wafat tahun 864H. Beliau lahir di Kaherah, Mesir.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam penyusunan kitab Furu’ul Masail telah mengambil pedoman dua kitab besar. Satu daripadanya ialah kitab Kasyful Listam karangan Sheikh Husein bin Muhammad al-Mahalli.
Pada permulaan kitab Furu’ul Masail Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis: “Dan kitab Kasyful Listam ‘an as-Alatil Anam bagi Sheikh yang Allamah lagi Muhaqqiq sebahagian orang mutakhirin Husein anak Muhammad al-Mahalli r.a..

10. SYEIKHUL ISLAM ZAKARIA AL-ANSYARI

Dilahirkan di Kaherah, Mesir pada tahun 826H, dan wafat 926H. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam penyusunan beberapa kitab yang besar-besar telah mengambil pedoman karya-karya Sheikh Zakaria al-Ansari sebagai buku-buku rujukan.
Antara karangan Sheikh Daud al-Fatani yang sebahagian besarnya dipetik daripada karangan Sheikh Zakaria al-Ansari seumpama Bughyatuth Thullab dan Nahjur Raghibin.

11. Sheikh IBNU HAJAR AL-HAITAMI

Nama lengkapnya ialah Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haitami. Lahir dalam tahun 909H di Mesir. Wafat di Mekah tahun 974H. Sewaktu menuntut di Universiti al-Azhar, beliau belajar daripada Sheikh Islam Zakaria al-Ansari.
Kitab-kitab karangan beliau adalah termasuk kitab-kitab pokok yang dikaji oleh Sheikh Daud al-Fathani. Sehingga banyak pendapat Sheikh Ibnu Hajar al-Haitami diterjemahkan Sheikh Daud al-Fathani terdapat dalam beberapa karya beliau.
Berdasarkan tulisan Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani bahawa Sheikh Daud al-Fathani menemui tahun-tahun kehidupan (mungkin Sheikh Daud al-Fathani sempat belajar daripada anak Sheikh Ibnu Hajar tersebut) anak Sheikh Ibnu Hajar.

12. KHATHIB SYARBAINI

Nama lengkapnya ialah Muhammad as-Syarbaini al-Khathib. Dalam mengisi Ilmu Fiqh Mazhab Syafie, beliau ini juga termasuk yang penting tidak ubahnya seumpama Sheikh Zakaria al-Ansari dan Sheikh Ibnu Hajar al-Haitami. Beliau juga termasuk salah seorang murid Sheikh Zakaria al-Ansari. Ulama besar yang terkenal ini meninggal dunia pada tahun 977 H.

13. IMAM RAMLI

Nama lengkapnya ialah Sheikh Syamsuddin Muhammad bin Abil Abbas Ahmad bin Hamzah Ibnu Syihabuddin ar-Ramli. Lahir di Kaherah, Mesir. Beliau digelar ‘Imam Syafie Kecil’ dan wafat tahun 1004H.

14. IBNU RUSLAN

Nama lengkap ialah Ahmad bin Husein bin Ruslan. Lahir di Ramlah, Palestin tahun 773H dan wafat tahun 844H. Beliau banyak mengarang kitab, antaranya yang sangat terkenal kerana banyak dikaji di berbagai pengajian bersistem pondok di seluruh Asia Tenggara ialah Matan Zubad.
Matan Zubad tersebut telah disyarah oleh Sheikh Ramli (bukan Imam Ramli pengarang Nihayah) atau nama lengkapnya ialah Syihabuddin ar-Ramli Ahmad bin Aminuddin Husein bin Hassan bin Ali bin Yusuf bin Ruslan al-Muqaddisi as-Syafi’i. Tahun wafatnya sama dengan tahun kewafatan Ibnu Ruslan yakni tahun 844 H.
Kitab Matan Zubad yang telah beliau syarah itu beliau namakan Safwatuz Zubad. Sheikh Daud al-Fathani telah menterjemah (mungkin beliau juga sebagai pensyarahnya, atau mungkin beliau hanya sebagai penterjemahnya saja) satu syarah daripada Matan Zubad yang beliau namakan dengan Fathul Mannan li Safwatiz Zubad.
Bahawa tulisan Sheikh Daud al-Fathani dalam permulaan karyanya tersebut adalah, “Maka tatkala faqir melihat kitab bernama Safwatuz Zubad karangan Wali Allah iaitu Syeikhul Islam dan ‘Alimul Hamam Abil Ahmad Syihabuddin Ibnu Ruslan ad-Damsyiqi, Allah telah menyirami dengan hujan rahmat ke atas kuburnya, Ridhwan Allah atasnya. Bahawa sangat indah susunan nazhamnya. Banyak manfaat yang terbit daripadanya, dua keindahan dari dua asal iaitu Ilmu Fiqh dan Ilmu Tasauf.
Seterusnya Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Aku namakan terjemahan ini dengan Fathul Mannan li Safwatiz Zubad bagi Wali Allah Ahmad bin Ruslan”.

15. IMAM SYARQAWI

Nama lengkap ialah Sheikh Abdullah bin Hijaz bin Ibrahim. Lahir tahun 1150H dan wafat 1227H, dimakamkan di Mesir. Beliau lebih terkenal dengan sebutan Imam Syarqawi. Mungkin beliau ini termasuk salah seorang guru Sheikh Daud al-Fathani atau mungkin sahabat beliau.
Antara beberapa kitab Sheikh Daud al-Fathani ada menyebut nama ulama ini, sedang kitab yang ditulis Sheikh Daud al-Fathani itu di masa Imam Syarqawi belum wafat seumpama Nahjatur Raghibin (1225H). Tahun meninggal Imam Syarqawi sama dengan tahun meninggalnya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari iaitu tahun 1227H.