Monday, November 26, 2007

SHEIKH ABDUS SHAMAD AL-FALIMBANI

Wafat Sebagai Syuhada
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah.SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata.
Prof. Dr. Hamka menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa setelah belajar di Mekah, Sheikh Abdus Shamad Palembang tidak pernah kembali ke tanah airnya Palembang, lantaran bencinya terhadap penjajah Belanda.
Sebagaimana disebutkan bahawa yang sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan bukti-bukti bertulis bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang buat kali pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan Sheikh Abdur Rahman al-Masri.
Diceritakan oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke Mesir untuk mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan kerana Sheikh Abdus Shamad dan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar itu bukan layak menjadi mahasiswa, akan tetapi layak menjadi mahaguru.
Di Mesir adalah sukar mencari ulama yang lebih tinggi pengetahuannya daripada ulama-ulama yang berasal Jawi itu. Tetapi gurunya tidak melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke Mesir hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-peninggalan kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu pengetahuan perbandingan pula.
Sheikh Abdus Shamad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir tetapi bukan belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-lembaga pendidikan di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah tetapi termasuk beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman dan di hulunya. Banyak madrasah dan sistem pendidikannya menjadi perhatian mereka bahawa mereka bercita-cita menerapkan kaedah Mesir yang agak berbeza dengan kaedah pendidikan di Pattani.
Sekembali dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Mekah mahupun Madinah. Setelah diizinkan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, maka mereka berangkat menuju ke Jeddah. Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat terus ke Singapura.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti teman-temannya ke Singapura.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, tetapi dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar sampai ke Betawi. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta).
Setelah di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di Masjid Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu telah lama didirikan, menurut Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, dan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari bahawa adalah arah ke kiblat masjid itu tidak tepat sebagaimana semestinya.
Orang yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka melakukan solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang dikerjakan oleh orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh mereka bahawa arah kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan yang betulnya seperti yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit salah faham antara mereka dan hadirin tersebut.
Dengan tangkas Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari maju kemuka. Ia berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke arah hadirin majlis Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-tiba saja yang hadir itu langsung dapat melihat Kaabatullah ke arah lurus tangan Sheikh Muhammad Arsyad itu. Suasana tenang kembali, tiada siapa berani membantah.
Khalayak ramai maklum bahawa orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid yang berbeza dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan Wali Quthub Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu. Kononnya, mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan dibuat garis merah sebagai tandanya.
Peristiwa itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa penjajah pada zaman itu. Belanda menangkap Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan. Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab. Akan tetapi pihak Belanda sangat mengagumi pengetahuan mereka sehingga setelah tiga hari tiga malam, barulah mereka dibebaskan begitu saja.
Setelah peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Ramai meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya kepada Belanda, ditambah pula dengan peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa kerana melihat pihak Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada kuasa sedikit pun bagi Sultan.
Maka beliau rasa tidak betah untuk diam di Palembang walaupun beliau kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil keputusan sendiri tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon petunjuk Allah dengan melakukan solat istikharah. Keputusannya, beliau mesti meninggalkan Palembang, mesti kembali ke Mekah semula.
Lantaran terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya ada beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti itu.
Ini membuktikan Sheikh Abdus Shamadal-Falimbani telah menunjukkan keteguhan pegangan, tawakal adalah merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dilupakan.
Pulang ke nusantara buat kali kedua
Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka berangkatlah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keislaman, terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain.
Untuk menunjukkan sikap antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah.
Kegiatan-kegiatannya di bidang penulisan akan dibicarakan pada bahagian lain.
Di sini terlebih dahulu diceritakan kepulangan beliau ke nusantara untuk kali kedua. Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa.
Meskipun Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama menetap di Mekah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus. Sekurang-kurangnya mereka berutus surat setahun sekal, iaitu melalui mereka yang pulang selepas melaksanakan ibadah haji.
Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang berhasrat mendalami ilmu tasauf terutama di sektor Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah dan Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau.
Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah Jawi (dunia Melayu) dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani, Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan Belanda (pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).
Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke tangan Belanda di Semarang (tahun 1772 M).
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah lama bercita-cita untuk ikut serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah. Namun setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.
Sebelum perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada Sheikh Abdus Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada kaum Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air) mereka.
Dalam peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memegang peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan malam.
Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud yang tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi ulama sufi, termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu.
Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material duniawi, pangkat dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata mencintai Allah dan Rasul dari segala apa pun juga.
Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke Kedah memang pada awalnya bertekad demi jihad, bukan kerana mengajar masyarakat mengenai hukum-hukum keislaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah. Dipendekkan kisah akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’.
Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.
Sementara itu, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula langkah perjuangan.
Pattani telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu Sheikh Abdus Shamad pun berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang Tuah’ itu.
Para pengikut tasauf percaya di sanalah beliau menghilang diri tetapi bagi kalangan bukan tasauf, perkara ini adalah mustahil dan mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam.
Mengenai tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam, dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian tersebut berlaku pada 1244 H bersamaan dengan 1828 M. Sungguhpun demikian, seorang ahli sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin, berpendapat bahawa kemuncak peperangan terjadi ialah pada 1254 H/1838 M, iaitu 10 tahun kemudian dari yang disebut oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu, yang mana yang lebih tepat antara 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M, perlu kepada penyelidikan lanjut.
Kesimpulannya, kembalinya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani untuk kali yang kedua itu adalah juga merupakan tahun kepulangannya beliau ke rahmatullah sebagai seorang ‘syuhada’.

Saturday, November 24, 2007

SYEIKH MUHAMMAD ALI ABDUR RASYID AS-SUMBAWI

Kadi Sumbawa
Koleksi penyelidikan ALLAHYARHAM Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM percakapan, beberapa catatan dan penulisan kitab Melayu/Jawi memang dijumpai beberapa nama ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini.
Di antara mereka antaranya; Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi, dan ramai lagi. Nama ulama ini, mulai penulis kesan daripada sebuah karyanya berjudul, Al-Yawaqitu wal Jawahir yang ditulis pada 1243 H/1827 M.
Beberapa maklumat tentang beliau, penyelidikan awal dapat diketahui dan dipetik daripada dua buah karyanya iaitu, satu di antaranya ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir, di bahagian tepi atau pinggirnya turut dicetak sebuah kitab berjudul 'Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.
Buat pertama kali tentang ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini, penulis tulis dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1 (cetakan pertama, C.V.Ramadhani, hlm :127-128). Kemudian penulis singgung dengan agak ringkas dalam buku Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'tabarah di Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, 2000, hlm : 113-114).
Daripada bahan-bahan bertulis tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang berasal dari Sumbawa yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi. Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Bahkan pada sektor penerimaan Thariqat Syaziliyah, kedua-dua ulama tersebut adalah seperguruan. Kedua-duanya menerima bai'ah dari Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais (1187 H/1773 M-1240 H/1824 M).
KARYA
Hanya sebuah yang telah pasti karyanya, kerana namanya terdapat pada kitab itu, sedang sebuah lagi diduga juga karya beliau. Karya yang telah pasti itu diberi judul lengkap ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir fi 'Uqubati Ahlil Kabair. Dan kitab yang masih belum jelas hasil karya beliau ataupun tidak, tetapi sentiasa dicetak kombinasi dengan Al-Yawaqitu wal Jawahir diberi judul, 'Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.
Ada pun karya beliau yang pertama Al-Yawaqitu wal Jawahir adalah terjemahan hadis targhib dan tarhib yang berasal daripada karangan Syeikh Abdul Wahhab as-Sya'rani. Yang diutamakan ialah menceritakan seksaan orang yang melakukan dosa besar, yang terdiri dari Dua Belas Bab.
- Bab Yang Pertama: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meninggalkan Sembahyang
- Bab Yang Kedua: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Durhaka Bagi Ibu dan Bapanya
- Bab Yang Ketiga: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Minum Arak dan Tuak
- Bab Yang Keempat: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Berzina
- Bab Yang Kelima: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Liwat
- Bab Yang Keenam: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Makan Riba
- Bab Yang Ketujuh: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meratap
- Bab Yang Kelapan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Tiada Mengeluarkan Zakat Hartanya
- Bab Yang Kesembilan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Membunuh Orang Islam
- Bab Yang Kesepuluh: Pada Menyatakan Hak Perempuan Atas Lakinya dan Hak Laki Atas Isterinya
- Bab Yang Kesebelas: Pada Menyatakan Susah dan Kesakitan Pada Hari Kiamat
- Bab Yang Keduabelas: Pada Menyatakan Sifat Syurga dan Orang Di Dalam Syurga.
Al-Yawaqitu wal Jawahir diselesaikan hari Isnin, sesudah Asar, 18 Zulkaedah 1243 H. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan Al-Yawaqitu wal Jawahir, di antaranya cetakan mutawal oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Matba'ah al-'Amirah al-Islamiyah, Matba'ah Fathul Karim al-Islamiyah, 1310 H, cetakan pertama Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1329 H, Maktabah wa Matba'ah Sulaiman Mar'i Singapura, Penang, Kota Bharu. Juga pernah dicetak oleh Maktabah wa Matba'ah al-Ma'arif Pulau Pinang dan lain-lain.
Penerbitan-penerbitan awal kitab Al-Yawaqitu wal Jawahir ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan terbitan-terbitan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Ilyas Ya'qub al-Azhari (Indonesia).
Pada mukadimah Al-Yawaqitu wal Jawahir Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi dinyatakan, "Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah pada tahun 1243 daripada tahun hijrah Nabi s.a.w. atas yang mempunyai dia yang terlebih afdhal rahmat dan yang terlebih suci haluannya, telah menuntut daripada hamba yang fakir, lagi hina, yang mengaku berdosa, lagi taqshir, iaitu Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi yang ada diam di Makkatul Musyarrafah; oleh setengah daripada orang yang mempunyai kelebihan, lagi mulia, iaitu setengah daripada sahabat kami. Bahwasanya hamba terjemahkan kitab syeikh yang alim, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya'rani yang dinamakan dia Al-Yawaqitu dan Jawahir) pada menyatakan seksaan segala orang yang berdosa yang besar, sekalian kesusahan, dan kesakitan pada hari kiamat, dan pada menyatakan sifat Syurga, dan sekalian orang yang di dalam Syurga, daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi. Maka hamba perkenankan dengan yang demikian itu" (petikan hlm: 2-3, cetakan pertama, Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah,1329 H).
Ada pun karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang satu lagi, iaitu Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain, kandungan keseluruhannya merupakan akhlak atau adab isteri kepada suaminya. Adalah merupakan ancaman yang sangat keras terhadap isteri yang durhaka kepada suaminya. Walaupun kedua-dua karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang tersebut di atas dapat dikategorikan kepada hadis targhib dan tarhib, namun tidak dapat dinafikan bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi adalah seorang ulama fiqhi (Faqih) dan ulama shufi ahlit Thariqah.
PENDIDIKAN, PERSAHABATAN DAN MURID
Sewaktu belajar di Mekah, Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid as-Sumbawi adalah seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Di antara guru Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang telah pasti ialah, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais. Mengenai ini ada dinyatakan oleh seorang muridnya bernama Syeikh Umar ibnu Umaju' Mempawah (Kalimantan Barat), dalam sebuah manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah.
Dipercayai bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi bersahabat dengan Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi. Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi pula adalah pernah menerima Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah daripada Syeikh Shiddiq bin Umar Khan, juga tarekat yang sama kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Oleh sebab Syeikh Shiddiq bin Umar Khan juga guru kepada Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, maka dipercayai ulama yang berasal dari Banjar ini juga bersahabat dengan Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi.
Daripada maklumat tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi sekurang-kurangnya mengamalkan tiga jenis tarekat shufiyah, ialah Thariqat Syaziliyah, Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah dan Thariqat Syathariyah.
Mengenai muridnya pula, selain Syeikh Umar ibnu Umaju' Mempawah, termasuk juga seorang ulama Sumbawa yang sangat terkenal ialah al-Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Beliau ini juga murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan menerima bai'ah Thariqat Syathariyah daripada ulama Pattani tersebut.
Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi sekurang-kurang menghasilkan dua buah karangan dalam bahasa Melayu yang terkenal di peringkat seluruh dunia Melayu, ialah Sirajul Huda (mengenai 'aqidah) dan Minhajus Salam (mengenai fiqh). Kedua-dua kitab yang tersebut masih terdapat di kedai-kedai kitab di seluruh dunia Melayu.

SYEIKH ABDUS SHAMAD AL-FALIMBANI

Ulama Sufi Penegak Jihad
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Bahagian (1)

Sejarah mengenai Syeikh Abdus Shamad ini terlalu banyak panjang untuk dibincangkan, sama ada mengenai asal-usul beliau, pendidikan, karya-karya, keturunan dan sebagainya.
Oleh itu, artikel ini merupakan bahagian pertama yang hanya meliputi pengenalan awal mengenai nama ayah dan pendidikan beliau sahaja. Selebihnya akan dibincangkan pada bahagian selanjutnya.
Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, pertama kali penulis perkenalkan dalam majalah Dian bilangan 100, Ogos 1977. Sumber awal yang dibicarakan sebahagian besar adalah berdasarkan cerita yang mutawatir yang didengar di Kepulauan Riau, Patani dan Kalimantan Barat. Yang bersumberkan bahan bertulis hanyalah berdasarkan berbagai-bagai edisi cetakan karyanya, maupun manuskrip simpanan penulis yang dipusakai dari Syeikh Ahmad al-Fathani.
Bahan itulah sebagai dasar utama penulis melakukan penyelidikan sehingga tulisan penulis dimuat dalam majalah Dian itu.
Terdapat banyak kisah yang ditulis oleh sarjana tempatan dan luar negeri tentang ulama yang berasal dari Palembang, Sumatera ini. Antaranya artikel penulis dalam majalah Dian tersebut, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arsyad (Dewan Bahasa dan Pustaka,1968), Syamsuddin bin Siddiq yang membuat tesis tentang Hidayatus Salikin, dan Dr. Mahmud Saedon bin Awang Othman dalam kertas kerjanya untuk Seminar Sufi Peringkat Kebangsaan.
Malahan penulis sendiri menerbitkan sebuah buku kecil berjudul Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani,Shufi Syahid fi Sabilillah (1983).Setelah itu menyusul pula buku Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasawuf Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani oleh Dr.M.Chatib Quzwan(1985). Dan berbagai-bagai buku lain, terakhir sekali buku Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII oleh Dr. Azyumardi Azra, tahun 1994.
Bagi penulis keseluruhan buku mengenai Syeikh Abdus Shamad yang diproses oleh para sarjana itu tidak banyak diperoleh bahan baru, kerana apa yang mereka bicarakan hanyalah berdasarkan tulisan yang telah ada dan tidak menemukan karya-karya Syeikh Abdus Shamad yang belum dibicarakan selama ini.
Menurut penelitian penulis, ada yang dibicarakan juga banyak bersimpangsiur dan terdapat banyak kekeliruan. Oleh itu penulis muncul kembali dengan buku Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1996. Dalam buku tersebut di beberapa halaman adalah sanggahan dengan tujuan untuk perbandingan, demi lebih meluruskan jalan sejarah yang sebenarnya.
Mengenali nama ayahnya
Terdapat banyak percanggahan berkenaan nama ayah kepada ulama ini. Pada penyelidikan awal, penulis menemui nama orang tua Syeikh Abdus Shamad Falimbani itu adalah Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani. Maka dalam penyelidikan selanjutnya, penulis jumpai pula nama ayahnya selain Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani itu. Nama-nama lain itu ialah: Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani. Maklumat ini pertama sekali penulis jumpai hanya pada Hidayatus Salikin terbitan Al-Ahmadiah Press, Singapura, tanpa menyebut tahun cetakan, berdasarkan satu naskhah yang dijumpai di Banjar.
Pada cetakan itu pentashhihnya juga disebutkan ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sebagaimana cetakan-cetakan lainnya. Sedangkan Hidayatus Salikin terbitan lainnya tidak menyebut nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani itu. Hal ini bersamaan pula dengan manuskrip salin semula judul Zahratul Murid yang terdapat di Pusat Islam Malaysia. Manuskrip Zahratul Murid yang ada dalam simpanan penulis juga menyebut nama orang tuanya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani.
Tetapi dalam karya beliau judul yang sama, salinan Hj. Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba al-Fathani) menyebut bahawa nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ialah Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani, tidak Abdur Rahman al-Falimbani al-Jawi dan tidak pula dua nama yang terdahulu (Faqih Husein al-Falimbani dan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani).
Manuskrip Zahratul Murid yang tersimpan di Muzium Nasional Jakarta, nampaknya serupa dengan salinan Tok Kelaba al-Fathani, iaitu orang tuanya bernama Abdullah al-Jawi al-Falimbani.
Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dinyatakan ialah Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, juga tersebut pada cover cetakan kitab itu oleh Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah al-‘Itsmaniyah, Mekah, tahun 1331 H/1912 M, ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, iaitu murid kepercayaan Syeikh Ahmad al-Fathani. Dipercayai ada cetakan yang lebih awal dari cetakan ini yang diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani yang dicetak oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1300 H/1882 M.
Juga nama ayahnya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani tersebut pada mukadimah risalah Ilmu Tasauf, manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia. Nama Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani juga disebut pada banyak halaman dalam karya Syeikh Muhammad Yasin bin ‘Isa al-Fadani (Padang) berjudul Al-‘Iqdul Farid min Jawahiril Asanid dan Balughul Amani.
Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani adalah Syeikh Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dari sumber Melayu sendiri selain sumber-sumber yang penulis sebutkan di atas. Juga disebut oleh salah seorang murid beliau bernama Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, dalam salah sebuah salinan karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tokoh tersebut sangat banyak membuat salinan pelbagai judul manuskrip.
Berbeza
Susur galur keturunan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sampai saat ini baru dijumpai dua sumber yang agak lengkap walaupun antara kedua- duanya sangat berbeza. Kedua-dua sumber itu ialah: Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, yang mengemukakan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh 'Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.
Dalam Bulughul Maram karya Syeikh Muhammad Yasin Padang pula dijumpai bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani. Namun pada beberapa halaman lain oleh pengarang dalam buku yang sama dinyatakan: Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani. Penulis tidak dapat mengesan dengan pasti apa sebab persoalan ini boleh berlaku, nama ayahnya berbeda-beda dan nama-nama ayah ke ayah pula terjadi demikian seperti yang telah disalinkan di atas.
Nama yang digunakan di makam yang terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah ialah Syeikh Abdul Jalil, bukan nama yang lainnya. Sungguh pun di makamnya memakai nama Syeikh Abdul Jalil, namun jika diperhatikan dengan perbandingan ternyata jumlah maklumat yang menyebut nama ayah beliau Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani lebih banyak dari nama-nama lain seperti yang disebutkan di atas.
Selama ini semua penulis hanya mengenal bahawa di hujung nama Syeikh Abdus Shamad biasa ditambah dengan perkataan ‘al-Falimbani’, iaitu yang dinisbahkan/dibangsakan bahawa beliau berasal dari Palembang. Akan tetapi dalam sebuah manuskrip al-‘Urwatul Wutsqa karya beliau, ternyata beliau menyebut di hujung namanya dengan ‘al-Fathani’.
Pada beberapa halaman al-‘Iqdul Farid, Syeikh Yasin Padang menyebut di hujung nama beliau dengan ‘al-Asyi asy-Syahir bil Falimbani’, yang maksudnya bahawa dinisbahkan/dibangsakan berasal dari Aceh yang masyhur berasal dari Palembang.
Pendidikan
Syeikh Abdus Shamad mendapat pendidikan asas dari ayahnya sendiri, Syeikh Abdul Jalil, di Kedah. Kemudian Syeikh Abdul Jalil mengantar semua anaknya ke pondok di negeri Patani. Zaman itu memang di Patani lah tempat menempa ilmu-ilmu keislaman sistem pondok secara yang lebih mendalam lagi.
Mungkin Abdus Shamad dan saudara-saudaranya Wan Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah memasuki pondok-pondok yang terkenal, antaranya ialah Pondok Bendang Gucil di Kerisik, atau Pondok Kuala Bekah atau Pondok Semala yang semuanya terletak di Patani.
Di antara para gurunya di Patani, yang dapat diketahui dengan jelas hanyalah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Demikianlah yang diceritakan oleh beberapa orang tokoh terkemuka Kampung Pauh Bok itu (1989), serta sedikit catatan dalam salah satu manuskrip terjemahan Al-‘Urwatul Wutsqa, versi Syeikh Abdus Shamad bin Qunbul al-Fathani yang ada dalam simpanan penulis. Kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itulah sehingga membolehkan pelajaran Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Walau bagaimana pun mengenai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu belum pernah ditulis oleh siapa pun, namun sumber asli didengar di Kampung Pauh Bok sendiri.
Sistem pengajian pondok di Patani pada zaman itu sangat terikat dengan hafalan matan ilmu-ilmu Arabiyah yang terkenal dengan ‘llmu Alat Dua Belas’. Dalam bidang syariat Islam dimulai dengan matan-matan fiqh menurut Mazhab Imam Syafie. Di bidang tauhid dimulai dengan menghafal matan-matan ilmu kalam/usuluddin menurut faham Ahlus Sunah wal Jamaah yang bersumber dari Imam Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.
Setelah Syeikh Abdus Shamad banyak hafal matan lalu dilanjutkan pula dengan penerapan pengertian yang lebih mendalam lagi. Sewaktu masih di Patani lagi, Syeikh Abdus Shamad telah dipandang alim, kerana beliau adalah sebagai kepala thalaah (tutor), menurut istilah pengajian pondok. Namun ayahnya berusaha mengantar anak-anaknya melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Memang merupakan satu tradisi pada zaman itu walau bagaimana banyak ilmu pengetahuan seseorang belumlah di pandang memadai, jika tak sempat mengambil barakah di Mekah dan Madinah kepada para ulama yang dipandang Wali Allah di tempat pertama lahirnya agama Islam itu.
Keturunan
Mengenai pengajiannya di Mekah dan Madinah sumber yang paling pertama diketahui ialah tulisan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, ditulisnya dalam Syajaratul Arsyadiyah. Menurut beliau, bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah 5 tahun bersama kawan-kawannya. Mereka ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari penyusun kitab Sabilul Muhtadin yang terkenal, Syeikh Abdul Wahab Pang-kajene (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Syeikh Muhammad Ali Aceh, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi.
Sahabat-sahabat Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah selain yang tersebut itu sangat ramai, di antara nama mereka telah penulis sebut dalam buku Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Pengarang Sabilal Muhtadin. Mengenai para gurunya di Mekah, selain yang diketahui umum, dalam sebuah manuskrip disebutkan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah belajar daripada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh di Mekah. Para ulama besar yang pernah mendidik Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani selama berada di Mekah dan Madinah selain yang tersebut dapat dirujuk kepada buku penulis Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ... tersebut di atas, lihat hlm. 14-15, sanad-sanadnya dari hlm. 16 sampai 27. Namun masih ada beberapa guru Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang berasal dari Palembang dan sanad beberapa ilmu yang tidak tersebut dalam buku penulis itu. Hal ini kerana ada beberapa ilmu yang mereka tidak belajar secara bersama-sama.
Menurut Syeikh Yasin Padang dalam beberapa bukunya yang telah disebutkan, bahawa hampir semua ilmu nampaknya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani menerima dari al-Mu’ammar Aqib bin Hasanuddin bin Ja’far al-Falimbani. Ulama yang berasal dari Palembang ini tinggal di Madinah. Beliau berguru dengan ramai ulama, namun di antara gurunya termasuklah ayah saudaranya bernama Thaiyib bin Ja'far al-Falimbani. Thaiyib bin Ja’far belajar dengan ayahnya Muhammad bin Badruddin al-Falimbani.
Tulisan Syeikh Yasin Padang yang mengatakan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar dengan Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani itu bertentangan dengan tulisan Syeikh Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Kenyataan ulama ini ialah, “... telah mengambil talqin zikir ini oleh faqir Muhammad Azhari ibnu Abdillah al-Falimbani. [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Abdullah bin Ma’ruf al-Falimbani, [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani, [Ia] mengambil daripda asy-Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ...”.
Jika kita berpegang kepada Syeikh Yasin Padang bererti Syeikh Abdus Shamad adalah murid Syeikh Muhammad Aqib. Sebaliknya jika kita berpegang kepada Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah bin Muhammad Asyiquddin bin Safiyuddin Abdullah al-Alawi al-Husaini al-Falimbani, bererti Syeikh Abdus Shamad adalah guru kepada Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani.

Thursday, November 15, 2007

SYEIKH WAN ALI AL-FATHANI

SYEIKH Uthman Jalaludin Penanti (kiri) dan penulis sedang membicarakan sanad ilmu Islam dan salasilah ulama Alam Melayu.

Penyebar Thariqat Sammaniyah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DARI minggu ke minggu nampaknya para peminat rencana riwayat ulama dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia terus bertambah.
Saya belum mengetahui berapa jumlah pembaca sebenarnya. Yang pasti, ruangan ini diikuti oleh pelbagai golongan. Baru-baru ini, saya mendapat emel daripada seorang pelajar yang mengaku berumur 14 tahun, namanya Luqman bin Ahmad Rangkuti.
Saya ucapkan terima kasih atas perhatian anakanda, insya-Allah emelnya akan saya ayan pada waktu yang lain.
Pada malam hari, tarikh 27 November 2006, seorang ulama dari Mekah, berasal dari Seberang Perai, datang ke tempat saya. Beliau ialah Tuan Guru Haji Saleh bin Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. Tujuan utama beliau menemui saya adalah berhasrat untuk menyelesaikan salasilah keluarga ulama yang ada hubungan dengan beliau sendiri. Sangat ramai keluarga tersebut yang menjadi ulama dan tokoh dalam pelbagai bidang.
Tuan Guru Haji Saleh bin Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti adalah saudara tiga pupu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi. Pada siang harinya ulama yang dikasihi tersebut secara kekeluargaan berhasil bertemu Yang Amat Berhormat itu. Ulama yang saya anggap termasuk salah seorang guru saya itu, nampaknya berjuang dengan penuh kesungguhan kerana pada malam berikutnya sebelum pulang ke Mekah beliau datang sekali lagi ke tempat saya (malam hari tarikh 28 November 2006).
Dalam pertemuan dua kali itu menjelaskan sejarah ulama yang dibicarakan dalam artikel ini, Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani adalah moyang kepada Tuan Guru Haji Saleh.
Sebelum memasuki riwayat Syeikh Wan Ali al-Fathani di sini saya dahulukan segelintir hubungan kekeluargaan dan keturunan ulama yang diriwayatkan ini. Sebagaimana telah diketahui bahawa adik-beradik Syeikh Wan Ali al-Fathani ialah Syeikh Wan Hasan bin Ishaq al-Fathani yang menjalankan aktivitinya di Besut, Terengganu. Menurut Tuan Guru Haji Saleh Penanti, bahawa anak perempuan Syeikh Wan Ali al-Fathani bernama Hajah Wan Fathimah berkahwin dengan Syeikh Muhammad Kabir.
Perkahwinan itu memperoleh anak, Hajah Wan Shafiyah dan Haji Wan Ali. Hajah Wan Shafiyah berkahwin dengan Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya’ bin Abdul Ghafur al-Kalantani. Perkahwinan tersebut memperoleh tujuh orang anak iaitu; Sarah, Maryam, Fathmah, Salmah, Halimah, Abdullah, dan Asmah (Tuan Guru Haji Saleh Penanti tidak menyebut nama). Sarah herkahwin dengan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti, di antara anaknya ialah; Tuan Guru Haji Saleh Penanti (yang didengar ceritanya pada tarikh tersebut di atas).
Perlu saya catat dan peringatkan bahawa dalam keluarga ini terlalu banyak nama yang hampir serupa. Oleh itu sesiapa yang akan memetik tulisan ini di belakang hari perlu berhati-hati dan jika perlu menyebutkan nama mereka secara lengkap. Bahawa Sarah binti Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin yang berkahwin dengan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti tersebut di atas adalah lain daripada Sara binti Haji Muhammad Thahir bin Kamaluddin al-Fathani. Sara binti Haji Muhammad Thahir al-Fathani adalah isteri Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani. Sara ini adalah nenek kepada Sarah. Sara pula adalah adik-beradik dengan Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Thahir bin Kamaluddin al-Fathani. Haji Ibrahim atau Pak Him ini adalah ayah kepada Mufti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang, tahun 1959 - 1961) dan Haji Thahir (Kadi Pulau Pinang di Balik Pulau). Catatan pada perenggan ini adalah merupakan penjelasan artikel yang pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004, dengan tujuan jangan terjadi kekeliruan kerana beberapa nama dalam keluarga yang serupa atau hampir serupa.
Syeikh Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur, ayah pada Syeikh Jalaluddin, adalah adik-beradik dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur adalah orang yang sama dengan Syeikh Wan Abdur Rahman al-Kalantani, yang ketika mudanya tinggal di Lorong Tok Semian Kelantan. Beliau juga digelar dengan Tok Semian. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur berkahwin dengan Hajah Wan Zainab binti Wan Abdul Qadir, anak perempuannya bernama Hajah Wan Kaltsum, menjadi isteri Tuan Tabal al-Kalantani. Hajah Wan Kaltsum adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan, dapat disemak dalam artikel tarikh 27 September 2004. Tuan Tabal al-Kalantani pula mempunyai ramai adik-beradik, oleh itu juga ada hubungan kekeluargaan dengan para ulama Seberang Perai yang diriwayatkan ini dan termasuk juga dengan Syeikh Abdullah Abdus Shamad al-Filfulani. Mengenai ini akan dibicarakan pada kesempatan yang lain.
Syeikh Wan Ali al-Fathani, yang tersebut pada judul, adalah bersabit kekeluargaan yang dekat dengan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, beliau termasuk pewaris ulama itu. Daripada dua buah naskhah peninggalan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok terdapat catatan, iaitu yang pertama manuskrip berjudul Al-Wasail fi Ma'rifah al-Awail karya Syeikh Jalaluddin as-Sayuthi. Di bahagian kulit muka terdapat catatan dalam bahasa Arab yang terjemahannya, "Kitab wakaf ini bagi Syeikh Abdullah ibnu al-Marhum Abdur Rahman Pauh Bok di Mekah al-Musyarrafah, Nazir Syeikh Ali bin al-Marhum Ishaq al-Fathani".
Tercatat pula tahun 1270 H (kira-kira bersamaan tahun 1855 M). Yang kedua, manuskrip berjudul Risalah fi Furu' an-Naqliyah karya Al-Allamah Maulana asy-Syeikh Ibrahim Barbari ar-Rumi al-Hanafi. Terdapat juga nama Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, "Wan Ali bin Ishaq al-Fathani." Menurut riwayat Tuan Guru Haji Saleh Penanti surat rumah milik Wan Ali al-Fathani di Mekah ada dalam simpanan beliau. Selain mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok, Syeikh Wan Ali al-Fathani ada hubungan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik hubungan kekeluargaan mahupun hubungan keilmuan.
Pendidikan
Syeikh Wan Ali al-Fathani mendapat pendidikan asas di Pondok Pauh Bok, Patani. Barangkali dalam masa yang sama beliau memondok di pondok yang tersebut itu bersama-sama dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Atau sekurang-kurangnya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai ketua tela'ahnya dalam sistem pengajian pondok (tutor menurut istilah akademik sekarang). Daripada catatan Syeikh Wan Ali al-Fathani sendiri ditemui bahawa gurunya adalah Syeikh Ibrahim Barbari ar-Rumi al-Hanafi.
Kemungkinan ulama yang tersebut adalah sahabat gurunya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani yang tersebut. Daripada sebuah manuskrip karyanya dan sama dengan yang tersebut dalam Kaifiyat Khatam Quran bahawa Syeikh Wan Ali al-Fathani menerima bai'ah daripada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani al-Jawi. Penerimaan bai'ah dilakukan di Mekah.
Di Mekah pada zaman itu terdapat dua orang Syeikh Mursyid Thariqat Sammaniyah yang berasal dari Patani, iaitu selain Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani ialah Syeikh Abdur Rahman @ Tok Semian al-Kalantani bin Abdul Ghafur al-Fathani. Murid Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Fathani bernama Syeikh Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani yang berasal dari Raman. Syeikh Wan Ali al-Fathani dan Syeikh Ibrahim al-Fathani kedua-duanya adalah bersahabat dan menerima tawajjuh Thariqat Sammaniyah pada 1243 H/1828 M di Jabal Suaidan dekat Syu'ib Ali. Syeikh Muhammad Shalih bin
Abdur Rahman Pauh Bok menerima thariqat itu daripada Syeikh Abul Hasan. Syeikh Abul Hasan menerima daripada Maulana Syeikh Hasib, dia menerima daripada bapanya dan daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman.
Penulisan
Karya Syeikh Wan Ali al-Fathani tidak banyak dijumpai, yang dapat dipastikan hanya sebuah saja, iaitu merupakan majmuk, yang di dalamnya terkumpul pelbagai doa dan ajaran Thariqat Sammaniyah, Thariqat Syathariyah dan Thariqat Khalwatiyah. Dipercayai berasal daripada karya Syeikh Wan Ali al-Fathani itulah akhirnya terdapat pelbagai versi yang dinamakan Kaifiyat Khatam Quran. Yang pernah dicetak dan tersebar secara meluas di seluruh dunia Melayu. Kitab kecil itu tidak terdapat nama pengarangnya secara pasti tetapi dalam percakapan masyarakat dan beberapa penulis silam dunia Melayu memastikan Kaifiyat Khatam Quran itu adalah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beberapa manuskrip Kaifiyat Khatam Quran telah diketemukan. Walaupun kandungannya sama tetapi judul dan nama pengarang berbeza-beza. Ada judul diberikan dengan Silsilah Ratib dan Kaifiyat nama pengarangnya disebut Ibrahim bin Muhammad Usnin al-Fathani, yang diselesaikan pada 1243 H/1827 M.
Manuskrip karya Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani itu dari segi ilmu filologi dirasakan perlu dibandingkan dengan karya Syeikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani terutama sekali pada mukadimah dan Silsilah Thariqat Sammaniyah. Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani, menulis, "Sanya telah hamba, Ibrahim ibnu Haji Muhammad Usnin Fathani Raman daerah Kampung Cabak, mengambil talqin zikir daripada Syeikh Abdur Rahman ibnu Abdul Ghafur pada sanah 1243 pada Jabal Suaidan hampir Syu'ib Ali wa Maulid an-Nabi daripada Syeikhnya Ibrahim ibnu Abdur Rasyid al-Maduri (Madura, pen:) ...".
Syeikh Wan Ali al-Fathani juga menulis, "Maka inilah silsilah dan kaifiyatnya bagi Wali Allah yang terlebih takut akan Allah Taala, Quthub ar-Rabbani dan Arif Yang Shamadani iaitu Syeikh kita Maulana asy-Syeikh Muhammad anak Syeikh Abdul Karim as-Samman. Saya telah mengambil talkin zikir, faqir ilallah Taala, Ali bin Ishaq al-Jawi al-Fathani, daripada Syeikhnya Muhammad Shalih bin Abdur Rahman al-Jawi al-Fathani, Pauh Bok ...".
Jika kita banding salasilah, sebelum bertemu pada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman juga terdapat perbezaan. Pada karya Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani sambungannya bahawa Ibrahim bin Abdur Rasyid al-Maduri, dia menerima bai'ah daripada Syeikh Muhammad. Syeikh Muhammad menerima daripada Syeikh Utsman. Syeikh Utsman menerima daripada Syeikhnya dan mertuanya, Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman.
Ada pun pada naskhah Syeikh Wan Ali al-Fathani, sambungan salasilah bahawa Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok menerima bai'ah daripada Syeikh Abul Hasan. Syeikh Abul Hasan menerima daripada Maulana Syeikh Hasib. Maulana Syeikh Hasib menerima daripada bapanya tanpa menyebut nama, sesudah itu baru penerimaan bai’ah daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani.
Naskhah karya Syeikh Wan Ali al-Fathani setelah membicarakan salasilah yang bersambung kepada Nabi Muhammad s.a.w., Malaikat Jibril Alaihis Salam, lalu mengemukakan kaedah berzikir menurut Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah.


WAN HUSEIN AS-SANAWI AL-FATHANI HAFIZ

MASJID Teluk Manok di Patani, Thailand

Pendiri Masjid Teluk Manok
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

AKHIR-akhir ini berlaku perubahan besar dalam pelbagai jurusan pendidikan Islam di dunia Melayu, termasuk mula bercambah di tempat-tempat pendidikan menghafaz al-Quran. Banyak suara-suara sumbang yang hanya mengetahui dunia kini atau pergelutan di persekitarannya saja, lalu menuduh bahawa pendidikan Islam zaman dulu tidak menekankan penghafalan al-Quran dan hadis.
Saya berani memastikan pandangan yang sedemikian adalah satu pandangan yang sangat keliru. Sebagai contoh bahawa ilmu menghafaz al-Quran dan hadis berjalan sejak lama di dunia Melayu. Wan Husein al-Fathani adalah salah seorang daripada ulama silam yang hafaz al-Quran 30 puluh juzuk dan beribu-ribu hadis Nabi s.a.w. Beliau adalah moyang saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini bererti Wan Husein as-Sanawi al-Fathani lebih jauh mendahului Syeikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani.
Wan Husein as-Sanawi adalah adik- beradik dengan Syeikh Wan Senik al-Karisiqi (Kerisik), Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Fathani (datuk nenek Syeikh Ahmad al-Fathani) dan lain-lain. Walaupun pada mulanya ada orang meragukannya, termasuk saya sendiri, kerana terdapat pertikaian pendapat dengan salasilah keluarga besar ini dengan yang ditulis oleh Haji Nik Ishak Tikat, Kelantan, yang berasal dari Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Namun, setelah saya menemui tiga salasilah yang lebih tua daripada salasilah yang tersebut, insya-Allah telah saya tahqiqkan dan hanya segelintir daripadanya disebutkan dalam artikel ini.
Pertikaian salasilah antara satu dengan yang lainnya tidak saya bicarakan di sini, kerana telah saya tulis dalam kertas kerja berjudul ‘Majlis Tazkirah Tokoh dan Ulama Islam Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani’ dan lain-lain terdahulu daripada ini.
*Asal-usul
Wan Husein as-Sanawi juga digelar Tok Masjid adalah termasuk salah seorang keturunan penyebar Islam yang awal datang ke dunia Melayu. Nama lengkapnya ialah Al-Allamah Al-Hafiz Wan Husein as-Sanawi al-Fathani bin Ali. Ali disebut juga Sultan Qanbul/Qunbul bin Manshur al-Laqihi. Manshur al-Laqihi nama yang sebenarnya ialah Saiyid Ahmad Samman al-Aidrus bin Saiyid Hakim.
Saiyid Hakim digelar orang Saiyid Kuning bin Saiyid Husein. Saiyid Husein digelar Sultan Pak Tani (maksudnya Sultan Patani). Ali@Sultan Qanbul/Qunbul dan terdapat beberapa nama selain ini, diriwayatkan bahawa wafat di Campa tahun 1467 M dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Garak Ruwain (Binjai Lima).
Dalam sebuah salasilah disebutkan bahawa daripada Wan Husein as-Sanawi dan adik- beradiknya adalah datuk nenek golongan ‘Wan’ dan ‘Nik’ di Patani, Kelantan, Terengganu dan tempat-tempat lainnya. Yang dimaksudkan dengan ‘as-Sanawi’ yang terdapat pada hujung nama Wan Husein ialah beliau berasal dari kampung dinamakan Kampung Sena.
Kampung Sena itu sangat besar dan luas, sekarang di dalamnya terdiri dari beberapa buah kampung, di antaranya; Sena Janjar, Bendang Daya, Tok Diwa, dan lain-lain.
Kampung Sena dibuka oleh datuk nenek keluarga ini ketika mereka mula-mula sampai dalam kerajaan Langkasuka yang ketika itu nama Patani belum dikenal sama sekali. Dari kampung tersebutlah asal-usul perkembangan Islam di Patani dan selanjutnya keluarga tersebut turut aktif menyebarkan Islam ke seluruh dunia Melayu bersama-sama dengan keturunan-keturunan penyebar Islam yang datang dari Tanah Arab lainnya.
Adik-beradik Wan Husein as-Sanawi al-Fathani yang saya catat dari pelbagai sumber, sama ada yang disepakati mahu pun yang masih pertikaian pendapat adalah sebagai berikut:
1. Wan Abdullah atau Sultan Umdatuddin atau Wan Abu atau Wan Bo Teri Teri atau Wan Bo saja. Beliau adalah Sultan Cam/Champa, tahun 1471 M - 1478 M.
2. Wan Husein as-Sanawi, yang diriwayatkan dalam artikel ini.
3. Wan Demali @ Wan Mali @ Wan Alimuddin. Terdapat sebuah salasilah yang menyebut bahawa beliaulah Laksamana Bentan.
4. Wan Hasan, beliau menyebarkan Islam di Bangkok.
5. Wan Jamal.
6. Wan Biru, adik-beradik yang perempuan.
7. Wan Senik adik-beradik dengan Wan Husein, sudah sahih kerana disebut oleh Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dalam sebuah salasilah, dikukuhkan dengan salasilah keluarga Teluk Manok dan catatan-catatan lain yang ada pada saya.
Dari nombor 1 sampai nombor 7 disebut oleh Pak De Duku. Pak De Duku, nama lengkapnya ialah Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir bin Yunus bin Abdur Rahman bin Wan Husein as-Sanawi al-Fathani, adalah keturunan yang kelima ulama yang diriwayatkan ini.
Saya memperoleh banyak maklumat daripada beliau. Sejak tahun 1978 hingga 1991 saya berulang-ulang kali ke rumah Pak De Duku (Haji Abdul Hamid) di Teluk Manok kerana mencatat banyak perkara tentang keluarga yang diriwayatkan ini.
8. Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Laqihi, saya adalah keturunan yang kelapan ulama ini, iaitu melalui jalur Syeikh Ahmad al-Fathani.
9. Maulana Abu Ishaq.
*Riwayat
Wan Husein as-Sanawi selain hafaz al-Quran 30 juzuk, sangat banyak hadis dan pelbagai jenis matan ilmu-ilmu Islam beliau juga berpengalaman dalam banyak bidang. Ilmu yang ada dalam sekujur tubuhnya bukanlah bersifat beku dan mati, tetapi adalah ilmu yang bersifat hidup sesuai dengan pergerakan fizikal tubuhnya.
Ilmu-ilmu yang dikuasai oleh Wan Husein as-Sanawi adalah seimbang dengan pengalamannya yang luas. Beliau berpengalaman dalam hidup cara berkhalwat, bersunyi diri tekun beribadat, juga berpengalaman dalam pengembaraan ke pelbagai penjuru bumi sejagat.
Wan Husein as-Sanawi pernah mengembara di pulau Jawa, pernah mengajar beberapa tahun di pulau Madura. Diriwayatkan juga bahawa beliau dan adik beradiknya bergaul mesra dengan masyarakat di pulau Sumbawa, sehingga ada pendapat yang menyebut Wan Husein as-Sanawi adalah berasal dari keturunan Arab yang telah lama datang ke pulau Sumbawa.
Dari pulau Sumbawa, pengembaraan keluarga tersebut termasuk Wan Husein as-Sanawi sendiri, meneruskan pengembaraan mereka ke negeri Cam atau Campa. Kerajaan Islam Cam itu adalah diasaskan oleh datuk nenek mereka yang berasal dari negeri Arab.
Setelah melalui proses yang lama melalui pantai-pantai dalam negeri India, persinggahan dan tempat tinggal terakhir mereka ialah dalam kerajaan Langkasuka. Proses yang lama pula setelah mereka membaur dengan masyarakat Melayu Langkasuka, maka terbentuklah Daulah Islam Fathani Darus Salam atau bagi umum mengenal sebutan Patani saja.
Dari Patani itulah mereka mengembara ke utara dengan maksud menyebarkan Islam di negeri China tetapi sebelum sampai ke negeri China mereka telah berhasil pula membentuk satu kerajaan Islam-Melayu yang dikenali dengan Kerajaan Cam.
Cita-cita mulai dari datuk nenek Wan Husein as-Sanawi untuk menyebarkan Islam ke negeri China berjalan terus sampailah ke zaman beliau. Bukan hanya itu saja, dari keturunan mereka juga telah menyebarkan Islam di Filipina, Brunei Darussalam dan akhirnya di Jawa. Beberapa orang di antara Wali Songo (Wali Sembilan) yang terkenal di Jawa adalah dari keluarga besar yang diriwayatkan ini.
*Masjid Teluk Manok
Semua riwayat adalah penting dicatat, namun hampir-hampir tidak ada orang yang tahu tentang peranan Wan Husein as-Sanawi dalam peranannya di dunia Melayu sejagat. Tidaklah berkelebihan kalau saya sebutkan di sini bahawa Wan Husein as-Sanawi ada peranan yang tersendiri dalam penyebaran Islam di dunia Melayu dan beliau juga ada peranan dalam pemerintahan Patani dan kerajaan Cam.
Setelah pengembaraan yang begitu jauh pada mulanya beliau menetap di Kampung Sena, tempat asal datuk neneknya, namun setelah adik- beradiknya bermuafakat maka mereka membahagi tugasan. Syeikh Wan Senik ditugaskan di Kerisik. Sebab itulah pada hujung nama beliau dalam salasilah ditulis al-Karisiqi.
Wan Husein as-Sanawi diberi tugas di Teluk Manok. Kampung yang beliau buka itu masih dikekalkan namanya sampai sekarang. Di Wadi Husein, Teluk Manok tersebutlah terdapat sebuah masjid yang digolongkan di antara salah sebuah masjid tua di Patani yang mempunyai kesan-kesan sejarah yang dikaitkan dengan Wan Husein al-Hafiz as-Sanawi, tokoh besar dunia Melayu serta yang masih terselubung dalam sekian banyak lembaran tulisan sejarah yang diseleweng dan dipalsukan oleh pihak-pihak tertentu.
Tentang tahun didirikan Masjid Teluk Manok itu, berbagai-bagai pendapat yang diberikan orang. Riwayat yang popular menjadi percakapan masyarakat ialah didirikan sejak 300 atau 400 tahun yang lalu. Saya datang menyelidik masjid itu berkali-kali sejak 1978 dan yang terakhir sekali pada Sabtu, 25 Mei 1991 M, pada waktu itulah saya terbaca di atas pintu masjid terdapat tahun 1266 H, bererti bersamaan dengan 1850 M.
Tidak terdapat sesuatu keterangan yang dimaksudkan dengan catatan 1266 H itu. Kemungkinan yang dimaksudkan adalah ketika memperbaiki masjid itu ataupun ketika menulis khat-khat indah yang terdapat di persekitaran tarikh di atas pintu itu. Jika kita hitung menurut tahun hijrah 1266 H itu hingga sekarang 1427 H bererti hanya 161 tahun saja. Ini adalah tidak sesuai dengan sejarah hidup Wan Husein as-Sanawi yang diperkirakan memang sudah lebih dari 300 tahun yang lalu.
Tarikh tersebut juga sangat jauh jaraknya dengan beberapa pendapat yang menyebut bahawa masjid tersebut didirikan pada 1619 M, pendapat lain 1621 M dan yang lain pula pada 1635 M. Tahun-tahun yang disebutkan ini, walaupun terjadi pertikaian pendapat, namun lebih menepati untuk dipegangi sebagai tahun berdirinya masjid itu jika dibandingkan pada 1266 H/1850 M yang tidak jelas maksudnya itu.
*Keturunan
Pertama sekali saya dengar cerita bahawa salasilah yang sangat penting tentang susur galur ulama Patani yang ada hubungannya dengan Teluk Manok diserahkan oleh Haji Ibrahim bin Daud bin Muhammad Shalih bin Abdullah bin Tengku Mahmud kepada Raja Perak. Yang menceritakan ialah Haji Abdul Hamid (Pak De Duku). Sungguhpun salasilah yang asli tidak saya peroleh tetapi saya sempat mencatat melalui Pak De Duku sejak 1978 M. Saya mencatatnya secara sedikit-sedikit, iaitu setiap kali pergi ke Teluk Manok hinggalah 1991 M.
Selain Pak De Duku, saya sempat pula menyalin salasilah tersebut tetapi bukan dari yang asli melainkan daripada salinan yang telah dijalankan oleh keluarga ini.
Pada beberapa tempat saya bandingkan pula dengan kitab-kitab yang dikarang oleh keturunan Wan Husein as-Sanawi, sebahagiannya menggunakan nama lengkap hingga sampai ke peringkat datuk.
Dalam catatan saya Wan Husein memperoleh enam orang anak iaitu; 1. Muhammad Shalih @ Tok Ci Gedung, makamnya di Jeringa. 2. Abdullah @ Tok Ci Teluk Manok. 3. Abdus Shamad. 4. Abdul Karim @ Tok Ci Bukit Bunga, beliau ini seorang hafiz, makamnya di Bukit Bunga, Jeringa. 5. Abdur Rahman, makamnya di Teluk Manok. 6. Fathimah.
Sehingga artikel ini ditulis, masih ramai keturunan mereka yang menjadi ulama ataupun tokoh penting dan bertebaran di pelbagai tempat.


SYEIKH WAN SENIK KARISIQI

Moyang Syeikh Daud Al-Fathani
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENYAMBUT tahun baru 2007, artikel yang dipaparkan ini adalah merupakan keluaran pertama tentang Ulama Nusantara dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia.
Atau merupakan artikel yang ke-147 jika dihitung mulai siaran tahun 2004, sepanjang tahun 2005 sehingga Disember 2006. Sekali gus pula kita menyambut pemasyhuran Sultan Mizan Zainal Abidin Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia Yang Ke-13, pada 13 Disember 2006. Baginda berasal dari kerajaan Terengganu.
Sepanjang saya memperkenalkan ulama-ulama dunia Melayu dalam tahun-tahun yang tersebut, ada beberapa orang ulama Terengganu juga telah diperkenalkan, termasuklah seorang Sultan Terengganu yang alim dan warak. Baginda ialah Sultan Zainal Abidin III. Hingga kini tiada siapa dapat menafikan bahawa yang mencorakkan Islam di Terengganu, pertama ialah dari keturunan Saiyid dan yang kedua ialah ulama-ulama yang berasal dari Patani.
Dalam keluaran ini, bagi saya adalah merupakan sambutan tahun baru 2007, sekali gus menyambut adanya jati diri keperkasaan dan kemahawangsaan Melayu Islam dibuktikan daulat Raja-Raja Melayu, dilambangkan dengan Pemasyhuran Yang Dipertuan Agong pada tarikh tersebut di atas.
Artikel ini mengkhususkan perkara salasilah ulama Terengganu yang sangat erat dengan ulama Patani. Di antara mereka yang pernah ditulis sebelum ini ialah Sultan Zainal Abidin III Umara Bertaraf Dunia (28 Februari 2005), Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas (14 Mac 2005), Syeikh Nik Mat Kecik Al-Fathani Hakim Mahkamah Syarie di Mekah (25 April 2005), Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani Pembesar Dua Pemerintah Makkah (23 Januari 2006), Tok Syeikh Duyung Syeikhul Ulama Terengganu (6 Mac 2006), Tuan Guru Abdul Hamid Besut Anak Murid Tuan Bendang Daya (20 Mac 2006), Tok Ku Melaka Ulama Terengganu Keturunan Nabi Muhammad (8 Mei 2006), Saiyid Muhammad Al-Aidrus Bapak Kesusasteraan Melayu Terengganu (11 September 2006), Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006) dan Syeikh Wan Daud Al-Fathani, Bahjatuddin Al-Arif Ar-Rabbani (23 Oktober 2006).
Semua ulama yang tersebut ada hubungan yang sangat erat selain kaitan sanad ilmu sekali gus di antara mereka ada yang erat hubungan nasab.
Pertikaian
Syeikh Wan Senik al-Karisiqi, iaitu moyang Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang bererti juga Syeikh Wan Senik adalah termasuk moyang atau datuk nenek kepada beberapa ulama Terengganu yang terdekat di antara mereka seperti Syeikh Abdul Qadir (Tok Bukit Bayas), Syeikh Abdullah bin Muhammad Amin (Tok Duyung) dan lain-lain.
Jauh sebelum penghijrahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan rombongan ke Pulau Duyung Kecil Terengganu jalinan kekeluargaan Patani dan Terengganu berjalan sudah sejak lama, sekurang- kurangnya sejak Sultan Zainal Abidin, Sultan Terengganu lagi. Hingga sekarang hubungan tersebut tidak pernah terputus.
Walaupun ada beberapa pertikaian pendapat di antara satu versi salasilah dengan salasilah versi yang lainnya, namun tidak bererti memutuskan hubungan kekeluargaan. Bahkan dengan adanya pertikaian pendapat yang termaktub dalam salasilah adalah mendorong kita supaya melakukan penyelidikan yang lebih kemas, jika ada tenaga dan berkemampuan berfikir tetap berusaha untuk mentahqiqkannya.
Asal usul
Dalam artikel yang lalu disebutkan bahawa Wan Husein as-Sanawi mempunyai ramai adik-beradik. Antaranya ialah Syeikh Wan Senik al-Karisiqi. Nama lengkap ialah Al-Allamah Syeikh Wan Senik al-Karisiqi al-Fathani bin Ali (Sultan Qanbul/Qunbul) bin Manshur al-Laqihi (Saiyid Ahmad atau Saiyid Ahmad Samman al-Aidrus) bin Saiyid Hakim (Saiyid Kuning) bin Saiyid Husein (Sultan Pak Tani), salasilah ini diringkaskan dari artikel, Wan Husein As-Sanawi Al-Fathani, 18 Disember 2006.
Huraian salasilah bahawa Syeikh Wan Senik kahwin dengan Zainab asy-Syandani binti Abdur Rahman al-Fathani bin Ibrahim al-Hadhrami memperoleh anak bernama Wan Husein al-Karisiqi.
Anak Syeikh Wan Senik al-Karisiqi yang lain ialah Syeikh Wan Idris, kemungkinan dari isteri beliau yang lain. Anak Syeikh Wan Idris bernama Syeikh Wan Abdullah. Syeikh Wan Abdullah ini adalah ayah pada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama dunia Melayu yang banyak mengarang kitab. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mempunyai beberapa orang adik-beradik, iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Idris, Syeikh Wan Abdur Rasyid dan Hajah Siti Khadijah.
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani ibunya bernama Wan Fathimah. Ibu Wan Fathimah ialah Wan Salamah binti Tok Bandar Wan Su. Isteri Tok Bandar Wan Su ialah Wan Nafisah. Tok Bandar Wan Su adalah anak Tok Kaya Rakna Diraja (Wan Yusuf). Wan Yusuf adalah adik-beradik dengan Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya Pandak).
Ayah kedua-duanya ialah Nik Ali atau Faqih Ali. Jika kita perhatikan dengan teliti bahawa salasilah Syeikh Wan Senik sampai kepada Saiyid Husein (Sultan Pak Tani) adalah semuanya dari pihak lelaki sedang salasilah yang satu lagi dicelahi dengan perempuan, bernama Fathimah. Naik ke atas melalui dua orang perempuan, iaitu ibu dan nenek Wan Fathimah hingga sampai kepada Nik Ali atau Faqih Ali.
Kesimpulan bahawa kedua-dua salasilah di atas adalah tidak bertentangan atau pertikaian pendapat antara satu dengan yang lainnya, kerana salasilah yang satu ialah membicarakan salasilah lurus lelaki semuanya sedang salasilah yang satu lagi ialah membicarakan beberapa orang dari pihak sebelah ibu.
Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) bin Syeikh Wan Muhammad Amin bin Wan Abdur Rahman al-Fathani. Wan Abdur Rahman al-Fathani kahwin dengan Wan Salamah (kahwin sepupu). Ibu Wan Abdur Rahman bernama Wan Tih adalah adik beradik dengan ayah Wan Salamah namanya Wan Derauk (Wan Abdur Rauf) bin Wan Damit. Ibu Wan Abdur Rauf dan Wan Tih ialah Wan Ti binti Wan Abu Bakar bin Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya Pandak).
Jalur yang sama
Salasilah yang tersebut di atas sangat erat dengan Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) yang pada zamannya menjadi Syeikh Ulama Terengganu. Salasilah beliau selengkapnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Muhammad Amin. Syeikh Wan Muhammad Amin kahwin dengan Wan Aminah (ibu Tok Syeikh Duyung) adalah masih dalam lingkungan keluarga yang dekat.
Syeikh Wan Muhammad Amin ayahnya ialah Wan Abdur Rahman. Ibu Wan Abdur Rahman bernama Wan Tih, ibunya bernama Wan Ti binti Wan Abu Bakar bin Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya Pandak).
Salasilah ini bertemu pada jalur yang sama pada catatan salasilah pihak ibu Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) yang tersebut di atas ialah Wan Aminah binti Wan Derahmat bin Wan Derahman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya Pandak).
Syeikh Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) masih ada jalur kekeluargaan yang dekat dengan Syeikh Nik Mat Kecik atau Syeikh Muhammad Shaghir, yang pada kitab-kitab karangannya dinyatakan namanya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudiyi al-Fathani.
Beliau bukan dilahirkan di Patani tetapi di Pulau Duyung Kecil, Terengganu, ketika terjadi penghijrahan besar-besaran keluarga ini dari Patani ke Terengganu akibat pencerobohan atau serangan Siam terhadap Daulah Kerajaan Patani. Silsilah lengkap beliau ialah Syeikh Wan Muhammad bin Wan Ismail bin Wan Ahmad ibunya bernama Wan Aisyah.
Wan Aisyah adalah adik-beradik dengan Wan Salamah (nenek Tok Syeikh Duyung). Ayah kedua-duanya bernama Wan Derauk (Wan Abdur Rauf) bin Wan Damit. Ibu Wan Derauk (Wan Abdur Rauf) bernama Wan Ti binti Wan Abu Bakar bin Wan Ismail (Tok Kaya Pendek atau Tok Kaya Pandak).
Pertalian Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani / Syeikh Muhammad Shaghir al-Fathani dengan Syeikh Wan Senik al-Karisiqi al-Fathani pula, bahawa ibu Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani bernama Wan Zainab binti Syeikh Wan Idris al-Fathani. Adik-beradik dengan Wan Zainab ialah Wan Fathimah, iaitulah ibu pada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman bin Utsman al-Fathani. Syeikh Wan Idris al-Fathani yang tersebut ialah datuk kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah adik-beradik dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Ini bererti Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah cucu saudara Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Mengenai salasilah lengkapnya hingga sampai kepada Syeikh Wan Senik al-Karisiqi al-Fathani tidak perlu dibicarakan lagi kerana cukup jelas naik ke atas melalui jalur Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Adik-beradik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang bernama Syeikh Abdul Qadir bin Abdullah al-Fathani menurunkan ulama-ulama besar ialah Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Fathani (anak), Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani (cucu), dan Syeikh Wan Syamsuddin al-Fathani (cicit).
Dua orang adik beradik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebarkan Islam di Aceh ialah Syeikh Wan Abdur Rasyid bin Abdullah al-Fathani dan Syeikhah Hajah Siti Khadijah binti Abdullah al-Fathani.
Kedua-duanya meninggalkan keturunan di Aceh. Ada orang meriwayatkan bahawa Teungku Muhd. Daud Beureueh ulama dan pejuang Aceh yang terkenal adalah keturunan salah seorang dari kedua adik-beradik itu.
Masih belum jelas, tetapi yang pasti beliau diberi nama ‘Daud’ mengambil berkat nama moyang saudaranya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Janggut merah dan janggut putih
Terlalu ramai ulama yang penting dalam lingkungan keluarga ini, tidak mungkin diriwayatkan seluruhnya dalam ruangan yang sangat terbatas ini, tetapi perlu juga saya sentuh dengan agak ringkas bahawa ada yang digelar dengan ‘Syeikh Janggut Merah’ dan ‘Syeikh Janggut Putih’.
‘Syeikh Janggut Merah’ dan ‘Syeikh Janggut Putih’ mempunyai tujuh adik-beradik tetapi saya riwayatkan di sini dua orang saja.
Yang dimaksudkan dengan ‘Syeikh Janggut Merah’ ialah Syeikh Wan Ismail bin Ahmad al-Fathani dan ‘Syeikh Janggut Putih’ ialah Syeikh Wan Yusuf bin Ahmad al-Fathani.
Syeikh Wan Ismail Janggut Merah ialah ayah Syeikh Nik Mat Kecik. Adik-beradik Syeikh Nik Mat Kecik ada lima orang iaitu Wan Hitam atau Wan Siti, Wan Aisyah, Hajah Wan Maryam dan Syeikh Wan Isa, meninggal dunia di Pulau Bunguran (Natuna), Kepulauan Riau.
Wan Aisyah kahwin dengan Haji Wan Idris, anaknya Wan Daud. Wan Daud kahwin dengan sepupunya Wan Fathimah binti Syeikh Nik Mat Kecik.
Anak keduanya ialah Haji Nik Abdur Rahman al-Makki (Terengganu) dan Haji Nik Ishaq Tingkat, salah satu versi salasilah penyusunan artikel ini susunan beliau juga dirujuk.
Hajah Wan Maryam binti Syeikh Janggut Merah kahwin dengan Wan Abdullah bin Syeikh Yusuf Janggut Putih.
Di antara anaknya yang menjadi ulama ialah Hajah Wan Siti Saudah dan Haji Wan Ismail. Hajah Wan Siti Saudah kahwin dengan Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, memperoleh anak Hajah Wan Zainab (ibu saya, Wan Mohd. Shaghir Abdullah, penulis artikel ini).
Hajah Wan Maryam dan anaknya Haji Wan Ismail al-Fathani meninggal dunia di Skudai, Johor. Hajah Wan Siti Saudah pula meninggal dunia di Pulau Penyengat Riau.
* Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_kha zanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

Wednesday, November 14, 2007

MUHAMMAD THAIYIB

GAMBAR Syeikh Mohd. Arsyad al-Banjari (atas), Tuan Husin Kedah (kiri) dan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq (kanan) yang terdapat pada kulit buku Kenangan Cenderamata 50 tahun Madrasah Khairiyah Islamiyah
Penerus Tradisi Ulama Banjar
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
BEBERAPA orang ulama yang berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, keluarga dekat dengan ulama yang diriwayatkan ini, telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia.
Mereka ialah Tuan Husein Kedah Al-Banjari, Generasi Penerus Ulama Banjar (16 Ogos 2004), Syeikh Abdur Rahman Shiddiq Al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri (23 Ogos 2004), Mufti Jamaluddin Al-Banjari, Ahli Undang-Undang Kerajaan Banjar, (15 Ogos 2005), Haji Yusuf Saigon Al-Banjari, (22 Ogos 2005) dan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari, Pengarang Sabil Al-Muhtadin (19 September 2005). Pada judul-judul yang tersebut ulama yang bernama Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari adalah jalur ke atas ulama yang diriwayatkan ini, sedang Tuan Husein Kedah al-Banjari adalah cucu beliau.
Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Di antara nama yang digunakan dalam penulisan ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Khalidi an-Naqsyabandi. Penambahan perkataan "al-Khalidi an-Naqsyabandi" adalah berdasarkan sebuah karya beliau judul, "Fat-hul Hadi. Dengan digunakannya perkataan yang tersebut berertilah ulama yang berasal dari Banjar yang tinggal di Kedah tersebut adalah seorang sufi, pengamal Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah.
Daripada maklumat di atas jelas bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari sama pegangannya dengan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi (Minangkabau) yang kedua-duanya hidup sezaman yang menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah yang tersebut dalam kerajaan Riau-Lingga dan selanjutnya di Melaka dan Kedah. Sangat kemungkinan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari adalah murid pada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi yang tersebut, hal ini kerana jika dibandingkan kemunculan ulama Minangkabau tersebut lebih dulu muncul daripada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari.
*Asal usul
Ayahnya Syeikh Mas'ud itulah yang dikatakan telah menemui syahidnya di dalam peperangan di antara Patani dan Kedah melawan Siam, iaitu bersama-sama kejadian hilangnya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Datuknya bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah saja untuk menjadi guru baginda dan rakyat Kedah.
Peristiwa yang sama berlaku pula kepada saudara kandung Syeikh Qadhi Haji Abu Su'ud yang bernama Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari diminta oleh Sultan Riau-Lingga supaya menjadi Mufti, mengajar istana dan rakyat Riau-Lingga dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam. Pendek kata semua adik beradik dan datuk/nenek kepada Syeikh Muhammad Thaiyib adalah ulama-ulama besar yang terkenal dan tidak asing bagi masyarakat Melayu di seluruh dunia Melayu.
Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas'ud, iaitu ayah kepada Syeikh Muhammad Thaiyib yang diriwayatkan dalam artikel ini. Daripada cerita di atas dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang diriwayatkan ini sebelah ayahnya adalah berasal dari Banjar sedang sebelah ibunya berasal dari Kedah.
*Pendidikan
Syeikh Muhammad Thaiyib Banjar-Kedah dipercayai memperoleh pendidikan asas dari ayah dan datuknya sendiri. Selanjutnya Syeikh Muhammad Thaiyib juga mempunyai konteks kepada kaum keluarganya yang menjadi ulama di negeri Banjar, Jawa, Bangka, Belitung dan Makkah. Banyak kali beliau pulang ke Banjar, atau pergi ke Makkah, atau di tempat-tempat yang diketahuinya ada kaum keluarganya yang menjadi ulama.
Pada masa usia mudanya lebih banyak menerima pelajaran daripada memberikan pelajaran. Tetapi manakala beliau telah meningkat tua adalah sebaliknya lebih banyak mengajar daripada menerima. Tidaklah diragukan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib tersebut adalah seorang ulama besar, bahkan anak beliau juga seorang ulama besar yang banyak jasanya dalam pembinaan ulama di Semenanjung Tanah Melayu.
Daripada sebuah kitab judul Miftah as-Shibyan fi 'Aqaidil Iman oleh Syeikh Muhammad Zain Nuruddin dapat diketahui sanad atau hubungan pengajian Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari ialah, "... hamba mengambil ilmu sharaf, dan nahu, dan fiqh, dan ilmu tasawuf, dan ilmu ushuliddin di dalam Negeri Bahara Pesisir Kampung Dahari kepada Syeikhina Walidiyi al-murabbiyi ruhiyi wal jasadiyi al-'Alim asy-Syeikh Abbas, Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi, ibnu al-Mukarram al-Haji Muhammad Lashub.
Ia mengambil daripada asy-Syeikh Ismail ibnu asy-Syeikh al-Khathib Sikin, dan daripada asy-Syeikh Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, dan daripada asy-Syeikh al-Allamah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi, dan daripada Syeikh 'Ali al-Qad-hi." Daripada petikan ini dapat disimpulkan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi adalah termasuk salah seorang guru bagi Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, iaitulah ulama besar dunia Melayu yang terkenal penyusun kitab 'Aqidah an-Najin, Kasyf al-Litsam, Kasyf al-Ghummah, dan lain-lain.
Melalui sanad ini menurunkan beberapa orang ulama di Sumatera Utara, di antaranya ialah Syeikh Abbas bin Haji Muhammad Lashub Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi dan anak beliau Syeikh Muhammad Zain Nuruddin, Negeri Bahara Pesisir Kampung Dahari, Sumatera Utara, penyusun beberapa buah kitab.
*Karya
Ada tiga risalah karya ulama yang berasal dari Banjar ini yang telah dijumpai, ialah: 1. Miftah al-Jannah fi Bayan al-'Aqidah, 2. Fat-hul Hadi, 3. Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman, 4. Bidayah al-Ghulam fi Bayan Arkan al-Islam. Risalah yang pertama, Miftah al-Jannah, pada satu naskhah catatan diselesaikan penulisan pada 16 Syawal 1247 H/19 Mac 1832 M pada naskhah yang lain pula dinyatakan pada 16 Syawal 1255 H/23 Disember 1839 M. Terdapat pelbagai edisi cetakan, cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1321 H dan 1327 H. Dicetak kombinasi dengan risalah-risalah Ushul at-Tahqiq, Mau'izhah li an-Nas, Tajwid al-Quran semuanya tanpa menyebut nama pengarang. Dan di tepinya pula dicetak risalah Asrar ad-Din juga tidak disebut nama pengarang.
Risalah yang kedua, Fat-hul Hadi, diselesaikan hari Isnin, 4 Jumadilakhir 1282 H/25 September 1865 M. Kandungan membicarakan ilmu tasawuf tentang haqiqat merupakan terjemahan dan petikan daripada kitab Syarh Tuhfah al-Mursalah Syeikh Muhammad Bin Fadhlullah Al-Burhanfuri yang disyarah oleh Syeikh 'Abdul Ghani an-Nablusi.
Pada bahagian akhir kitab Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari menyatakan, "Bermula yang membangunkan bagi aku pada yang demikian itu, dan jika tiada aku ahli bagi yang demikian itu, isyarat daripada putera Sultan kami dengan lisan halnya dan maqalnya serta elok segala perangainya dan af'alnya. Maka bahawasanya ia datang akan aku dengan kelakuan segala faqir-faqir dan meninggal ia akan segala pakaian bagi segala amir-amir. Serta bahawasanya ia kamil pada kemuliaan, dan kekayaan dan rakha. Bermula namanya itu seperti nama seorang Nabi yang asyiq akan dia oleh Zulaikha ..."
Risalah yang ketiga (Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman) dijumpai sebuah manuskrip yang diselesaikan pada tahun 1297 H/1879 M. Hanya sebuah itu saja manuskrip judul ini, tidak terdapat salinan lainnya. Dalam sebuah manuskrip terkumpul beberapa buah naskhah, bukan karya Syeikh Muhammad Thaiyib sendiri saja. Pada halaman 3 terdapat tulisan Syeikh Abdul Muthallib bin Tuan Faqih Kelantan di Mekah, tahun 1307 H/1890 M.
Kandungannya membicarakan mengganti sembahyang yang tertinggal menurut Mazhab Hanafi yang diamalkan dalam Mazhab Syafie. Halaman 6 sampai halaman 24 berasal dari tulisan Haji Abdur Rahman bin Haji Wan Thalib di dalam negeri Cenak, Kampung Temparak (Patani) tahun 1290 H. Membicarakan fiqh dimulai dengan membicarakan zakat. Halaman 35 sampai 51 iaitulah tulisan/karya Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud dengan judul yang telah disebutkan. Kandungan karya Syeikh Muhammad Thayib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi ini membicarakan ilmu tauhid, membahas Sifat Dua Puluh.
Daripada yang dipaparkan di atas, terdapat banyak bukti bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud banyak meninggalkan karya yang lain, di antaranya telah dijumpai sebuah naskhah yang beliau karang dalam bahasa Arab dan di bawahnya diberi makna dengan bahasa Melayu. Di akhir manuskrip tersebut beliau tulis nama orang tuanya dengan "Mas'ud asy-Syahid". Maksud asy-Syahid di sini ialah mati syahid dalam perang fi sabilillah melawan pencerobohan Siam terhadap Patani dan Kedah. Dengan dijumpai naskhah tersebut dapat memperkuat sekian banyak cerita masyarakat Melayu terutama di Kedah, Patani, Pontianak dan Banjar serta yang bertulis pula diriwayatkan oleh Tuan Guru Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang beliau ceritakan dalam kitab Syajaratul Arsyadiyah. Juga cerita rakyat yang mungkin ada pihak-pihak tertentu memandang cerita tersebut sebagai legenda atau dongeng.
*Keturunan
Anak-anak Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud di Kedah di antaranya ialah Haji Muhammad Nashir, Haji Salman, Haji Abdullah dan Haji Abdur Rahman. Haji Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari yang tersebut menurunkan seorang anak yang menjadi ulama besar yang sangat terkenal di Malaysia, Patani dan Banjar. Beliau ialah Tuan Guru Tuan Husein Kedah, atau nama lengkapnya Tuan Guru Haji Husein bin Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi.
Sebahagian jasa Tuan Husein Kedah yang tidak dapat dilupakan ialah pendidikan pondok yang diasaskannya di Pokok Sena, iaitu termasuk di antara pusat pengajian pondok yang terkenal di Malaysia pada zamannya. Sangat ramai murid beliau yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal baik di Malaysia mahu pun di tempat-tempat lainnya seperti di Indonesia, Patani dan lain-lain. Tuan Husein pula meninggalkan beberapa buah karangan meneruskan tradisi datuk nenek beliau mulai dari Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari lagi. Di antara karangan Tuan Husein Kedah al-Banjari ada yang masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang dan ada juga yang tidak beredar lagi. Di antara karangan Tuan Husein Kedah cucu Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi ialah: 1. Hidayah ash-Shibyan, diselesaikan tahun 1330 H, 2. Qathr al-Ghaitsiyah, diselesaikan tahun 1348 H, 3. Bidayah ath-Thalibin, 4. Ushul at-Tauhid, 5. Hidayah al- Mutafakkirin dan lain-lain.

SYEIKH SYIHABUDDIN

Dimuliakan Kerajaan Riau-Lingga
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM beberapa keluaran Bahagian Agama, Utusan Malaysia yang lalu, saya menulis tentang ulama-ulama Banjar yang sangat erat hubungan dengan ulama ini.
Di antaranya ialah artikel bertajuk Muhammad Thaiyib Penerus Tradisi Ulama Banjar (8 Januari 2007).
Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari adalah cucu saudara pada ulama yang sedang dibicarakan ini. Datuk kepada Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari bernama Kadi Abu Su’ud adalah adik beradik dengan Syeikh Syihabuddin. Ayah mereka ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan ibu mereka pula ialah Tuan Baiduri (Bidur).
Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari mempunyai 30 adik-beradik yang satu ayah saja, kerana Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkahwin sebanyak 11 kali.
Di antara adik-beradik Syeikh Syihabuddin al-Banjari, yang satu ayah termasuklah Mufti Jamaluddin al-Banjari.
Pendidikan
Syeikh Syihabuddin mendapat pendidikan dari ayahnya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan melanjutkan pendidikan di Mekah. Di antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Saiyid Ahmad al-Marzuqi dan lain-lain.
Untuk menghadapi pelbagai cabaran dunia, Syeikh Syihabuddin menerima beberapa amalan dari ayahnya, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Saya sendiri ada sanad mengenai yang tersebut yang saya terima di Sapat, Inderagiri pada Isnin, 10 Rabiulakhir 1406 H/22 Disember 1985 dari Tuan Guru Haji Muhammad As'ad.
Beliau menerima dari ayahnya Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari. Syeikh Abdur Rahman Shiddiq menerima dari ayahnya Syeikh Muhammad Afif al-Banjari. Syeikh Muhammad Afif menerima dari Syeikh Syihabuddin al-Banjari. Syeikh Syihabuddin menerima dari ayahnya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Amalan yang tersebut ada persamaan dengan salah satu amalan yang termaktub dalam naskhah peninggalan pahlawan Mat Kilau. Ada kemungkinan Mat Kilau turut menerimanya dari Syeikh Syihabuddin al-Banjari.
Syeikh Syihabuddin adalah putera Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dari isterinya bernama Baiduri (Bidur). Adik beradik satu ayah dan satu ibu (saudara kandung) dengan Syeikh Syihabuddin ada tiga orang dengan urutan:
1. Al-Alim al-Allamah Kadi Haji Abu Su’ud.
2. Al-‘Alim al-Allamah Kadi Haji Abu Na’im.
3. Sa’idah.
4. Al-Alim al-Allamah Khalifah Haji Syihabuddin (yang sedang dibicarakan).
Kadi Haji Abu Su’ud bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari (nombor 1) mewarisi ilmu secara langsung dari ayahnya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, selanjutnya menjadi Kadi yang pertama di Banjar dan beliau juga seorang pahlawan.
Perkahwinan yang pertama dengan Aminah memperoleh anak seorang ulama, Alimul Allamah Haji Muhammad Sa’id Jazuli. Sewaktu kembali menunaikan haji kahwin lagi di Kedah memperoleh seorang putera, bernama Syeikh Muhammad Mas’ud (dapat dirujuk dalam riwayat Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari dan Tuan Husein Kedah Al-Banjari, Generasi Penerus Ulama Banjar, 16 Ogos 2004.
Ilmu
Alimul Allamah Kadi Haji Abu Na’im (no. 2), beliau juga memperoleh ilmu langsung dari ayahnya, beliau menjadi Kadi yang kedua di Banjar. Anak Kadi Haji Abu Na’im ialah Haji Muhammad Afif. Anak Haji Muhammad Afif ialah Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri. Beliau inilah ulama yang pertama menyusun sejarah mereka yang diberi judul Syajarah al-Arsyadiyah.
Alimul Allamah Haji Syihabuddin (no. 4) juga mewarisi ilmu dari ayahnya. Syeikh Syihabuddin adalah seorang Khalifah Mufti dan Kadi. Beliau menurunkan beberapa orang ulama di antaranya Alimul Allamah Mufti Haji Abdul Jalil dan Alimul Allamah Haji As’ad Fakhruddin.
Tahun 1258 H/1842, Raja-raja Riau di Pulau Penyengat Indera Sakti minta kesediaannya menjadi guru di Kerajaan Riau-Lingga. Raja Ali Haji dalam karangannya yang terkenal berjudul Tuhfatun Nafis telah menyebut peranan ulama Banjar di kerajaan Riau. Di antaranya Haji Hamim yang diangkat Engku Haji Abdullah sebagai wakilnya di negeri Lingga.
Raja Ali Haji menulis: “Al-Kisah maka tersebutlah perkataan saudara Yang Di Pertuan Muda Raja Abdur Rahman itu, iaitu Raja Haji Abdullah yang dalam negeri Makkatul Musyarrafah itu. Maka apabila sampai ia setahun di dalam negeri Makkatul Musyarrafah itu, maka ia pun turunlah dari Mekah itu ke Jeddah.
“Dan dari Jeddah selalu balik ke bawah angin serta ada ia membawa satu orang alim namanya Syeikh Ahmad Jabarti dan seorang lagi orang Banjar anak Syeikh Muhammad Arsyad Banjar yang masyhur dengan alim besar di bawah angin yang mengarang beberapa kitab fikah dan lainnya. Maka adalah nama anaknya Tuan Syihabuddin.”
Petikan kalimat yang tersebut sangat banyak yang perlu dibahas, tetapi yang saya bahas sekarang hanyalah satu istilah ‘alim besar’, yang bererti seseorang itu alim mempunyai banyak bidang ilmu.
Karya
Tuhfah an-Nafis karya Raja Ali Haji yang asli dalam bentuk manuskrip dan cetakan adalah tulisan Melayu/Jawi, maka transliterasi saya kepada Rumi ialah ‘alim besar’. Ini adalah bertentangan dengan transliterasi Viginia Matheson Hooker, ditulisnya ‘ilmu besar’ pada tempat ‘alim besar’ (Lihat Tuhfat Al-Nafis, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 600). Ahmad Basuni menulis dalam bukunya Djiwa Yang Besar, “H. Abul Muhd. Arsyad (bin Abdullah al-Banjari), seorang yang dalam ilmunya pernah menjadi Mufti, terkenal pula sebagai seorang pahlawan yang sukar dicari tandingannya.” (Djiwa Yang Besar, hlm. 59).
Yusuf Khalidi dalam bukunya Ulama Besar Kalimantan, menyebut bahawa Syeikh Syihabuddin diangkat sebagai Khalifah, iaitu menjawat jawatan Mufti dan Kadi. Bahawa beliau memperoleh 11 anak, namun yang dicantumkan Yusuf Khalidi dalam bukunya yang tersebut hanya tiga orang saja iaitu Al-Alim al-Allamah Mufti Abdul Jalil, Al-Alim al-Allamah Haji As’ad Fakhruddin dan Aminah. Anak beliau yang pertama Al-Alim al-Allamah Mufti Abdul Jalil (No. 1) memperoleh anak bernama Zakaria pernah tinggal di Johor kerana menyebarkan agama Islam.
Zakaria bin Mufti Abdul Jalil bin Syeikh Syihabuddin al-Banjari kahwin di Mersing, memperoleh 13 anak. Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani/al-Banjari yang menulis beberapa kitab mungkin adalah putera Syeikh Syihabuddin yang diriwayatkan ini.
Tiada data jelas mengenai perkara tersebut, tetapi beberapa orang tua-tua di Pontianak, Kalimantan Barat menceritakan bahawa Syeikh Utsman adalah anak Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan isterinya yang berasal dari Karangan, Mempawah Hulu, Kalimantan Barat.
Hanya sebuah karya Syeikh Syihabuddin yang diketahui, itu pun adalah merupakan imlak gurunya bernama Allamah as-Saiyid asy-Syarif Ahmad al-Marzuqi (1205 H/1790 M-1262 H/1845). Mengenai ini dapat diketahui kenyataan dari gurunya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, katanya, “Dan (bahawasa)nya telah selesailah daripada menjamakkan (mengumpulkan) dia dan kitabahnya (menulisnya) dengan imlak muallifnya di Mekah atas tangan yang menyurat imlaknya itu, (iaitu) Syeikh Muhammad Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad pada waktu zuhur, Selasa bulan Zulhijjah, tahun 1158 (hijrah).”
Setelah Syeikh Syihabuddin menulis imlak dari Saiyid Ahmad al-Marzuqi itu, lalu diserahkannya kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani untuk penelitian dan diperbaiki jika terdapat kesilapan. Setelah diperiksa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani lalu diserahkan kembali kepada Saiyid Ahmad al-Marzuqi.
Saiyid Ahmad al-Marzuqi memerintahkan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, supaya memberi judul kitab itu sekali gus supaya diterjemahkannya ke bahasa Melayu. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menamakan kitab itu Tahshilu Nailil Maram Syarhu ‘Aqidatil Awam dan judul yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah Bahjatus Saniyah fi ‘Aqaidis Saniyah.
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengakhiri terjemahannya, katanya, “Dan telah selesai fakir mentaswid (menulis) akan manzhum (yang dinazamkan) matannya dan syarahnya dengan bahasa Jawi, (oleh) Daud bin Abdullah Fathani, pada hari ...nama hari tidak tertulis dalam semua cetakan), bulan Safar, waktu asar di Mekah al-Mukarramah.”
Syeikh Abdur Rahman Shiddiq menyebut bahawa zuriat Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang berpangkat Mufti ada 10 orang dan yang berpangkat Kadi juga 10 orang. Antara yang menjadi Mufti termasuk Syeikh Syihabuddin al-Banjari.
Senarai lengkap
Senarai lengkap adalah seperti berikut, 1. Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 2. Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 3. Haji Muhammad As’ad bin Utsman. Beliau adalah Mufti yang mula-mula di Kerajaan Banjar. 4. Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As’ad. 5. Haji Syihabuddin. 6. Haji Muhammad Khalid bin Hasanuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 7. Haji Muhammad Nur bin Kadi Haji Mahmud. 8. Haji Muhammad Husein bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 9. Haji Jamaluddin bin Haji Abdul Hamid. 10. Syeikh Abdur Rahman Shiddiq bin Haji Muhammad Afif bin Kadi Abu Naim bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Dari no. 1 sampai no. 5 pada zaman pemerintahan Sultan Banjar. Sedang yang no. 6 sampai no. 10 pada zaman penjajah Belanda. Dari maklumat yang lain ulama-ulama keluarga tersebut yang menjadi Mufti ialah: 1. Haji Muhammad Husein bin Mufti Haji Jamaluddin. 2. Haji Abdul Jalil bin Mufti Haji Syihabuddin. 3. Haji Muhammad Yunan bin Mufti Haji Muhammad Amin. 4. Haji Sa’id bin Haji Abdur Rahman. 5. Haji Mukhtar bin Kadi Haji Hasan.
Keluarga yang tersebut yang pernah menyandang pangkat Kadi pula ialah: 1. Kadi Abu Su’ud bin Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari. 2. Kadi Abu Naim bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 3. Haji Mahmud bin Haji Muhammad Yasin. 4. Haji Muhammad Amin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 5. Haji Muhammad Ali al-Junaidi bin Kadi Haji Muhd. Amin. 6. Haji Muhammad Sa’id al-Jazuli bin Kadi Haji Su’ud. 7. Haji Muhammad Amin bin Kadhi Haji Mahmud. 8. Haji Abdus Shamad bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 9. Haji Muhammad Jafri bin Kadi Haji Abdus Shamad. 10. Kadi Haji Bajuri. 11. Haji Muhammad As’ad bin Mufti Haji Muhammad Nur bin Kadi Haji Mahmud. 12. Haji Ibrahim bin Mufti Haji Jamaluddin. 13. Haji Abu Talhah bin Kadi Abdus Shamad. 14. Haji Muhammad Thaiyib bin Haji Muhammad Qasim. 15. Haji Muhammad bin Haji Muhammad Qasim. 16. Haji Zainal bin Lebai Darun. 17. Haji Abdur Rahman bin Kadi Haji Muhammad Sa’id. 18. Haji Qasim bin Mu’min. 19. Haji Muhammad Sa’id bin Mu’min. 20. Haji Muhammad Arsyad bin Kadi Haji Abdur Rahman. 21. Haji Hasan bin Mufti Haji Muhammad Sa’id. 22. Haji Abdur Rauf. 23. Haji Abdul Jalil bin Kadi Haji Muhammad Arsyad. 24. Haji Ahmad bin Abu Naim. 25. Haji Muhammad Arsyad bin Kadi Haji Abdur Rauf.
Dari no. 1 sampai no. 3 menjadi Kadi pada zaman pemerintahan Sultan Banjar.

HAJI ABDUR RAHMAN LIMBONG

WAN Mohd. Shaghir Abdullah (kiri) berceramah tentang Haji Abdur Rahman Limbong dalam satu majlis di Terengganu, baru-baru ini.


Ulama dan Pahlawan Melayu
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

TERLALU banyak permintaan melalui e-mel dan telefon supaya memperkenalkan ulama yang berjuang untuk memerdekakan tanah air dari cengkaman penjajah. Seiringan dengan itu pula mereka minta pengertian makna jihad menurut yang ditakrif oleh para ulama yang muktabar terutama ulama dunia Melayu.
Ini kerana, menurut mereka, setelah pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001, terjadi simpang siur pentafsiran makna jihad. Simpang siur pentafsiran tersebut disebabkan ada golongan yang terlalu takut tekanan dan ancaman pihak imperialisme AS dan Barat dan sebaliknya ada golongan mujahid-mujahid Islam yang radikal, sangat berani dan anti terhadap AS dan Barat.
Apa yang saya rakamkan dalam tulisan ini bukan mendabik dada supaya diakui sebagai seorang pejuang. Namun, saya hanya mengikut rentak dan peristiwa yang berlaku. Sekurang-kurangnya ada tiga isu terkini yang dijadikan iktibar perbandingan.
Yang pertama ialah laungan memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang ke-50. Yang kedua, peristiwa Saddam Husein, bekas Presiden Iraq dihukum gantung sampai mati oleh orang-orang Islam sendiri kerana terlalu patuh kepada penjajah bentuk baru AS yang ‘menjajah’ Iraq, Afghanistan, dan lain-lain.
Yang ketiga, kejayaan musuh-musuh Islam mengadu domba antara golongan Syiah dan Sunah.
Semua isu yang tersebut dapat dijadikan perbandingan dengan perjuangan ulama dunia Melayu. Bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan membebaskan bangsa Melayu dari segala bentuk dan corak penjajahan masa lampau, sekarang dan masa-masa akan datang. Saya mulai dengan Haji Abdur Rahman Limbong seorang pahlawan bangsa Melayu di Terengganu.
Izinkan saya untuk turut aktif menyambut laungan memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang ke-50 dengan memaparkan beberapa ulama yang perjuangan mereka tidak pernah takut menggunakan istilah jihad. Di antara mereka ramai yang ditangkap dan diseksa. Yang digantung ialah Tok Janggut Kelantan, persis seperti Saddam Husein digantung baru-baru ini.
Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.
Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia.
Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.
Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.
Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.
Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.
Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006).
Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.
Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.
Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.
Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.
Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.
Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.
Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.
Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal.
Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.
Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.
*PEMBERONTAKAN
Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.
Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris.
Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.
Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.
Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah.
Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.
Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.
Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang.
Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.
Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.
Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.